`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, August 19, 2013

Tuhan untuk semua

Meneliti beberapa hujah menarik yang sesuai dijadikan topik dialog antara agama.
COMMENT
He is the One, One Alone and Only One. – Veda
Katakanlah: “Dialah Allah, Yang Masa Esa.” – Quran
I am the First and I am the Last, and besides Me there is no God. – Bible
God is One. He is the Supreme Truth. – Guru Granth Sahib
Nampaknya semakin ramai rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia mula tidak was-was atau takut untuk terlibat dalam perbincangan positif dan waras berkaitan topik agama yang sentiasa dimomokkan sebagai terlalu sensitif dan wajar dielakkan.
Saya memang suka akan dialog antara agama. Sudah banyak dialog saya ikuti – secara formal atau tidak formal – di dalam dan luar negara. Kesemuanya membantu menambah ilmu, pengetahuan dan pemahaman.
Malah, setiap kali berpeluang membincangkan topik-topik berkaitan agama, kepercayaan, budaya, ideologi dan seumpamanya bersama rakan-rakan sambil minum teh juga merupakan sesi dialog antar-iman (inter-faith dialogue) yang sangat mengujakan.
Topik yang masih terus hangat di negara bertuah ini adalah secara khusus berkaitan agama Islam dan Kristian. Memang mudah untuk mencari masalah, kesalahan dan perbezaan. Bagaimanapun, adalah lebih bijak jika kita berusaha memahami isu-isu yang muncul itu secara objektif selepas menanggalkan kaca mata etnosentrik.
Satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad dan Baginda sendiri menggalakkan dialog antara agama. Maka, apa yang sering saya lakukan adalah selaras dengan sunah Rasulullah.
Pada 17 Ogos 2013, saya meluangkan masa membaca semula buku Tuhan Untuk Semua (2011) tulisan Faisal Abdurrahman (foto). Malah, tajuk makalah ini adalah meminjam judul buku berkenaan.
Saya membeli buku setebal 107 halaman itu pada 30 April 2011. Kemudian, semasa acara Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke kuil, gereja, masjid, tokong, wat dan gurdwara di sekitar Jalan Sentul dan Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 2 Mei 2011, penulis menghadiahi saya senaskhah lagi.
Buku terbitan PTS Islamika Sdn Bhd ini memang menarik dibaca dan dipenuhi pelbagai maklumat berguna. Sebagai seorang individu yang amat bertuah kerana dilahirkan beragama Hindu dan mengamalkan konsep inter-faith, saya tidak menghadapi masalah menerima, menghayati serta mengamalkan ajaran positif mana-mana agama.
Ada beberapa perkara yang menarik dan mencabar minda dalam buku Tuhan Untuk Semua yang ingin saya kongsikan menerusi makalah ini. Saya akan sekadar memaparkan perkara-perkara berkenaan tanpa mengulas panjang; apatah lagi mempertikaikan atau mempersoalkan pandangan yang dikemukakan oleh Faisal berasaskan huraian sumber Quran dan Hadis.
Untuk rekod, semasa kami bertemu dalam Konvoi Rumah Ibadat (2011), penulis buku ini merupakan pelajar kedoktoran dalam jurusan bioteknologi di Fakulti Sains Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Menurut maklumat pada kulit belakang buku, Faisal berasal dari Acheh, Indonesia dan aktif dalam penulisan agama di sana. Hasil pertemuan saya dengannya pada 2011, beliau ternyata seorang yang sangat berilmu, senang diajak berbual dan suka merendah diri.
Bukan Islam tak masuk syurga
Dalam bab pertama, penulis memetik Surah az-Zariyat, Ayat 56 yang bermaksud, “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.”
Selepas menghuraikan dan memberikan anologi dua pekerja bernama Jimmy dan Ahmad yang bekerja di kedai alat tulis, penulis menyimpulkan bahawa “Orang Bukan Muslim melanggar perintah Allah, maka sungguhpun rajin berbuat amal maka tetap ditolak sebab tidak mengikut perintah Allah”.
Terdahulu, dalam bab yang sama, ditegaskan bahawa agama-agama selain Islam “tidak beriman dengan Allah” maka kesemua amalan dan kebaikan mereka “akan tertolak (tidak diterima) disebabkan syirik tersebut”. Ringkasnya, semua orang Bukan Islam tidak ada peluang mencium pintu syurga.
Pada kulit belakang buku Tuhan Untuk Semua dinyatakan bahawa selain daripada pembaca beragama Islam, buku ini juga sesuai untuk pembaca “Non Muslim” (Bukan Islam) dan “Awal Muslim” (mualaf) yang menghadapi pelbagai persoalan “yang tidak dapat dijawab oleh Muslim secara mudah dan konkrit”.
Saya tidak bertujuan mahu berdakwah atau menyebarkan agama Islam; sebaliknya sekadar berkongsi maklumat daripada sebuah buku yang tajuknya sendiri amat menarik dan semacam memberikan keyakinan bahawa “Tuhan sesungguhnya adalah untuk semua”.
