`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, October 15, 2016

Persatuan pendidik: Guru taska gaji rendah, tak mampu miliki diploma

Rozita berkata, gaji minimum RM1,000 diperolehi rata-rata pendidik di pusat asuhan, menyukarkan warga pendidik menyambung pengajian di peringkat diploma disebabkan yuran pengajian agak tinggi.
Guru taskaMELAKA: Persatuan Pendidik Taska dan Tadika Malaysia (PPTTM) meminta kerajaan mempertimbangkan semula syarat wajib bagi pendidik di pusat asuhan memiliki kelulusan sekurang-kurangnya diploma, ekoran beberapa kekangan khasnya faktor gaji.
Pengarah PPTTM, Rozita Kamil berkata, gaji minimum RM1,000 diperolehi rata-rata pendidik di pusat asuhan, terutama di taska dan tadika swasta juga menyukarkan warga pendidik institusi berkenaan menyambung pengajian di peringkat diploma disebabkan yuran pengajian yang agak tinggi.
“Saranan kerajaan supaya setiap pendidik atau guru di taska atau tadika di negara ini memiliki diploma adalah sangat baik, selaras aspirasi kerajaan untuk memastikan bakal pewaris negara menerima pendidikan awal yang sempurna.
“Tetapi, bagaimana kita pastikan aspirasi berkenaan dapat direalisasikan dengan baik dan tidak membebankan mana-mana pihak, terutama di peringkat pendidik, pengusaha taska dan ibu bapa,” katanya selepas majlis Anugerah Perdana Pendidik Awal Kanak-Kanak (APPAKK) 2.0, hari ini.
Majlis dihadiri kira-kira 1,000 pendidik taska dan tadika dari seluruh negara itu disempurnakan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Mohd Ali Rustam dan seramai 419 pendidik menerima anugerah, termasuk Anugerah Pendidik Harapan, Anugerah Pendidik Berpotensi, Anugerah Pendidik Taat Setia, Anugerah Pendidik Aspirasi dan Anugerah Perdana (APPAKK) 2.0.
Kementerian Pendidikan dilapor mewajibkan guru di pusat asuhan kanak-kanak dan prasekolah memiliki kelulusan sekurang-kurangnya diploma mulai 2020 dan peraturan itu melibatkan semua pusat asuhan dan prasekolah di bawah agensi kerajaan dan swasta.
Mengulas lanjut, Rozita berkata, syarat itu secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pengusaha taska dan tadika, kerana terpaksa mengeluarkan belanja besar jika ingin mengekalkan pendidik di institusi mereka dengan membantu membiayai yuran pengajian mereka.
Katanya, jika pengusaha tidak mampu menanggung kos tersebut, mereka terpaksa memberhentikan pendidik sedia ada, walaupun golongan itu sudah lama berkhidmat dan berpengalaman dalam bidang pendidikan awal.
“Situasi ini juga akan menyebabkan yuran di taska dan tadika meningkat dan ibu bapa mempunyai anak yang ramai terbeban dan tidak berkemampuan menghantar anak ke pusat asuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Ali berkata, PUNB sentiasa terbuka memberi pinjaman kepada pengusaha taska dan tadika untuk membuka atau memperluaskan perniagaan dalam industri perkhidmatan pendidikan awal.
“Setiap tahun, PUNB memperuntukkan RM250 juta untuk pinjaman dalam pelbagai indutri atau bidang perniagaan dan ia termasuk dalam industri pendidikan kerana pendidikan awal penting untuk memastikan anak-anak mendapat didikan atau ilmu sempurna,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.