`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, January 1, 2015

2015: Tempoh semakin singkat buat Umno

nur-jazlan
Nur Jazlan Mohamed, TMI
Hari ini, 1 Januari 2015 tidak seperti kebiasaannya dengan pelbagai pesta sambutan pada malam menyambut tahun baru, tiada sambutan besar-besaran diadakan malam tadi berikutan rakyat Malaysia masih belum pulih daripada musibah banjir terburuk dan terbesar melanda negara ini.
Ketika ini, lebih 100,000 rakyat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor masih berada di pusat penempatan banjir selepas terpaksa berpindah daripada kediaman masing-masing sejak dua minggu lalu.
Pengakhiran tahun 2014 selain musibah banjir ini turut diakhiri dengan tragedi menimpa pesawat AirAisa Indonesia QZ8501 dan walaupun hanya seorang rakyat Malaysia disahkan berada dalam pesawat malang berkenaan, seluruh negara turut merasai kehilangan syarikat tambang rendah negara berkenaan kerana ia adalah jenama Malaysia yang dibangunkan di negara ini.
Nampaknya tahun 2014 boleh digelar sebagai tahun bencana buat Malaysia selepas banjir besar ketika ini, rakyat Malaysia juga  masih belum pulih daripada trauma kehilangan pesawat MAS, MH370 dan MH17.
Seharusnya, pemimpin politik mengadakan ‘gencatan senjata’ dalam berpolitik dan bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia mengharungi tahun bencana ini selain berhenti menuding jari antara satu sama lain mencari salah.
Sebab itu saya berulang kali menyatakan sudah sampai masanya pemimpin dan parti politik negara ini mengamalkan politik matang atau politik baru serta menghentikan politik berlawan atau politik kebencian memandangkan politik matang inilah yang amat diperlukan rakyat Malaysia dalam mengharungi waktu getir ini.
Tidak ada gunanya mencari salah atau menunjukkan kekuatan politik hingga menyebabkan rakyat menyampah kerana tiada penghujungnya dan mereka yang kemudian akan membuat perhitungan di peti undi tiga tahun lagi.
Menyambut kesedaran itu juga Umno sebagai sebuah parti tulang belakang dalam kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) dan di 12 negeri lagi perlu segera menunjukkan perubahan dalam pendekatan politik parti untuk terus meraih sokongan rakyat.
Disebabkan itu juga saya sanggup ‘menjual’ diri menjadi ahli panel dalam forum anjuran Majlis Peguam dan Hakam baru-baru ini bertajuk ‘Freedom Of Expression: Under Threat’ walaupun menyedari karier politik sebagai ahli Parlimen BN dan ketua Umno Bahagian Pulai berada dalam bahaya.
Apa tidaknya, memasuki ‘sarang’ kuat pembangkang, ramai menyangka saya menyokong pendirian pembangkang berhubung pemansuhan Akta Hasutan sedangkan, saya sejak mula lagi konsisten dengan pendirian supaya akta berkenaan perlu wujud demi menjaga keharmonian dan ketenteraman rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.
Kesedaran perlunya satu pendekatan diambil bagi berbincang secara intelek dengan kumpulan-kumpulan propembangkang di sebalik sifat tidak ambil kisah atau tidak ambil peduli pemimpin Umno dan BN.
Namun disebabkan mahu membuktikan ada pemimpin Umno yang masih sanggup berdepan mahu berbincang dan berdiskusi secara intelek mengenai percanggahan pendapat dalam Akta Hasutan, saya mengambil keputusan menerima jemputan berkenaan.
Walaupun hanya saya seorang sahaja ahli panel yang berpendapat akta berkenaan amat perlu, saya tidak dihina atau dikritik dengan kata-kata seperti ‘bangsat’ daripada kumpulan penonton yang majoritinya menyokong supaya Akta Hasutan berkenan dihapuskan.
Kumpulan audien ternyata berpuas hati dengan kesanggupan saya menghadiri forum berkenaan walaupun saya hanya ahli Parlimen BN biasa bukan bertaraf menteri Kabinet dan tidak mampu untuk menjelaskan secara terperinci mengapa kerajaan mengambil keputusan untuk tidak memansuhkan Akta Hasutan.
Sepatutnya, menteri-menteri Kabinet lah yang memikul tanggungjawab untuk menerangkan mengenai keputusan berkenaan kepada kumpulan-kumpulan yang menentang akta ini kerana ia juga adalah satu tanggungjawab kepada rakyat.
Di sinilah, pendekatan politik matang perlu diambil Umno dan BN untuk terus mendekati rakyat dan tidak meminggirkan mana-mana pihak walaupun mereka tidak bersetuju dengan sebahagian daripada dasar atau inisiatif kerajaan.
Bagaimanapun, seperti saya duga selang dua hari selepas saya menyertai forum berkenaan, fitnah melanda melalui media sosial Facebook yang menyatakan saya akan menyertai PKR dan difahamkan fitnah berkenaan datang daripada ahli-ahli parti yang tidak senang dengan pendekatan saya ambil.
Ia sedikit pun tidak melemahkan semangat memandangkan fitnah seperti itu adalah perkara biasa kepada mana-mana pemimpin politik dan ia sebenarnya menguntungkan juga sedikit sebanyak kerana pendekatan yang diambil turut menerima pujian daripada rakyat yang semakin matang dalam berpolitik.