Selepas memaklumkan sejak bab pertama bahawa golongan Bukan Islam tidak akan memasuki syurga, dalam bab kedua pula, Faisal menghuraikan pertanyaan mengapa Allah menciptakan syurga dan neraka.
(Harap maklum bahawa walaupun judul buku menggunakan istilah “Tuhan”, huraian di dalam keseluruhan buku ini yang terdiri daripada 14 bab menggunakan kalimah “Allah”.)
Bab tujuh menjelaskan pelbagai perkara penting berkenaan Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad dalam Bahasa Arab pada tahun 612-635 Sebelum Masehi.
Setiap wahyu itu yang diterima sedikit demi sedikit selama tempoh 23 tahun melalui malaikat Jibril disampaikan kepada para pengikut Baginda untuk dicatatkan pada kulit, batu, kulit kayu dan tulang haiwan.
Untuk rekod, Rasulullah terpaksa menggunakan khidmat pencatat seperti Abu Zaid, Ubay ibn Kalb, Zaid bin Tsabit dan Mu’adh ibn Jabal kerana Baginda tidak tahu membaca dan menulis (buta huruf).
Mungkin juga ada yang bertanya bagaimana pula ayat-ayat yang diwahyukan secara lisan lebih 1,400 tahun dahulu itu boleh disahkan dan diperakui benar-benar sama dan tepat tercatat dalam Quran tanpa ada sebaran perubahan.
Buku Tuhan Untuk Semua boleh memberikan penerangan ringkas dan mudah bagi menjawab persoalan itu. Dihuraikan lebih lanjut juga bagaimana selepas kemangkatan Rasulullah, kesemua hafiz (penghafaz wahyu) dan manuskrip bertulis tadi dikumpulkan pada zaman kepimpinan Abu Bakar.
Bible bukan kitab suci!
“Kemudian, mereka membukukan dan disemak semula bacaan oleh penghafaz al-Quran dan disesuaikan dengan manuskrip yang terdapat pada batu, kayu, kulit dan tulang haiwan,” Faisal menjelaskan.
Satu lagi isu yang pasti diketahui umum adalah bagaimana orang Islam tidak mengiktiraf Bible atau Al-Kitab. Bagi mengelakkan kekeliruan serta menjawab persoalan itu, penulis berusaha memberikan penerangan berdasarkan Quran dan Bible.
Menurut Faisal, kitab Injil atau Taurat yang dimaksudkan dalam Quran adalah ayat-ayat yang diturunkan secara lisan kepada Jesus (Nabi Isa) oleh Allah dan kemudian ditulis dalam Bahasa Ibrani (Hebrew).
Malah, Injil dikatakan hanya bertujuan untuk dijadikan panduan bagi bangsa Yahudi di Israel pada masa itu; berbanding Quran yang diturunkan “untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh kaum-kaum terdahulu dan sekarang”.
“Al-Kitab yang dipercayai oleh penganut-penganut agama Kristian sebagai Injil dan Taurat adalah kumpulan buku-buku yang ditulis oleh paderi, alim Kristian dan penulis yang tidak dikenali,” kata penulis.
Kesimpulan yang dibuat adalah bahawa Bible yang ditulis dalam Bahasa Greek (Yunani) tidak layak dianggap sebagai kitab suci kerana telah diubahsuai. Bible dikatakan mencampur-adukkan wahyu Allah bersama-sama ajaran nabi-nabi, pendeta, sejarahwan dan penulis lain yang tidak diketahui identiti mereka.
Satu lagi hujah atau alasan yang dikemukakan oleh Faisal untuk “membuktikan” Bible bukan kitab suci (wahyu) adalah dengan mempersoalkan kewujudan ayat-ayat pornografi dalam Al-Kitab; contohnya:
“Nuh ialah petani, dan dialah yang mula-mula menanam anggur. Setelah Nuh minum wain, dia menjadi mabuk. Dia menanggalkan pakaiannya lalu berbaring telanjang dalam keadaan bogel dalam khemahnya.” (Genesis 9; 20-22)
Bab 9 bertajuk “Islam & Kristian Itu Sama?” dan bab 10 bertajuk “Apa Pandangan Islam Terhadap Jesus?” juga sangat menarik untuk dibaca, diteliti, dikaji, dibahaskan dan dijadikan topik dialog antara agama; khususnya selepas kerajaan berbesar hati dan bertegas mewajibkan mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di institusi pengajian tinggi.
Malangnya, seperti didedahkan presiden Majlis Perundangan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST), Jagir Singh, pemimpin agama Islam di Malaysia menganggap kedudukan mereka “lebih tinggi dalam agama, jadi mereka tidak boleh duduk sama taraf dengan Bukan Islam” (The Malaysian Insider, 1 Ogos 2013).
Bagi saya, keengganan mereka tidak menjadi masalah kerana saya lebih suka berdialog dan berbincang bersama-sama dengan kawan-kawan pelbagai kaum dan agama yang lebih waras, berilmu dan rasional berbanding puak pentaksub dan fanatik tertentu yang berselindung di sebalik topeng agama.
Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.