`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, November 20, 2013

Exco tak setuju penentang titah Sultan Selangor berpindah

Cuma saya kira tidak perlulah sampai satu keadaan yang mana sampai perlu menekankan sesiapa yang tidak setuju dengan titah sultan perlu keluar dari negeri.
SHAH ALAM: Exco-Exco kerajaan negeri Selangor tidak bersetuju dengan pandangan bahawa sesiapa yang menentang titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penggunaan kalimah Allah wajar meninggalkan negeri Selangor.
Pada 17 November lalu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid, seperti yang dipetik dalam Utusan Malaysia berkata mana-mana pihak yang mempersoalkan titah Sultan Sharafuddin  berhubung pengunaan kalimah Allah wajar meninggalkan negeri itu.
Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus Hairi dan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim bagaimanapun akur dengan titah Sultan Sharafuddin menetapkan bahawa semua rakyat negeri itu, tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan mematuhi larangan penggunaan Kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.
“Walaupun mungkin daripada segi ideologi, dari segi pandangan orang ada pendapat masing-masing yang berbeza. Cuma saya kira tidak perlulah sampai satu keadaan yang mana sampai perlu menekankan sesiapa yang tidak setuju dengan titah sultan perlu keluar dari negeri.
“Saya ingat ini bukan satu cara penyelesaian yang baik kerana saya masih lagi melihat bahawa pandangan ataupun pendidikan kepada manusia sejagat itu adalah satu perkara yang penting,” kata Ahmad Yunus apabila ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Tambahnya lagi, para mufti boleh memainkan peranan untuk menerangkan kepada masyarakat mengapa titah ini dibuat.
“Mungkin pendapat bergantung kepada corak ilmu yang kita dapat. Kalau ilmu yang ada dan kita dapat menyedarkan…apatah lagi dengan nasihat mufti-mufti, kita boleh memberikan penerangan kepada masyarakat. Itu saya kira (cadangan) yang lebih baik,” jelasnya lagi.
Menurutnya lagi, titah yang dikeluarkan oleh Sultan Sharafuddin sudah dilihat dari pelbagai sudut kepentingan dan semua pihak perlu akur dengan titah baginda.
Apabila ditemui, Teng berkata titah sultan itu tidak memang tidak wajar untuk dipersoalkan.
“Itu titah tuanku dan kita hormati titah tuanku,” katanya.
Namun, beliau mempersoalkan kembali cadangan Mahmood supaya mana-mana pihak yang menentang titah sultan untuk berhijrah dari negeri Selangor.
“Kalau orang tidak mahu pindah apa boleh buat? Kita ada undang-undang,” katanya lagi.
Sultan Sharafuddin, pada 14 November lalu menetapkan bahawa semua rakyat negeri itu, tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan mematuhi larangan penggunaan Kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.