`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, October 30, 2013

Balasan ringkas buat Ravinder Singh - Mohd Azrul Azuan Idris


Saya mendapat 'tag' daripada seorang sahabat saya berkenaan tulisan saudara Ravinder Singh di sini. Oleh itu, dalam keterbatasan masa dan banyak urusan yang perlu saya segerakan hari ini, saya cuba menjawab secara ringkas apa yang ditulis oleh beliau. Semoga Allah membantu saya.
Bukan salah beliau
Saya merasakan, Ravinder Singh menulis tentang hudud dengan kefahaman yang terhad berkenaannya. Saya tidak menyalahkan beliau kerana pastinya beliau sebagai seorang bukan Islam tidak dapat memahami hukum Islam ini. Saya menyalahkan diri saya sendiri terutamanya, kerana masih belum berbuat apa-apa untuk menerangkan hukum Allah yang saya beriman dengannya.
Saya juga tidak menyalahkannya kerana pihak yang memegang tampuk kuasa di Malaysia sejak 1957, walaupun beragama Islam tidak pernah memasukkan hudud dan hukum Islam yang lain sebagai agenda utama untuk dilaksanakan. Malah, tidak pernah berusaha untuk memberi penerangan kepada umat Islam di Malaysia, apatah lagi untuk masyarakat bukan Islam. Lebih teruk lagi, hukum Allah ini pernah dijadikan modal untuk menakutkan masyarakat bukan Islam kepada lawan politiknya dalam pilihan raya.
Mungkin juga usaha yang dibuat oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga tidak menyeluruh sehingga masih ramai di kalangan masyarakat Malaysia tidak memahami hukum Allah ini. Insyaallah, artikel Ravinder Singh boleh dijadikan muhasabah untuk PAS menggandakan lagi usaha penerangan hudud di peringkat kebangsaan.
Hudud dan pasangannya
Hukum hudud akan mudah disalah faham jika dipisahkan daripada pasangannya. Seperti aur dan tebing, juga seperti irama dan lagu. Hudud berpasangan dengan qisas dan ta'zir. Jika hukum Islam hanya hudud, maka bagaimana pula dengan hukum bagi kesalahan lain selain enam kesalahan hudud?
Selain Hudud, Islam juga mensyariatkan qisas iaitu dengan kefahaman mudah adalah hukum yang membalas jenayah yang dilakukan dengan perkara yang sama. Contohnya, mereka yang membunuh orang lain dengan sengaja, maka dia akan dibalas dengan bunuh juga. Orang yang mencederakan kaki seseorang, maka kakinya juga mesti dicederakan.
Jika dipraktikkan di Malaysia, maka pembunuh Altantuya akan dibalas dengan bunuh juga. Begitu juga dengan peragut yang menebas tangan mangsanya, tangannya juga mesti ditebas dan dipotong.
Ta'zir
Manakala ta'zir adalah hukuman untuk kesalahan yang tiada atau tidak dapat disabitkan dengan hudud dan qisas. Selain itu, hukum ta'zir juga boleh dikenakan sebagai tambahan terhadap kesalahan yang sedia ada dalam hukuman hudud, mengikut budi bicara hakim dan pemerintah. Bentuk hukuman ta'zir ini adalah mengikut ketetapan hakim dan pemerintah yang sah.
Contoh untuk kesalahan yang tiada dalam hudud dan qisas yang dimasukkan dalam hukuman ta'zir adalah kesalahan meliwat isteri. Dalam bab ini, usahkan Ravinder, malah ada ahli parlimen beragama Islam juga tidak memahaminya sehingga menyerang Enakmen Jenayah Hudud Terengganu di Parlimen dengan dakwaan bahawa Enakmen Hudud Terengganu membenarkan suami meliwat isteri.
