`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, December 26, 2020

Kerajaan akan kemas kini piawaian halal daging import, kata Zulkifli

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad berkata, dalam menangani isu pengimportan daging, aspek perundangan perlu dipertingkatkan bagi memastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah baik piawaian halal, terutamanya membabitkan daging dan produk daging yang diimport, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad.

Beliau berkata, ini termasuk melihat semula bagaimana negara pengeksport memperoleh pensijilan halal ke atas semua produk yang hendak dieksport ke negara ini.

“Kita kena periksa juga macam mana mereka berurusan. Saya akan cuba tengok dari semasa ke semasa dengan pihak halal (Bahagian Pengurusan Halal) Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Kita cuba untuk mengemaskinikan dengan lebih mendalam isu-isu seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan makanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkusnya semula dengan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Zulkifli berkata, dalam menangani isu kartel daging itu, aspek perundangan juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan yang sewajarnya.

“Apabila menyalahi apa yang ditetapkan oleh pihak kerajaan, maka salahlah. Itu perlu dilihat dan dibetulkan semula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna agar merujuk senarai produk yang berdaftar dan status halalnya mengikut negara sumber dalam laman sesawang Jakim.

Zulkifli berkata, pihaknya turut memuat naik maklumat berhubung pengimportan daging di laman sosial Facebook dan Twitter rasmi beliau bagi memberi penjelasan mengenai proses pengimportan daging. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.