`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, June 16, 2020

ANWAR WANTS TO BE ‘NICE GUY’ WHEN SWIMMING WITH BIG-TIME SHARKS? DON’T GIVE IN TO DR M AGAIN – OR MALAYSIANS WILL GIVE UP ON YOU FOREVER, ANWAR WARNED: ANWAR DIHARAP BERTEGAS, JANGAN SESEKALI MENGALAH

Menjelang esok, Selasa di mana keputusan dijangka dimuktamadkan berhubung calon Perdana Menteri PH untuk mengambil alih semula kerajaan, rata-rata ramai yang tidak faham mengapa Tun Mahathir Mohamad masih mahu memegang jawatan tersebut sekali lagi dan tidak menyokong saja pencalonan Anwar Ibrahim?
Apakah beliau ingin menjatuhkan Muhyiddin Yassin kerana benar-benar ingin menyelamatkan Malaysia atau tujuan besarnya ialah untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri?
Lebih ramai yang tidak faham, hairan dan bingung adalah kerana kali ini kononnya Tun Mahathir hanya mahu memegang jawatan Perdana Menteri selama enam bulan saja sebelum kemudian akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar sebagai penggantinya.
Pokoknya, apa yang mampu dilakukan oleh Tun Mahathir untuk menyelamatkan negara dalam tempoh enam bulan itu, sedangkan 22 bulan memegang jawatan tersebut sebelum ini pun tidak banyak pemulihan dan pembaikan terhadap kerosakan negara yang mampu dilakukannya?
Selain itu, jika janji dua tahun mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sebelum ini pun banyak dolak-dalik dan helahnya, apakah jaminan janji enam bulan tidak dimungkiri sekali lagi?
Ataukah enam bulan itu hanya umpan sebelum beroleh kuasa, tetapi apabila kuasa sudah dalam genggaman nanti, maka lain pula helahnya?
Ada yang berkata, kali ini Tun Mahathir tidak mungkin lagi memungkiri janjinya kerana Anwar, selain dipersetujui sebagai Timbalan Perdana Menteri, juga akan diberikan jawatan Menteri Kewangan.
Ini kononnya berbeza dengan sebelum ini kerana Anwar tidak berada dalam kabinet sama sekali.
Tetapi, tidakkah yang berkata demikian itu lupa bahawa Anwar disingkirkan sebagai pengganti Perdana Menteri, setelah didendangkan ke seluruh dunia pada 1998 dahulu ketika beliau juga memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan?
Lalu, apakah tidak mungkin sejarah lama akan berulang kembali?
Isunya di sini, kebimbangan dan keraguan terhadap kejujuran Tun Mahathir kepada Anwar bukanlah sesuatu yang tidak berasas, malah sudah terakam dalam catatan sejarah.
Selain penyokong Anwar yang sudah puluhan tahun bersamanya memang ada perasaan sedemikian, tidak mustahil dalam diri Presiden PKR itu sendiri tertanam kecurigaan yang sama.
Dengan itu, ramai yang mengharapkan Anwar dan PKR benar-benar bertegas dalam soal pemilihan calon Perdana Menteri ini agar pisang tidak berbuah dua kali dan PH tidak terjerumus dalam kekalutan yang berulang.
Lagi pula, di samping sedia memaafkan, Anwar juga sudah banyak beralah sebelum ini terhadap Tun Mahathir.
Dalam mesyuarat terakhir PH pada 21 Februari lalu, jelas Anwar telah berjiwa besar dengan sedia beralah dan memberi ruang kepada Tun Mahathir mengumumkan pengundurannya mengikut kemahuannya sendiri, walaupun sebelum itu Pengerusi Bersatu yang terpecat itu berkali-kali mengatakan hanya mahu dua tahun menjadi Perdana Menteri dan kemudian menganjakkan sendiri tarikhnya sehingga selesai Sidang Apec pada November 2020.
Kemudian, apabila dalam pusingan pertama sessi temubual Ahli-Ahli Parlimen dengan Yang Dipertuan Agong di mana tidak ada sesiapa memperolehi sokongan majoriti, Anwar telah pun beralah dengan menarik diri dan memberi sokongan kepada Tun Mahathir pada pusingan yang kedua.
Namun, niat murni itu tidak membuahkan hasil apabila Yang Dipertuan Agong terlebih dulu meyakini Muhyiddin telah memperolehi sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Jadi, adakah perlu Anwar sekali lagi mengalah kepada Tun Mahathir?
Dan kenapa tidak kali ini Tun Mahathir pula yang mengalah kepada Anwar, lebih-lebih lagi kerana sokongan di kelilingnya sekarang ini makin mengecil dan beliau juga boleh dianggap tidak mempunyai parti?
Tidakkah juga, dengan mengalah dan memberi sokongan kepada Anwar kali ini, Tun Mahathir akan lebih disanjung rakyat dan benar-benar menampakkan keikhlasannya untuk melihat Presiden PKR itu menjadi Perdana Menteri?
Apa masalah Tun Mahathir sebenarnya?
https://shahbudindotcom.net/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.