Contoh untuk hukuman tambahan terhadap kesalahan yang sedia ada dalam hukuman hudud adalah adalah seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar Al Kahttab, pemerintah ketiga Khulafa ar-Rasyidin. Pada zaman pemerintahan beliau, beliau  menambah 40 sebatan sebagai hukuman ta'zir terhadap kesalahan meminum arak di mana kesalahan tersebut telah sedia ada dalam hukuman hudud yang memperuntukkan 40 sebatan terhadap pelakunya.
Contoh untuk kesalahan yang tidak dapat disabitkan dengan hudud atau qisas adalah merogol atau berzina , tetapi tidak mempunyai bukti yang boleh disabitkan dengan hudud. Jika si penzina dan perogol melakukan jenayah itu dan tidak dapat dibawakan bukti saksi yang adil seramai empat orang, ini sama sekali tidak bermakna mereka akan terlepas. Jika mereka tidak dapat disabitkan dengan hudud, mereka akan disabitkan dengan ta'zir.
Apabila dimasukkan dalam hukuman ta'zir, maka semua jenis bukti termasuk sampel DNA, rakaman video, serta saksi yang tidak cukup spesifikasi dalam hudud boleh diterima dan dijadikan bahan bukti sampingan kes. Selepas itu, jika perbicaraan mendapati bahawa tertuduh memang ada melakukan kesalahan tersebut berdasarkan bukti sokongan tersebut, maka dia boleh dihukum dengan hukuman yang ditetapkan oleh hakim atau pemerintah.
Saya rasa, inilah yang tidak diketahui dan difahami oleh Ravinder. Hudud bukan satu-satunya hukum yang ada dalam Islam. Ia mesti difahami bersama dengan hukum qisas dan ta'zir, barulah kita dapat memahami hukum Islam secara menyeluruh.
Kenapa beberapa hukum dalam hudud tidak terima bukti selain empat saksi adil?
Soalan ini kerap ditanya kepada saya. Untuk memastikan hukuman hudud ini fleksibel untuk dilaksanakan, mengapa tidak menerima saksi yang tidak adil, atau saksi yang kurang daripada empat orang, atau bukti teknikal yang lain seperti sampel DNA dan rakaman video?
Jawapan saya yang pertama adalah, syarat dan ciri saksi ini sudah termaktub dalam Al-Quran secara jelas dan sorih, tanpa ada mana-mana dalil lain yang memansuhkannya. Contohnya dalam kes Qazaf (menuduh orang lain berzina), mari kita lihat pada Surah An Nur, ayat 4 dan 5:
Bermaksud, "Dan bagi mereka yang menuduh wanita baik berzina dan tidak mampu untuk membawa empat orang saksi (untuk membuktikan dakwaannya), maka hendaklah mereka direjam dengan 80 kali rejaman dan tiada akan diterima persaksiannya selamanya, dan mereka tergolong di kalangan orang yang fasiq. Kecuali bagi mereka yang bertaubat selepas itu dan memperbaiki dirinya, sesungguhnya Allah itu maha pengampun dan maha penyayang."
Itu bermakna, syarat ini adalah ketetapan Allah, Tuhan maha adil kepada umat Islam dan kami wajib mematuhinya tanpa mempersoalkan, malah haram untuk mengubah syarat ini sesuka hati.
Kedua, ketetapan syarat dan ciri saksi ini penting agar kita tidak bermudah-mudah untuk menuduh orang lain melakukan kesalahan dan jenayah. Tambahan pula, Hudud adalah hukum Allah, maka jika syarat pensabitannya longgar dan mudah untuk dimanipulasi, maka ia membuka ruang untuk orang menggunakan hukum Allah ini bagi menzalimi orang lain.
Kita tahu sekarang bagaimana mudahnya bahan bukti direka. Rakaman video pun boleh diubah dan di'impose' untuk menggambarkan saya sebagai orang lain atau orang lain sebagai saya. DNA pun mudah untuk dimanipulasi. Dengan satu klik data dalam komputer, atau tersalah letak dan tersalah namakan pemilik DNA, maka maklumat juga boleh berubah sekelip mata.
