PRU 14 adalah peluang untuk orang-orang Melayu menjadi cerdik dan membuktikan mereka tidak bodoh. Caranya ialah dengan menolak UMNO dan BN serta memastikan parti itu tidak lagi berkuasa di negara ini.
Selagi UMNO dan BN berkuasa, khususnya selagi Najib Razak yang sudah dikenali dunia sebagai pemimpin kleptokrat menjadi Perdana Menteri buat negara ini, maka selagi itulah orang-orang Melayu terus diperbodohkan atau cuba dibodoh-bodohkan.
Seperti pengundi bukan Melayu dan mereka di bandar yang sudah menunjukkan perubahan, pengundi Melayu juga harus bergerak ke arah yang sama. Jika tidak, acara dan pesta membodoh-bodohkan Melayu itu akan berterusan dan diulang berkali-kali untuk menutup kelemahan dan rompakan terhadap khazanah Melayu itu sendiri.
Ucapan perasmian Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO semalam yang mengatakan PRU 14 akan datang adalah pilihan antara kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO dan Melayu dengan Pakatan Harapan yang diterajui oleh DAP, adalah jelas suatu tindakan cuba membodoh-bodohkan orang Melayu.
Lebih dahsyat lagi apabila Najib turut menakut-nakutkan orang Melayu bahawa sekiranya UMNO kalah dan hilang kuasa, semua institusi kerajaan seperti MARA, Felda, Felcra, Teraju dan lain-lainnya akan lenyap serta pupus, seterusnya menjadikan masa depan mereka tiada lagi pembelaan.
Bagi mereka yang waras, boleh berfikir dengan baik atau tidak mengalami strok otak, tentu saja dengan mudah tidak percaya menolak kata-kata Najib itu. Ini kerana mana mungkin DAP yang hanya bertanding 54 kerusi, mampu menjadi begitu berkuasa dalam negara ini, waima sekiranya mereka menang semua kerusi yang ditandingi sekali pun.
Dengan Pakatan Harapan yang di dalamnya turut ada PKR, Amanah dan tidak lama lagi, PPBM juga akan turut serta, di mana logiknya kata-kata Najib bahawa DAP akan menerajui gabungan itu?
Lagi pula, tidak seperti BN yang hanya UMNO dianggotai oleh Melayu, sebaliknya PKR, DAP, Amanah dan PPBM, semuanya ada Melayu di dalamnya?
Tidakkah ia dengan sendirinya menjadikan kedudukan Melayu dalam Pakatan Harapan lebih meluas dan merata?
Lihat saja di Selangor, apakah DAP yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri itu?
Juga tidak masuk akal dan jelas mahu membodoh-bodohkan Melayu apabila Najib mengatakan MARA, Felda, Felcra, Teraju dan lain-lain institusi akan turut lenyap serta pupus jika UMNO hilang kuasanya.
Di Selangor dan Pulau Pinang, sudah berapa banyak pejabat agensi kerajaan yang berkaitan Melayu dan Islam telah ditutup atau diarahkan berpindah ke negeri lain?
Selama ini, siapa yang menjahanamkan MARA, Felda dan Felcra dengan pelbagai ciri-ciri rompakan dan amalan rasuah sehingga agensi-agensi itu lebih merupakan tempat pemimpin Melayu memperkayakan diri sendiri berbanding membantu rakyat yang dalam kesempitan?
Adakah MARA, Felda dan Felda benar-benar menjadikan Melayu kaya dan berharta atau hanya isteri, isteri muda dan anak-anak pemimpin Melayu yang bermaharalela menjadikan agensi-agensi itu sebagai lubuk mengaut kekayaan mereka?
Menjelang PRU 14 akan datang, orang-orang Melayu mesti fokus kepada isu yang sedang berlaku dalam negara dan jangan biarkan mereka terus diperbodohkan lagi oleh pemimpin sendiri. Isu di depan mata kita ialah rasuah yang berleluasa dan penyonglapan wang negara yang berlaku tanpa hadnya.
Menakut-nakutkan kononnya Melayu terancam dan DAP menguasai kerajaan hanyalah pelindung untuk menutup kedurjanaan dan bagi mengelakkan kesalahan mereka diadili oleh kerajaan yang baru nanti.
Bukan DAP atau bimbangnya institusi Melayu dan Islam yang menjadi ketakutan mereka. Mereka hanya ingin berkuasa dan terus merompak lagi, sambil mengharapkan kesalahan mereka tidak akan diadili sampai bila-bila.
Jika pemimpin yang sama terus berkuasa, mereka pasti akan merompak dan menyamun lagi. Menolong dan membantu rakyat hanyalah merupakan agenda yang ke 69 dalam hati dan perjuangan mereka.
Lima tahun lagi apabila tiba hampir pilihanraya dan kegiatan penyonglapan mereka diperkatakan di merata-rata, mereka akan kembali menakut-nakutkan lagi dengan perkara yang sama – Melayu terancam dan DAP akan menguasai negara ini sambil sudah mula pandai berdoa dan berjubah kononnya agar Tuhan menyelamatkan negara ini.
Akhirnya Melayu terus mundur dan ketinggalan dan hanya kelompok pemimpin yang kaya raya mengaut segala milik negara. Tiada apa-apa perubahan dan kemajuan untuk rakyat, malah di sebalik negara kita merupakan pengeluar utama kelapa sawit dunia, pemimpin yang ada hanya menutup mata daripada memastikan minyak masak pada kadar yang munasabah harganya.
Sebab itu, PRU 14 adalah peluang untuk Melayu menjadi cerdik dan tidak lagi membiarkan mereka terus diperbodoh-bodohkan. Sekarang adalah peluang terbaik untuk melakukan perubahan dan membodohkan pula pemimpin durjana yang membawa kerosakan kepada negara.
Jika orang Melayu mula menjadi cerdik dengan tidak takut mengalahkan UMNO dan BN, pemimpin seterusnya tidak mungkin berani lagi membawa retorik-retorik bodoh untuk mendapatkan undi. Kita harus mulakannya dengan menunjukkan kecerdikan itu tanpa ragu-ragu lagi.
http://shahbudindotcom.blogspot.com/2016/12/selagi-umno-berkuasa-selagi-itu-melayu.html
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.