`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, December 18, 2020

Asia Tenggara perlu dorong agenda ke arah penyelesaian minyak sawit global

 

KUALA LUMPUR: Asia Tenggara perlu mengumpulkan kekuatan kepimpinan tertingginya dan menolak agenda ke arah penyelesaian yang berkaitan isu minyak sawit yang lebih global seperti pensijilan standard, sambil membantu mengurangkan diskriminasi terhadap komoditi itu di Kesatuan Eropah (EU), kata Pakar Ekonomi dan Perunding Pertanian serta Pembangunan Luar Bandar Isabelle Tsakok.

“Anda mahu pasaran mereka dan mereka juga mahu menembusi pasaran anda … jadi anda perlu bertemu dan berbincang.

“Anda perlu menyampaikan mesej bahawa industri minyak sawit sebenarnya, menyokong pengurangan pelepasan rumah hijau dan sedang bergerak ke arah rantaian bekalan yang lestari,” katanya semasa Sidang Kemuncak dan Pameran Minyak Sawit Kalis Masa Depan (FPPO) 2020.

Pada masa yang sama, amat penting bagi kepimpinan dalam kerajaan untuk menggalakkan produktiviti yang lebih tinggi dan pertumbuhan inklusif di sepanjang rantaian kerana pada sekarang, industri masih tidak mampan daripada kesan alam sekitar dan sosial.

Ini terbukti di kalangan pekebun dan perusahaan kecil, kata bekas kakitangan dan perunding Bank Dunia itu.

Sementara itu, Pengarah ITS Global (Dasar) Khalil Manaf Hegarty turut percaya bahawa penglibatan kerajaan dan industri yang berterusan adalah sangat penting bagi negara-negara pengeluar minyak sawit seperti Indonesia dan Malaysia, khususnya ke atas kemampanan dan piawaian.

“Setiap mesyuarat kerajaan dengan kerajaan serta setiap forum perniagaan dengan kerajaan perlu dimanfaatkan dan pembekal termasuk pembeli benar-benar perlu berada di halaman yang sama daripada segi kedudukan iaitu (mengiktiraf) minyak sawit sebagai komoditi yang mampan, yang mana, sistem pensijilan adalah syarat bagi memenuhi keperluan kemampanan,” katanya.

Hegarty berkata rantau ASEAN adalah pasaran yang semakin berkembang dan ini menarik minat EU.

“Pengeksport EU mencari penanda baharu, khususnya pasca COVID-19 kerana permintaan di EU tidak lagi berkembang.

“Mereka mahu memuktamadkan perjanjian Indonesia tetapi melihat perjanjian ASEAN-EU sebagai sasaran utama. Kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara ada kelebihan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kelestarian Kumpulan IOI Corp Bhd, Surina Ismail berkata terdapat keperluan untuk pensijilan minyak sawit mampan (CSPO) yang boleh diterima di peringkat global bagi mengurangkan persepsi negatif.

“Tetapi satu skim pensijilan mungkin tidak boleh dipraktikkan disebabkan perbezaan amalan dan peraturan serantau, undang-undang pembangunan tanah, landskap serta amalan budaya yang berbeza.

“Bagi CSPO yang boleh diterima di peringkat global, ia mesti disahkan secara bebas dan mampu menangani kebimbangan pihak berkepentingan,” katanya.

Tsakok sebaliknya menyuarakan kebimbangan terhadap permintaan yang tidak mencukupi untuk CSPO.

Beliau berkata kira-kira 20% daripada minyak sawit global telah diperakui, tetapi hanya separuh daripadanya mampu dijual kerana majoriti pengguna tidak bersedia membayar premium untuk CSPO.

“Indonesia dan Malaysia beranggapan arahan RED II EU sebagai satu bentuk diskriminasi dan satu tindakan perang perdagangan. Namun, EU hanya menyumbang kurang daripada 20% daripada eksport mereka, manakala pasaran india, Pakistan serta China adalah lebih besar dan tidak mengutamakan pensijilan”.

Mengenai harga minyak sawit mentah (MSM), Peniaga Proprietari IcebergX Sdn Bhd, David Ng berkata stok yang lebih rendah akan terus memacu harga komoditi itu pada tahap tertinggi.

“Memandangkan permintaan serta output bermusim yang lemah, stok mungkin akan kekal di bawah 1.6 juta tan. Pengeluaran sepanjang tahun ini berkemungkinan akan berada pada 19.2 juta tan atau 3% lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, ini akan menyokong kenaikan harga baru-baru ini,” katanya.

Oktober, November dan Disember 2020 mewakili tempoh yang kukuh bagi prestasi harga MSM manakala Mac, April dan Mei sentiasa menjadi musim yang lemah sejak 10 tahun lepas.

Menurut Ng lagi, China dan India akan terus menjadi pembeli terbesar dalam pasaran minyak sawit pada Disember, sebab utamanya adalah pembelian bermusim menjelang pengenaan semula cukai eksport di Malaysia pada Januari 2021.

FPPO 2020 merupakan acara empat hari yang bermula pada 14 Dis lepas. Ia bertujuan untuk menangani isu-isu berkaitan minyak sawit dan mengesyorkan penyelesaian mengenai pasaran, dasar, strategi, teknologi, serta inovasi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.