Hudud mesti bersih daripada unsur tidak adil
Jawapan saya yang ketiga adalah hukuman Hudud ini adalah hukum Allah dan ia mesti bersih dari mana-mana unsur ketidakadilan seperti saksi yang bohong atau bukti yang boleh dimanipulasi. Saya akui, dengan teknologi zaman kini kita boleh mengadakan bukti yang hampir benar seperti sampel DNA, cap jari dan rakaman video. Tetapi, satu soalan saya ingin lontarkan, siapa boleh jamin bahawa semua bukti ini selamat daripada manipulasi dan penipuan 100%? Berikan saya bukti kajian jika sesiapa menjamin semua bukti ini selamat sepenuhnya daripada manipulasi.
Dua hari lalu, saya menonton satu filem Inggeris di mana heronya berjaya memasuki gudang simpanan fail rahsia CIA yang dikawal dengan sistem keselamatan yang paling canggih. Sistem itu memerlukan DNA mata dan cap jari untuk memasukinya, tetapi si hero dengan bergayanya mampu untuk memasuki tempat yang paling dikawal rapi itu dengan hanya memanipulasi semua unsur DNA itu dengan mudah. Oleh itu, siapa boleh jamin bukti sokongan seperti DNA, cap jari dan rakaman video selamat 100%?
Apabila semua bukti ini mudah dimanipulasi, maka ia mudah untuk ditipu, mudah untuk dihapuskan dan mudah untuk dipesongkan. Orang yang tidak bersalah boleh dijadikan bersalah dan orang yang bersalah boleh dilepaskan. Kemudian, setelah mengetahui semua ini, bolehkan umat Islam bersetuju untuk menerima bukti tidak kukuh ini sebagai bukti utama hukum hudud, kemudian mengatakan hukum ini dari Tuhan?
Jika bukti itu diselewengkan dan hukum Tuhan ini dijatuhkan kepada orang yang tidak bersalah, atau melepaskan orang yang bersalah, maka kelemahan bukti ini akan disabitkan sebagai kelemahan hukum Allah? Mohon maaf, ianya tidak akan berlaku dan Maha Suci Allah daripada segala kekurangan dan kezaliman kepada hambaNya.
Adakah perlu tolak semua bukti ini?
Tidak. Semua bukti teknikal seperti sampel DNA, cap jari dan rakaman video boleh diterima sebagai bukti, tetapi mesti disertai dengan bukti lain untuk menguatkannya. Rasanya itu juga yang diamalkan sekarang. Seperti yang dikatakan oleh sahabat saya, Akmal Amri,
" DNA evidence is a circumstantial evidence, same with fingerprint. (Circumstantial evidense bermaksud walaupun cap jari saya ada di peti besi itu, tidak bermakna saya yang membukanya. Perlu ada bukti lain yang mengesahkan bahawa saya yang membukanya kerana ada kemungkinan orang lain yang meletakkan cap jari saya. Mungkin juga saya hanya memegang sahaja peti besi itu, tetapi tidak membukanya). Sama juga dengan DNA. Walaupun DNA seseorang ada di dalam kemaluan mangsa rogol, tidak bermakna dia yang merogolnya. Mungkin juga berlaku perogol memakai protection, kemudian perogol memasukkan air mani orang lain ke dalam kemaluan itu."
Dalam hukuman ta'zir, semua bukti teknikal ini diterima sebagai bukti yang boleh disabitkan dengan kes, dengan syarat seperti di atas iaitu ia mesti disertai bukti lain yang menguatkannya. Sekiranya berjaya membuktikan kesalahan pesalah, maka hukuman Ta'zir akan dijatuhkan mengikut hukuman yang ditetapkan oleh hakim atau pemerintah.
Jika susah untuk disabitkan kesalahan, mengapa ingin dilaksanakan?
