Semua peserta demonstrasi BERSIH di luar bangunan Parlimen semalam akan ditangkap jika ia berlaku semasa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.
“Mahathir jangan menipu. Kalau benda ni berlaku zaman dia dulu, dia tak benarkan, dia tangkap, masuk ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri),” kata Nazri.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan pameran “Peking Man in Malaysia: Zhoukoudian Heritage Site” di Muzium Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, ratusan penyokong berhimpun menyertai kumpulan reformasi pilihan raya BERSIH bagi membantah pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Rakyat.
Mereka, termasuk pemimpin pembangkang dan Dr Mahathir. Laporan akhir cadangan SPR itu kemudian diluluskan.
Pengkritik mendakwa bahawa persempadanan baru pilihan raya oleh SPR itu memberi kelebihan kepada kerajaan BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang.
Dr Mahathir menyertai gabungan pembangkang pada tahun lalu selepas lantang membidas skandal 1MDB dan peranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terpalit dengan skandal itu.
Najib secara konsisten menafikan dirinya melakukan sebarang kesalahan mahupun menggunakan sebarang wang firma pelaburan negara itu untuk tujuan peribadi.
Mengulas lanjut, Nazri berkata Mahathir mempunyai “dendam yang tidak berkesudahan” terhadap Najib, kerana beliau terbukti menjadi perdana menteri yang lebih baik daripada dirinya.
“Jadi dia berasa dia (Mahathir) hebat sangat dah, tapi tengok Najib lagi hebat. Apatah lagi sekarang ini menampakkan Najib sebagai PM lebih mengutamakan kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat jelata.
“Bila Najib buat bagus, nak buat macam dia tak bagus lah. Itu dia marah Sangat. Bagi saya, ini dendam tak kesudahan,” kata Nazri.
Melabelkan Mahathir sebagai “orang tua yang sudah tidak ada kerja lain”, Nazri menasihatkannya supaya henti daripada terus memfitnah Najib dan kerajaan.
“Kamu dah tua, sudahlah. Cukup-cukuplah.
“Bagi peluang kepada pemimpin sekarang pula, untuk kita mentadbir negara kita dengan baik dan juga kita akan serahkan kepada generasi yang akan datang,” katanya.
– M’kini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.