`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 11, 2016

MAHKAMAH BATAL SAMAN DEEPAK

Syukur kepada Tuhan....

Mahkamah Tinggi pada pagi Isnin membuat keputusan membatalkan saman berjumlah RM1.1 bilion oleh ahli perniagaan karpet, Deepak Jaikishan terhadap Sabbaruddin Chik dan saya berhubung penerbitan buku "Membongkar Skandal Deepak & Bank Rakyat Dari Isi Hati Sabbaruddin Chik" yang diterbitkan pada Mac 2015.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Abu Bakar membuat keputusan itu berikutan ketidakhadiran Deepak tanpa memberikan sebarang alasan kepada mahkamah.

Dalam perbicaraan sebelum ini yang ditetapkan pada Disember 2015 lalu, Deepak juga tidak hadir, tetapi dengan mengemukakan sijil hospital yang mengesahkan beliau dimasukkan ke wad kerana menerima rawatan.

Dengan batalnya saman tersebut, bukan saja kes yang  berlarutan sejak setahun lalu itu dikira sudah berakhir, tetapi juga membolehkan buku yang dilarang penjualannya berikutan saman itu akan dapat dijual semula di pasaran terbuka.

Di kesempatan ini, Sabbaruddin Chik yang merupakan bekas Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Pelancongan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, rakan, saudara mara dan sesiapa jua  yang kami temui yang sentiasa memberi kata-kata semangat, doa dan pengharapan baik berhubung saman tersebut.

Juga terima kasih kepada peguam Adnan Seman yang telah menjalankan kerjanya dengan baik dan tidak ketinggalan juga kepada saksi, bekas Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Mangsor Saad dan saksi yang disapina, Naib Presiden Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar yang sudah sedia melapangkan masa untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari sehingga Rabu ini.

Terima kasih yang khusus juga daripada saya kepada semua dan saya akan terus menulis lagi dan lagi,  sama ada dalam blog ini atau pun buku-buku yang bakal diterbitkan nanti. (SH).
Dari kiri - Zamri Mohamed, Mangsor Saad, Shahbudin Husin, Adnan Seman, Sabbaruddin Chik dan Abdul Razak Abu Bakar.

Sabbaruddin, Shahbudin dan Adnan ketika di luar mahkamah.

Dengan batalnya saman tersebut, bermakna buku ini akan berada di pasaran semula dalam sehari dua ini. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.