Soalan ini juga kerap ditanyakan kepada saya, mengapa ingin dilaksanakan sekiranya ianya sukar untuk disabitkan. Jawapan pertama saya sama seperti yang saya sebutkan di atas. Ia adalah arahan Allah, Tuhan sekalian alam. Saya sebagai umat Islam beriman bahawa apa yang disuruh olehNya wajib saya laksanakan tanpa bantah kerana Dia lebih mengetahui apa yang saya tidak ketahui.
Saya yakin Ravinder Singh adalah seorang penganut Sikh yang baik. Maka, mudah untuk saya katakan bahawa jawapan saya juga sama dengan jawapan kepada persoalan orang ramai kepada penganut Sikh, "mengapa penganut Sikh lelaki membela rambut panjang?"
Kedua, hukum hudud ini selain sebagai pencegahan dan hukuman kepada pesalah, ia juga sebagai ingatan dan pengajaran kepada semua lapisan masyrakat. Ravinder tahukah bahawa dalam 1 juta rakyat Arab Saudi yang mengamalkan hukuman hudud, hanya 3 kes rogol berlaku dalam setahun? Pernah berlaku rekod ini dalam mana-mana negara yang mengamalkan hukum konvensional?
Ketiga, selain ianya berupa satu hukuman, hudud juga merupakan satu pembelajaran untuk kita sama-sama renungkan. Perhatikan, mengapa hanya enam kesalahan yang dimasukkan sebagai kesalahan hudud? Ini membawa kita untuk berfikir dengan lebih mendalam akan apa yang ingin disampaikan oleh Allah kepada kita.
Semua kesalahan dalam Hudud jika kita perhatikan adalah jenayah terbesar ke atas semua maslahat utama manusia. Zina adalah jenayah ke atas nasab manusia, mencuri dan merompak adalah jenayah ke atas harta manusia, arak adalah jenayah ke atas akal manusia, qazaf (menuduh orang lain berzina) adalah jenayah ke atas nilai kemasyarakatan manusia, bughah (memberontak ke atas pemerintah yang sah) adalah jenayah ke atas sosio politik manusia, dan murtad adalah jenayah ke atas pegangan akidah manusia.
Dengan mengenal hudud, kita akan kenal erti kehiudpan dan batasan yang perlu dipatuhi dalam hidup. Contohnya, zina kini dikenali sebagai lambang keseronokan, dengan hudud kita akan sedar bahawa zina adalah jenayah terhadap nasab manusia. Hakikatnya, hudud bukanlah satu undang-undang yang zalim, tetapi hudud menjaga akal, harta, nasab, sosio dan nilai masyarakat kita.
Keempat, pelaksanaan hudud bukan semudah A, B dan C. Sebelum melaksanakannya, umat Islam wajib memperkukuhkan didikan agamanya, ekonominya, taraf kehidupan masyarakatnya dan memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap hukum hudud itu sendiri.
Perlu diingatkan, sejarah membuktikan bahawa Saidina Umar pernah mengangguhkan perlaksanaan hudud kerana Madinah ketika itu dilanda kemarau. Tanaman tidak menjadi dan ramai orang kebuluran. Terjadi kes kecurian makanan kerana mereka yang tidak tahan kebuluran bertindak mencuri harta dan makanan orang lain. Disebabkan masalah cuaca dan sosioekonomi ketika itu, Hudud ditangguhkan demi untuk menstabilkan dahulu keadaan sosio masyarakat agar kembali stabil.
PAS sedang melakukannya
Ini yang sedang dilakukan oleh PAS. PAS bersama dengan Pakatan Rakyat ingin mengubah Malaysia menjadi negara yang berkredibiliti, rakyatnya hidup dalam sejahtera dan menikmati kekayaan hasil negara dengan baik. PAS komited untuk menghapuskan amalan korup yang menjadi musuh utama negara. Kekayaan negara perlu dipulangkan kepada rakyat, bukan ke tangan kroni. Kemiskinan rakyat perlu dibasmi secara total melalui pemerintahan yang adil dan telus, bukan melalui BR1M semata-mata.
