Nampaknya Najib Razak seperti masih tidak sedar bahawa beliau adalah punca utama kekalahan BN dalam pilihanraya umum 9 Mei lalu.
Kiranya beliau sedar siapa dirinya dan kerana dirinyalah BN kalah serta ditolak rakyat, tidak ada sebab untuk beliau turut sama turun berkempen membantu calon BN bagi pilihanraya kecil Sungai Kandis, 4 Ogos depan.
Sebagai orang yang menjadi punca utama kekalahan BN, Najib sepatutnya menjauhkan dirinya daripada UMNO dan BN ketika ini jika beliau mahu melihat harapan kemenangan lebih berpihak kepada calon BN.
Beliau lebih wajar menumpukan perhatiannya kepada usaha membersihkan namanya di mahkamah tanpa mencampuri lagi urusan parti. Lagi pun, beliau bukan siapa-siapa lagi, hanya ahli biasa saja.
Hadirnya Najib di Sungai Kandis tidak akan membantu BN, malah hanya akan menyebabkan penolakan pengundi yang lebih besar kepada calon BN, Lokman Noor Adam.
Ketika beliau menjadi Perdana Menteri pun, cakap dan kempennya tidak laku, maka mustahil setelah BN kalah yang disebabkan olehnya dan kemudian didakwa pula di mahkamah serta sebelum itu bertimbun-timbun wang tunai serta barang kemas dirampas polis daripada kediamannya, kehadirannya berkempen di Sungai Kandis mampu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat bagi BN di pilihanraya kecil itu.
Malah, kehadiran Najib itu secara langsung memberi gambaran bahawa UMNO dan BN masih dibayangi oleh wajah Najib lagi.
Adakah pengundi masih mahu memilih BN yang masih dibayangi Najib yang sudah pun mereka tolak dalam pilihanraya umum lalu?
Adalah lebih baik pilihanraya kecil ini diuruskan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang baru dipilih dalam pemilihan baru-baru ini bagi mereka membuktikan perjuangan untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap parti itu dijalankan dengan sebaik-baiknya.
Tetapi, dengan kehadiran Najib, jika pun usaha memulihkan kepercayan rakyat itu sudah mula menampakkan hasilnya, ia pasti sudah musnah sekarang ini.
Ataukah Najib sengaja hadir berkempen di Sungai Kandis dengan harapan BN kalah lebih teruk berbanding keputusan pilihanraya lalu dan dengan demikian barisan pemimpin UMNO yang baru dipilih ini tidaklah lebih baik daripada era kepimpinannya dahulu?
Tidakkah jika UMNO dan BN mula diterima baik oleh rakyat, ia dengan sendirinya bermakna Najib semakin dilupakan dan ketiadaannya adalah sesuatu yang lebih baik?
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.