.Hari ini, penduduk Sungai Limau keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat mereka bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu selepas penyandangnya Tan Sri Azizan Razak meninggal dunia September lalu.
Ini adalah pilihan raya kecil pertama semenjak 28 tahun kerusi DUN Sungai Limau dipegang oleh bekas Menteri Besar Kedah sepenggal itu dan masyarakat kampung di sini teruja dan terkejut apabila menjadi tumpuan seluruh negara.
Terdapat 27,222 pengundi di Sungai Limau dan daripada jumlah keseluruhan pengundi, 93% adalah Melayu, 6% Cina manakala selebihnya adalah kaum India dan lain-lain.
Pengkritik melihat pilihan raya kali kecil ini sebagai pertarungan "maruah" bagi PAS mahupun Umno, terutamanya selepas berakhir Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Bagi PAS, kemenangan di Sungai Limau penting untuk menebus maruah mereka selepas gagal mempertahankan sebuah kerajaan negeri.
Bagi Umno pula, pilihan raya kecil kali ini penting untuk Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir membuktikan kemampuan dirinya sebagai pemimpin terutamanya selepas tewas dalam pemilihan Umno baru-baru ini.
Selain itu, ia juga ujian litmus untuk melihat sama ada pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad masih relevan ataupun tidak, apatah lagi ia adalah negeri kelahiran negarawan tersebut.
Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan PAS, Mohd Azam Abd Samat. -TMI
Ustaz Azam seru pengundi keluar awal
JERAI: Calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat menyeru para pengundi keluar mengundi lebih awal bagi mengelakkan nama-nama pengundi disalah guna.
Katanya, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di sebelah petang, peluang mengundi lebih awal adalah waktu terbaik untuk pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Selain itu, beliau juga meminta para pengundi yang berada di luar agar pulang bagi memastikan legasi perjuangan PAS dapat diteruskan.
"Membuat pilihan yang bijak, terus memilih PAS agar segala apa yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan dapat kita teruskan. Ingat satu undi adalah satu bantah kenaikan harga barang," jelasnya ketika ditemui semalam.
Katanya, Allahyarham Ustaz Azizan berada pada satu tahap nilai tersendiri dan sukar untuk mencari pengganti yang seratus peratus menyamai beliau.
Namun, beliau yakin dengan sokongan dari semua pihak, jentera, ahli dan rakan-rakan Pakatan Rakyat termasuk rakyat Dun Sungai Limau akan memberi semangat baru kepadanya meneruskan amanah yang ditinggalkan oleh Allahyarham Ustaz Azizan.
"Kita belajar dari Allahyarham Ustaz Azizan di mana beliau amat mendekati pengundi di sini, harapan beliau agar penduduk dan pemimpin berada dekat dengan rakyat.
"Beliau mahukan setiap masalah rakyat didengari, rakyat senang mendekati pemimpin dan tidak ada sebarang protokol yang boleh memisahkan pemimpin dengar rakyat.
"Itu yang kita pelajari dan akan kita teruskan sampai bla-bila, harapan saya agar pengundi di sini mengambil peluang dan berfikir matang dalam membuat keputusan esok (hari ini)," jelasnya.
Justeru, beliau mengharapkan pengundi memberi sokongan penuh kepada Pakatan Rakyat khususnya PAS agar isyarat bantahan terhadap tindakan kerajaan menekan rakyat dapat diperolehi.
Tegasnya, kebajikan rakyat perlu diutamakan dan mereka perlu meletakkan hari pengundian hari ini sebagai hari protes rakyat kepada kerajaan. -HD
Akan dikemaskinikan sentiasa



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.