`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, August 12, 2013

Tentang Guru agama Sikh (Bhgn 2)

Ajaran Sikh menyeru perjuangan menuntut hak masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
COMMENT
Apabila bercakap mengenai Sri Guru Granth Sahib iaitu kitab suci agama Sikh yang mengandungi gita puja (hymn), perlu diingat bahawa gubahan tiga orang Guru – Guru Hargobind, Guru Har Rai dan Guru Har Krishnan – tidak dimasukkan dalam kitab berkenaan.
Guru Hargobind (14 Jun 1595 – 3 Mac 1644) menjadi Guru keenam dalam agama Sikh pada Mei 1606 berikutan kemangkatan ayahnya, Guru Arjan yang didera oleh Jahangir di Lahore. (Istilah “mangkat” digunakan di sini mengikut konteks agama Sikh; bukan mengikut budaya Melayu.)
Sebagai tindak balas terhadap apa yang berlaku kepada ayahnya yang juga Guru kelima, Guru Hargobind menyeru supaya penganut agama Sikh turut bersiap-sedia dengan ilmu peperangan dan ketenteraan supaya boleh bertindak balas apabila perlu. Beliau juga menjelaskan bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan.
Guru Hargobind dipenjarakan oleh Jahangir. Setahun kemudian, apabila mahu dibebaskan dari Penjara Gwalior, beliau meminta supaya 52 banduan beragama Hindu turut dibebaskan. Jahangir khabarnya meletakkan syarat bahawa sesiapa yang keluar sambil memegang tali pada baju Guru itu akan dibebaskan.
Maka, Guru Hargobind menjahit baju khas yang ada 52 tali. Akhirnya pada tarikh 26 Oktober 1619, kesemua 52 banduan berkenaan juga berjaya dibebaskan. Insiden ini kebetulan berlaku pada hari sambutan Deepavali (Diwali), maka lampu dipasang di sekitar Amritsar bagi menyambut kejayaan. Sehingga kini, orang Punjabi beragama Sikh meraikan Deepavali dan Bandi Chhor sebagai mengenang tarikh pembebasan Guru Hargobind.
Beliau juga mengetuai peperangan menentang pemerintahan Shah Jahan (1627-1658). Perang menentang Mukhils Khan berlaku di Amritsar pada 1628; menentang Abdullah Khan di Harigobindpur (1630); menentang Qamar Beg di Kartarpur (1631); serta menentang Kale Khan dan Pande Khan di Kartarpur (1634).
Sebelum mangkat, Guru Hargobind menamakan cucunya, Guru Har Rai (26 Februari 1630 – 6 Oktober 1661) yang berusia 14 tahun sebagai pengganti. Guru ketujuh ini pula dikenang kerana sanggup “membuang” anaknya sendiri demi mempertahankan kesucian agama Sikh.
Guru Har Rai pernah membantu anak sulung Shah Jahan iaitu Dara Shikoh yang menghadapi masalah. Lalu Aurangzeb (1658-1707) meminta Guru Har Rai datang ke istana di Delhi. Guru itu pula menghantar anaknya, Ram Rai.
Menurut cerita, dalam usaha mendapatkan tempat dalam hati pemerintah Mughal, Ram Rai telah mengubah kandungan salah satu ayat dalam kitab suci Sri Guru Granth Sahib. Itulah sebabnya Ram Rai tidak diakui anak oleh bapanya sendiri.
Penerus legasi yang dilantik oleh Guru Har Rai ialah seorang lagi anaknya, Guru Har Krishnan (7 Julai 1656 – 30 Mac 1664), pada usia semuda lima tahun. Atas sebab itulah juga beliau digelar sebagai Bal Guru (Guru Kanak-kanak).
Tarikh penting: 30 Mac 1699
Sehingga kini, penganut agama Sikh yang pergi ke Gurdwara Bangla Sahib di Delhi tidak melepaskan peluang mengambil air dari takungan kecil di sana. Suatu masa dahulu, demam campak melanda Delhi. Guru Har Krishnan dikatakan telah memasukkan kakinya ke dalam air dalam takungan kecil itu. Pesakit yang minum air dari takungan itu dilaporkan segera sembuh.
Guru kelapan itu meninggal dunia pada 30 Mac 1664 akibat demam campak. Penerus legasinya hanya mengambil alih tugas selepas hampir setahun, iaitu pada 20 Mac 1665.
Sebelum Guru Har Krishnan mangkat, beliau memberitahu para pengikutnya bahawa Guru kesembilan berada di Baba Bakala, Amritsar. Individu yang dimaksudkan ialah Guru Tegh Bahadur (1 April 1621 – 11 November 1675).
Beliau menyumbangkan 115 gita puja yang kini terkandung dalam Sri Guru Granth Sahib. Guru Tegh Bahadur mementingkan keamanan serta kurang terlibat dalam perang dan ketenteraan.
Walau bagaimanapun, pendirian beliau berubah apabila Empayar Maghul di bawah pemerintahan Aurangzeb mula memusnahkan kuil Hindu dan menindas penganut agama Sikh; serta memaksa penduduk memeluk agama Islam. Maka Guru Tegh Bahadur mengetuai perjuangan orang Sikh mempertahankan bukan hanya hak penganut agama Sikh tetapi juga hak penganut agama Hindu.
Fakta yang mungkin sahaja tidak diajar dalam mata pelajaran Sejarah Islam di sekolah menengah atau mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di institusi pengajian tinggi awam dan swasta adalah bagaimana Aurangzeb mengarahkan kepala Guru Tegh Bahadur dipenggal kerana berani memperjuangkan hak.