Sebenarnya, cara berpolitik konvensional yang diamalkan majoriti pemimpin tidak kira daripada Umno, BN mahu pun pembangkang dengan menanamkan kebencian kepada rakyat tidak lagi sesuai.
Ini kerana rakyat kini semakin terdedah dengan pelbagai sumber maklumat sama ada yang rasmi atau tidak dan di negara ini, persepsi lebih diterima berbanding fakta akibat daripada cara berpolitik.
Bagi Umno, ia perlu menjadi kepada ejen perubahan berpolitik di negara ini dan sentiasa inklusif kepada semua golongan rakyat tidak kira sama ada mereka prokerajaan atau pembangkang.
Sebagai sebuah parti yang berusia hampir tujuh dekad, Umno perlu segera menyedari simpanan tetap pengundi di kawasan luar bandar semakin mengecil akibat perubahan lanskap sosial rakyat di negara ini.
Golongan masyarakat kelas menengah semakin membesar di kawasan bandar serta separa bandar dan mereka ini mempunyai pelbagai bentuk pemikiran serta pendirian yang kadang kala dilihat bertentangan dengan apa yang diperjuangkan Umno serta BN.
Ia bagaimanapun tidak boleh dijadikan alasan kepada Umno dan BN untuk langsung tidak mengadakan ‘engagement’ di kumpulan-kumpulan ini, kerana sekurang-kurangnya mesti ada satu titik pertemuan untuk kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak bersetuju.
Di sinilah, titik pertemuan yang saya dapat perolehi dan menyakinkan audien yang menghadiri forum berkenaan walaupun tidak bersetuju untuk terus mengekalkan Akta Hasutan tetapi mereka mengakui kebebasan bersuara mutlak bukan satu-satunya, perkara asas diperlukan rakyat Malaysia terutama di kawasan luar bandar yang lebih mementingkan wang ringgit dan barang keperluan harian untuk terus hidup.
Walaupun mungkin ramai di dalam Umno yang tidak bersetuju dengan pendekatan politik matang yang perlu diambil untuk mendekati kumpulan-kumpulan propembangkang ini, tetapi parti seharusnya mengetengahkan pemimpin yang mampu berhujah secara intelek serta mempertahankan dasar serta inisiatif kerajaan.
Cara berpolitik dengan menanamkan kebencian di kalangan ahli serta penyokong parti untuk meminggirkan kumpulan-kumpulan ini, hanya akan mengundang padah kepada parti sendiri dalam berdepan dengan isu yang dibangkitkan mereka.
Politik seperti inilah yang merosakkan Umno kerana rakyat melihat parti terlalu bongkak serta sombong kerana tidak boleh dikritik bukan sahaja dari luar malahan dari dalaman sendiri.
Bukan niat mahu memuji pakatan pembangkang tetapi politik matang lebih ditunjukkan pemimpin mereka, sekali gus ia berjaya menarik minat serta sokongan masyarakat di kawasan bandar serta separa bandar menyokong mereka.
Disebabkan itulah, pakatan pembangkang menang besar di kawasan bandar serta separa bandar serta memenangi undi popular 52% berbanding Umno dan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13 yang lalu.
Walaupun, ahli serta pemimpin Umno dan BN boleh menyatakan politik matang yang dipamerkan pemimpin pakatan pembangkang adalah pembohongan semata-mata dan hanya bertujuan untuk mengaburi mata rakyat tetapi sekurang-kurangnya ia berjaya menarik sokongan kepada mereka.
Seharusnya kesempatan selama tiga tahun ini sebelum PRU 14 nanti, perlu digunakan sepenuhnya pemimpin Umno dan BN untuk mendekatkan diri dengan semua golongan masyarakat tidak kira sama ada mereka penyokong atau penentang parti serta kerajaan.
Seberapa banyak ‘engagement’ perlu dilakukan pemimpin Umno dan BN dalam tempoh tiga tahun ini dan ia perlu dilakukan secara menyeluruh dan bukan sekadar di kalangan ahli serta penyokong parti.
Perlu ada keberanian mempertahankan segala dasar, keputusan dan inisiatif kerajaan dengan cara berdiskusi serta berhujah secara intelektual kerana rakyat mahukan pemimpin yang berani berdepan dengan fakta bukan sekadar bercakap retorik tanpa sebarang tindakan.
Sesungguhnya, masa semakin singkat untuk Umno dan BN mempertahankan kuasa pemerintahan berdasarkan pelbagai keluhan serta keresahan rakyat yang melihat parti semakin tidak mendengar mereka.
Dan sudah pasti perlu ada titik pertemuan antara perjuangan Umno dan BN dengan kumpulan yang sering dilabelkan penentang kerajaan dan ia hanya akan wujud jika pemimpin parti serta kerajaan terbuka dalam berhujah serta berdiskusi secara intelektual.
Moga tahun 2015 akan memberikan lebih sinar kepada Malaysia dan rakyatnya berbanding 2014 dan hari ini, juga genap lima tahun pemergian ayahanda saya ke rahmatullah, Tan Sri Mohamed Rahmat atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, bekas menteri Penerangan dan setiausaha agung Umno... Al-Fatihah dan Selamat Tahun Baru 2015.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.