`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, August 23, 2013

Umno mahu laga sesama Islam?

Parti kebangsaan itu mesti dilihat memperjuang dan mendaulatkan Islam supaya ia terus kekal relevan.
Untuk terus kekal relevan, Umno mesti terus memperalatkan Islam. Umno mesti dilihat memperjuang dan mendaulatkan Islam demi untuk meraih simpati dan sokongan orang-orang Melayu.
Ini kerana parti perkauman itu tidak dapat memperjuangkan isu-isu nasional maupun isu-isu semasa kerana mereka terbukti gagal dalam menanggani isu-isu tersebut.
Semua isu-isu ini atau masalah negara yang dihadapi tidak dapat ditangani dengan baik dan tidak memihak kepada Umno dan ini membuat pemimpin-pemimpin mereka merasa cemas dan berdepan dengan hala tuju yang tidak menentu.
Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) misalnya. Cadangan Menteri Pelajaran Datuk Seri Idris Jusoh kelmarin untuk menyenarai-hitam nama mereka yang enggan atau tidak mampu membayar pinjaman tersebut dicantas oleh Ketua Pemuda Umno sendiri, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Pada Selasa lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga memegang sementara portfolio Menteri Pengangkutan mengemukakan cadangan bahawa kerajaan akan mengambil-alih operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dari dua buah syarikat swasta.
Isu ini juga memakan diri Umno sendiri kerana pemilihan dua syarikat itu, Beta Teguh Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd mengesahkan wujudnya amalan kronisme dalam Umno. Apabila untung, keuntungan itu masuk ke dalam poket individu-individu tertentu tetapi apabila rugi kerajaan akan tanggung dengan menggunakan wang rakyat.
Cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kelmarin yang mahu membatalkan lesen memandu seramai 1.7 juta pemandu yang disenarai-hitam polis trafik jika enggan membayar baki tertunggak saman lalu lintas dianggap keterlaluan.
Kes jenayah
Polis juga gagal menghadapi kes jenayah yang semakin meningkat dan kejadian tembak menembak yang berlaku setiap hari. Bagaimana dikatakan negara berada dalam keadaan aman sedangkan rakyat sentiasa hidup dalam ketakutan.
Keadaan ekonomi negara yang tidak beberapa sihat juga tidak memihak kepada Umno. Kelmarin Bank Negara menyasarkan penurunan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari 5-6% kepada 4.5-5% untuk tahun 2013.
Transformasi ekonomi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukannya membuat kedudukan ekonomi negara bertambah kukuh; namun ianya ‘berjaya’ menambah hutang negara dari RM250 bilion kepada lebih RM500 bilion atau 53.9% dari KDNK dalam tempoh empat tahun sahaja.
Mengenai peristiwa berdarah di Mesir, tidak seorang pun pemimpin Umno yang berani mengecam secara terbuka tindakan kejam tentera kudeta negara itu yang semberono melakukan pembunuhan beramai-ramai rakyat dan penyokong Morsi-Ikhwanul Muslimin.
Berdepan dengan isu atau masalah yang gagal ditangani oleh para pemimpin Umno sendiri maka isu agama-lah yang mudah diterima oleh orang-orang Melayu yang kebanyakannya malas membaca; apatah lagi membuat kajian tentang agama mereka tetapi sensitif dengan isu ini.
Sikap orang-orang Melayu yang malas membaca dan menuntut ilmu membuat mereka mudah terpedaya dengan propaganda yang dilontarkan oleh pemimpin-pemimpin Umno untuk kepentingan politik mereka.
Maka ditimbulkan isu Sunni-Syiah dan disebarkan dakyah kalau tidak dibendung fahaman Syiah ini akan mendatangkan bahaya dan berpotensi untuk memecah-belah umat Islam di negara ini.
Untuk mencapai cita-cita mereka ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sanggup berbohong dan memutar belit fakta dalam kenyataan-kenyataannya mengenai isu Syiah yang dilabel sebagai ajaran sesat.
Kenyataan bercanggah
Barangkali Jamil Khir sendiri mahu menonjol diri sebagai juara dalam mempertahankan akidah umat Islam sebagai persiapan menghadapi pemilihan Umno Oktober ini di mana beliau diwar-warkan akan bertanding bagi merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi.
Dalam kenyataannya kelmarin, beliau berkata pengikut Syiah boleh mengamalkan fahaman mereka di Malaysia tetapi tidak dibenarkan untuk menyebarkan fahaman itu kepada orang lain, iaitu di kalangan pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kenyataan beliau ini amat bercanggah dengan kenyataannya pada 27 Julai lalu, di mana Jamil Khir berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap para pengikut Syiah.
Tindakan beliau ini juga dilihat seperti mahu membunuh dua ekor burung dengan seketul batu; menyekat perkembangan ajaran Syiah atau Ahlul Bait dan pada masa sama ingin menimbulkan pepecahan di kalangan ahli-ahli PAS.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan terbarunya membidas telatah pemimpin-pemimpin Umno berhubung isu ini apabila beliau berkata, umat Islam terlupa musuh utamanya Israel dan kuasa-kuasa besar dunia kerana asyik dengan pertikaian Sunni-Syiah.
“Secara sedar tapi bodoh dan jahil, isu perbalahan mazhab telah melekakan umat Islam tentang kebangkitan Islam di seluruh dunia.
“Kontroversi Sunni-Syiah adalah perkara lama yang sengaja ditimbulkan. Pengaruh Syiah dalam masyarakat Melayu bukan perkara baru tetapi sejak kedatangan Islam ratusan tahun lalu, ia patut dibincang oleh ahli-ahli ilmu,” kata Ahli Parlimen Marang itu.
Literatur Syiah
Jika Jamil Khir menafikan beliau memutar belit kenyataannya sendiri, kenapa perlu mendakwa dua pengikut Syiah di Mahkamah Syariah Taiping hanya kerana mereka memiliki buku dan bahan literatur Syiah.
Ini bermakna mereka yang memiliki buku Das Kapital oleh Karl Marx (yang membawa fahaman komunisme), Bible (kitab suci penganut Kristian), Bagavath Gita (kitab suci agama Hindu) dan Vinaya Pitaka (kitab suci agama Buddha) boleh ditahan dan didakwa di mahkamah.
Umno juga gagal menangani isu kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang diislamkan oleh salah seorang ibu bapa mereka kerana undang-undang Islam bukannya undang-undang tertinggi di bumi Malaysia ini.
Ini berikutan cadangan Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang mahu mendapat sokongan bagi meminda perlembagaan berhubung peranan ibu bapa dalam penukaran agama anak.
Belum lagi didedahkan kegagalan pihak berkuasa agama negeri-negeri untuk membendung gejala murtad dan perbuatan menghina Islam oleh umat Islam sendiri.
Berdasarkan perkembangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini, kita merasa pelik dengan tingkah laku para pemimpin Umno ini.  Adakah mereka suka melihat umat Islam berpecah belah dan bergaduh sesama sendiri dengan mengapi-apikan perbezaan mazhab?
Malahan mereka sanggup memperalatkan setesen televisyen Al Hijrah untuk menganjurkan forum bertajuk “Perangi Syiah” Isnin lalu semata-mata mahu menunjukkan kepada penonton dan masyarakat Islam bahawa mereka sahajalah yang benar.
Ataukah mereka tidak ada pilihan lain melainkan mesti memperkuda isu agama untuk terus kekal relevan dalam persada politik tanah air?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.