Dalam masa yang sama, PAS melalui keterbatasan yang ada, berjaya menubuhkan institusi pendidikan bermula daripada peringkat Pasti, sehingga ke universiti. Semuanya demi seperti yang disarankan Ravinder iaitu mendidik masyarakat dengan nilai akhlak dan moral yang tinggi. PAS sentiasa berusaha untuk mendidik umat Islam agar kembali kepada Allah dan kembali kepada rasa bertuhan dalam kehidupan harian.
Mungkin usaha PAS ini tidak kelihatan di mata saudara Ravinder disebabkan keterbatasan yang ada, atau saya akui mungkin juga PAS masih tidak berjaya sepenuhnya dalam usaha ini. Namun yang pasti, melalui ruang yang ada, PAS gunakan sepenuhnya. Kita boleh lihat di Selangor dan Kelantan, bagaimana PAS sentiasa menggunakan ruang kuasa yang ada untuk memaksimumkan didikan kepada umat Islam dan rakyat.
Semua usaha ini biarpun tidak kelihatan di mata Ravinder, namun tidak pula boleh dinafikan begitu sahaja. Berkesan atau tidak, ia bukan penanda aras bahawa kerja mendidik ini tidak dilakukan. Ini adalah kerana usaha pendidikan ini perlu bersaing dengan 'usaha pemusnahan' yang dilakukan oleh pihak lain. Usaha mendekatkan diri dengan Allah yang dilakukan PAS perlu bersaing dengan usaha mendekatkan diri dengan maksiat yang dilakukan oleh pihak lain.
Berikan kami ruang amalkan agama kami
Insyaallah, saya yakin jika usaha pendidikan, pemulihan dan pemerintahan yang adil dapat dilaksanakan di negara kita, Hudud dapat dilaksanakan dengan baik tanpa ada sebarang pertikaian. Brunei sudah melangkah maju setapak kehadapan apabila mengumumkan untuk melaksanakan hukum Allah ini di sana tahun hadapan. Pastinya keadaan di sana kondusif sehingga Paduka Baginda Sultan Brunei bertekad untuk melaksanakannya demi memenuhi amanah kepimpinan yang Allah berikan kepada baginda.
Di Malaysia, saya optimis hudud dapat dilaksanakan dengan berkesan dan jayanya. Saya juga ingin mengingatkan bahawa hukuman ini khusus untuk kami, umat Islam. Ia sama sekali tidak berkaitan dengan orang bukan Islam. Oleh itu, Ravinder tidak perlu merasa bimbang.
Bagi saya, seharusnya Ravinder menghormati kami untuk mengamalkan ajaran agama kami, seperti kami hormati semua penganut bukan Islam mengamalkan agama mereka. Rasa hormat ini seharusnya ada dalam diri setiap rakyat Malaysia. Seperti mana saudara tidak mahu ada salah faham orang lain terhadap agama Sikh, begitu juga saudara jangan bersangka buruk kepada agama Islam. Jika ada sebarang perkara berkaitan agama Islam yang saudara tidak faham, sepatutnya saudara perlu bertanya sebelum membuat artikel umum begitu yang pastinya akan menimbulkan salah faham dan ketegangan yang lebih besar.
Ingatan juga kepada umat Islam terutamanya para daie, aktivis dan Islamist. Apabila berlaku keadaan seperti ini, tugasan kita adalah memberikan penerangan dan menonjolkan kerahmatan Islam, bukannya bertindak mengikut emosi, mengugut dan mengherdik. Salah siapa jika ada orang yang salah faham tentang Islam, pastinya salah kita juga yang tidak membuat kerja. Perkara ini berlaku menandakan kita masih tidak menjalankan tugas kita dengan sempurna.
Segera berkerja untuk Islam, itu jawapan kepada semua umat Islam setiap kali berlaku isu seperti ini.
* Mohd Azrul Azuan  Idris ialah pembaca The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.