`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, August 24, 2013

Kereta api laju penting untuk Iskandar Malaysia

Projek pengangkutan HSR dan RTS adalah projek pemangkin berimpak tinggi.
Oleh Mohd Haikal Mohd Isa
JOHOR BAHARU: Komponen sistem pengangkutan moden dan bersepadu di Iskandar Malaysia, penting dan perlu disiapkan mengikut jadual untuk menarik lebih ramai orang untuk tinggal dan bekerja di kawasan koridor ekonomi itu.
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Negeri Johor berkata pembinaan sistem kereta api laju Malaysia-Singapura (HSR) dan Rapid Transit System (RTS) Johor Baharu penting untuk kemajuan Iskandar Malaysia.
“Ia (projek-projek pengangkutan HSR dan RTS) adalah projek pemangkin berimpak tinggi yang penting untuk membawa Iskandar Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.”
“Tahap perhubungan dalam kawasan koridor itu akan menjadi jauh lebih baik, memudahkan mereka yang tinggal di Singapura, Iskandar Malaysia dan kawasan lain di negara, tinggal dan bekerja di kawasan koridor itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut laporan media sebelum ini, sistem RTS Johor Baharu itu juga akan
dihubungkan dengan sistem MRT (Mass Rapid Transit) di Singapura untuk kemudahan penduduk kedua-dua negara.
Iskandar Malaysia menurut Koh tidak boleh pergi jauh, jika koridor ekonomi itu hanya mengharapkan penduduk asalnya, sebaliknya ia turut memerlukan penghijrahan serta sumber seperti pekerja dan lain-lain dari luar.
“Untuk itu, Iskandar Malaysia memerlukan sistem pengangkutan moden dengan tahap penyambungan menyeluruh. Sebab itulah kedua-dua sistem itu perlu disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Sektor hartanah
Pengerusi Rehda Johor itu berkata antara sektor yang bakal menerima limpahan paling besar dalam sistem pengangkutan moden dan tahap penyambungan yang tinggi alah hartanah.
Koh yakin terhadap impak besar yang bakal ditawarkan kepada Iskandar Malaysia apabila kedua-dua projek pengangkutan bernilai berbilion ringgit itu siap, seperti selesainya beberapa projek pemangkin yang lain.
Beliau berkata projek-projek pemangkin yang dilaksanakan di Iskandar Malaysia sebelum ini seperti Legoland, Educity, Puteri Harbour dan pelbagai projek infrastruktur, berjaya melonjakkan Iskandar Malaysia.
“Kita dapat lihat bagaimana pelabur berpotensi menunggu sehingga siapnya projek-projek pemangkin ini sebelum mereka benar-benar melabur dalam pelbagai projek di Iskandar Malaysia,” katanya.
Beliau berkeyakinan impak yang sama akan berlaku selepas kedua-dua projek HSR Malaysia-Singapura dan RTS Johor Baharu itu siap sepenuhnya.
“Pelabur kini melihat dengan penuh minat perlaksanaan kedua-dua projek pengangkutan ini, dan Iskandar Malaysia akan melonjak ke tahap yang lebih tinggi apabila siap projek kereta api laju dan RTS Johor Baharu ini,” kata Koh.
Mengikut pengumuman sebelum ini, pembinaan RTS di Johor Baharu itu akan
dilaksanakan oleh syarikat Malaysian Steel Works (Masteel) menerusi anak
syarikatnya, Metropolitan Commuter Network (MCN).
Sementara itu, kajian perlaksanaan pembinaan HSR kini di peringkat akhir dengan projek yang dianggarkan bernilai US$10 bilion itu, dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.
Projek yang akan mengurangkan tempoh perjalanan antara kedua-dua ibu negara kepada hanya 90 minit itu, sudah pun menarik minat syarikat antarabangsa termasuk Perancis, China, Jepun dan Sepanyol.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.