Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai berkata media tidak perlu bimbang kerana mereka melaporkan apa yang berlaku.
PUTRAJAYA: Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Palsu 2018 tidak akan menjejaskan kebebasan media di negara ini selain turut berperanan melindungi media daripada menjadi mangsa berita palsu, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Liow yang juga Menteri Pengangkutan, berkata undang-undang itu bertujuan mengekang penyebaran berita tidak tepat selain melindungi kepentingan umum daripada kandungan berita yang dimanipulasi.
“RUU Antiberita Palsu bertujuan melindungi rakyat. Ia bukan sebab dendam politik atau satu manipulasi kerana ini akan dilindungi oleh undang-undang lain.
“Tiada cubaan untuk mengekang kebebasan media. Saya tidak fikir media harus merasa bimbang tentang berita palsu. Mereka hanya melaporkan tentang apa yang berlaku. Tindakan hanya diambil terhadap mereka yang mengatakan sesuatu atau menyebarkan berita palsu, bukan anggota media,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan ke-18 Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima) hari ini.
RUU Antiberita Palsu itu dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 26 Mac dan bacaan kali ke-2 dibuat semalam.
Akta yang dicadangkan itu bertujuan melindungi masyarakat umum daripada penyebaran berita palsu yang berlaku dengan pantas sambil menjamin hak kebebasan bersuara dan ekspresi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata 2 pindaan dibuat terhadap RUU itu termasuk pengurangan tempoh maksimum hukuman penjara daripada 10 tahun kepada 6 tahun bagi yang didapati bersalah mereka dan menyebarkan berita palsu.
Pindaan lain ialah menggantikan perkataan ‘knowingly’ (dengan sengaja) dalam Fasal 4 dengan ‘maliciously’ (berniat jahat) selepas mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk penggubal undang-undang.
Mengenai kerusi pada pilihan raya umum ke-14, Liow berkata ia sudah hampir dimuktamadkan.
“Hanya tinggal beberapa kerusi terakhir… kita akan muktamadkan,” katanya. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.