`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, December 13, 2013

Aksi ‘Saya Yang Menurut Perintah’ oleh KDN

Perasaan gerun yang biasa timbul apabila mendengar nama Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini telah lenyap dan bertukar menjadi humor. Hanya perasaan simpati yang mampu ditujukan kepada KDN yang ternyata tunduk kepada “political master” mereka.

Ucapan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri merangkap Naib Presiden Umno semasa Perhimpunan Umno rupanya hanya berdegar-degar di pentas politik. Sembang politik sememangnya begitu, kencangnya ibarat pokok pun boleh tumbang.

Yang menjadi mangsa cemuhan dan usikan di media-media sosial adalah KDN sendiri yang mana Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi selaku penjawat awam menjadi kambing hitam apabila diperkudakan seperti lembu dicucuk hidung. Mengapa bukan Menteri Dalam Negeri sendiri yang tampil untuk mengeluarkan kenyataan?

Antara fenomena yang paling parah di dalam perkhidmatan awam di Malaysia adalah fenomena “political master” yang sangat menebal.

Penjawat awam tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya dalam perkara ini kerana seperti yang sedia maklum, budaya Saya Yang Menurut Perintah (SYMP) menjadi tunjang dalam perkhidmatan awam. Rawatlah sebelum parah menjadi barah.

Para penjawat awam bermula dari Gred 1 sehingga ke peringkat JUSA mahupun TURUS hanya mahu menjaga periuk nasi mereka.

Kisah penjawat awam dinafikan kenaikan pangkat, dikenakan tindakan tatatertib, diarahkan bertukar dalam masa 24 jam dan berbagai-bagai lagi bukanlah asing di kalangan penjawat awam. Ini adalah nasib kepada penjawat awam yang dikatakan ingkar ataupun tidak sebulu dengan “political master” mereka.

Dalam isu Syiah ini, 10 bukti yang dikemukakan adalah sangat lemah bahkan tidak layak dikategorikan sebagai bukti. Antara 10 bukti yang diberikan, yang paling kuat (di kalangan yang lemah) untuk menyabitkan Mat Sabu sebagai Syiah adalah kononnya Mat Sabu pernah bersembahyang dengan meletakkan batu leper di tempat sujud.

Itupun tiada sebarang gambar atau video untuk menyokong dakwaan ini. Peristiwa ini yang kononnya pernah dilihat oleh Abdul Rahim dari Sungai Jagung, Pendang Kedah tidak mencukupi untuk menyokong tuduhan yang amat besar ini.

Dalam perspektif undang-undang, peristiwa kononnya Mat Sabu pernah bersembahyang dengan meletakkan batu leper di tempat sujud hanyalah bersifat “hearsay”(khabar angin).

Oleh yang sedemikian, penulis ingin bertanya kepada KDN, mahkamah mana yang akan terima bukti berdasarkan “hearsay” sahaja?

Bukti yang kononnya Mat Sabu pernah melafazkan selawat yang diamalkan oleh penganut Syiah juga adalah “hearsay” sahaja. Adakah ini sahaja taraf siasatan dan risikan KDN?

KDN selaku sebuah kementerian yang sangat penting dalam keselamatan negara sepatutnya menjaga reputasi dan imej dengan lebih baik, bukannya mudah tunduk terhadap tekanan “political master”.

Penulis tidak ingin mengulas mengenai baki bukti-bukti lain yang berkisar dengan ucapan, penulisan dan lawatan Mat Sabu kerana bukti-bukti sangat mudah untuk dibidas, malah tidak berbaloi untuk bahaskan di sini.

Gurauan dan usikan sinis yang penuh makna oleh rakyat di media-media sosial sudah mencukupi untuk membidas bukti-bukti ini.

Malangnya dengan pendedahan oleh KDN ini, Mat Sabu masih belum dapat ditentukan sebagai Syiah ataupun tidak. Sebaliknya, ianya menimbulkan perdebatan dan isu baru iaitu penjawat awam diperkudakan oleh “political master”.

Akhir sekali, isu Syiah ini tidak lebih dari taktik “distraction” oleh Kerajaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu yang lebih besar seperti kenaikan harga barang keperluan dan juga isu keselamatan negara yang lebih “tangible” seperti risikan negara luar terhadap Malaysia

Kemahiran perang saraf pihak kerajaan perlu digilap untuk memastikan usaha gerak saraf perang saraf (GSPS) mereka dijalankan tanpa dihidu dan dikesan oleh rakyat selaku kumpulan sasaran.

Jelas, tunjang kepada perang saraf iaitu "capture their minds and their hearts and souls will follow" gagal dipraktikkan oleh think-tank kerajaan kepada rakyat

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.