Pada tarikh Guru kesembilan itu menghembuskan nafas terakhir sebagai seorang wira, anaknya, Gobind Rai @ Guru Gobind Singh (22 Disember 1666 – 7 Oktober 1708) mengambil alih legasi dan tanggungjawab berat sebagai pemimpin agama Sikh pada usia sembilan tahun.
Guru kesepuluh ini yang hidup semasa pemerintahan Aurangzeb dan Bahadur Shah turut terkenal sebagi pencinta puisi dan sastera. Puisi turut digunakan untuk menaikkan semangat perjuangan dalam kalangan tentera dan penganut agama Sikh.
Guru Gobind juga memperkenalkan Khalsa Panth pada 30 Mac 1699. “Khalsa” bermakna “suci” dalam Bahasa Arab. Di negara India pada zaman pemerintahan Mughal, istilah “khalsa” digunakan untuk merujuk kepada tanah milik pemerintah atau kerajaan. Guru Gobind merujuk kepada “Khalsa” sebagai “para pengikut yang ada hubungan secara langsung dengan Guru”.
Memandangkan penganut Sikh pada waktu itu menjadi mangsa penindasan, kezaliman dan pembunuhan pemerintah Mughal, istilah “Panth” merujuk kepada penganut agama Sikh sebagai satu unit – sebagai “kita” dan bukannya “saya”.
Siapa selepas Guru kesepuluh?
Segala pembaharuan ini berlaku dalam suatu perhimpunan besar-besaran di Anandapur Sahib sempena sambutan Vasakhi (30 Mac 1699). Amalan Charan-Amrit (air yang disentuh dengan kaki Guru sebelum diminum para pengikut) digantikan dengan Khanday-di Pahul (air bercampur gula khas yang dikacau dengan pedang suci).
Salah satu syarat yang ditetapkan adalah bahawa penganut agama Sikh tidak boleh makan daging yang disembelih bagi upacara keagamaan; termasuk daging korban dalam agama Islam. Rokok, arak dan seks luar nikah juga diharamkan.
Guru Gobind turut memperkenalkan ucapan/slogan “Waheguru Ji Ka Khalsa, Waheguru Ji Ki Fateh” (Khalsa adalah milik Tuhan, Kejayaan adalah milik Tuhan). “Waheguru” adalah salah satu nama yang digunakan untuk Tuhan yang berciri “nirankar” (tanpa rupa), “akal” (timeless) dan “alakh” (tidak kelihatan pada mata kasar).
Penganut agama Sikh turut mula menggunakan ucapan salam khas iaitu “Sat Sri Akal” di mana “Sat” (satya) bermakna “kebenaran abadi” dan “Akal” bermakna “tidak terikat pada masa” (merujuk kepada Tuhan yang berciri ‘timeless’). Ucapan salam ini membawa makna “Kebenaran abadi adalah milik Tuhan”.
Seorang penganut agama Sikh yang sudah memenuhi syarat-syarat untuk memasuki “Khalsa” akan diberikan nama “Singh” (singa) bagi lelaki dan “Kaur” (puteri) bagi wanita. Namun, dalam perkembangan kini, bayi yang lahir sudah sedia diberikan “Singh” atau “Kaur” pada hujung namanya. Berbeza dengan kebanyakan agama lain, kaum wanita beragama Sikh boleh mengetuai upacara sembahyang.
Penganut lelaki pula perlu akur pada “panj kakar” atau “5K” iaitu Kes (tidak memotong rambut kerana ia anugerah Tuhan), Kanga (mengekalkan kebersihan dan kerapian – sikat khas bagi rambut), Kara (gelang tangan yang mengingatkan tentang Tuhan), Kacha (menjaga maruah dan naluri – seluar pendek yang longgar), dan Kirpan (berjuang menentang ketidak adilan, kezaliman dan penindasan – pedang kecil).
Guru kesepuluh itu juga memutuskan bahawa Guru kesebelas dan terakhir dalam agama Sikh adalah Sri Guru Granth Sahib iaitu kitab suci yang ditulis sejak Guru Nanak mengasaskan agama berkenaan. Kitab suci itu yang memuatkan Gurbani (“kata-kata Guru”) menjadi petunjuk hingga akhir zaman dan penganut agama Sikh perlu bersifat “Chakar Vati” iaitu tidak tunduk pada mana-mana manusia. Kerja-kerja penyelengaraan kitab berkenaan selesai pada tahun 1678.
Setiap penganut agama Sikh perlu mengamalkan sifat “kirat karo” iaitu mengimbangi antara kerja (mencari nafkah) dan melakukan kebajikan. Sebagaimana ajaran agama Hindu, agama Sikh juga mengajar para penganut supaya mendoakan kesejahteraan serta berjuang demi mempertahankan hak setiap insan tanpa mengira kaum dan agama. Amalan ini mungkin berbeza dengan ajaran beberapa agama lain yang hanya mendoakan kebahagian penganut agama berkenaan.
Demikianlah sedikit maklumat asas dan amat umum mengenai para Guru dalam agama Sikh berdasarkan pembacaan dan pergaulan saya dengan penganut agama Sikh sejak kanak-kanak. Segala kekurangan dan kekaburan fakta yang dikemukakan adalah berikutan kelemahan saya sendiri.
Maklumat ini diharap boleh membantu kita untuk sama-sama lebih memahami budaya, amalan, kepercayaan, jati diri dan keunikan penganut agama Sikh di Malaysia. Tambahan pula, pengetahuan ini selaras dengan objektif mata pelajaran TITAS yang akan turut diwajibkan di IPTS mulai September 2013.
Biarlah maklumat yang disuapkan menerusi TITAS berciri seimbang dan menyeluruh; bukannya berat sebelah dan sekadar mengagung-agungkan satu pihak.
Turut baca:
Uthaya Sankar SB suka menimba ilmu mengenai keunikan budaya pelbagai kaum dan agama melalui pembacaan dan dialog.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.