IPOH: Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata tidak ada keperluan untuk melantik wakil kaum Cina dan India dalam barisan EXCO kerajaan negeri pimpinannya kerana masyarakat dua kaum itu tetap diwakili di peringkat lain.
Beliau berkata wakil masyarakat Cina dan India sudah pun diletakkan dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan ia sedang berfungsi.
Justeru, katanya, kerajaan Negeri yang tidak akan mengubah apa-apa yang sudah dilaksanakan kerajaan terdahulu kerana wakil masyarakat India dan Cina dalam PBT ketika ini berfungsi.
“Lantikan penasihat (menteri besar), akan dibuat mengikut keperluan, saya tidak boleh janjikan apa-apa. Pada saya apa yang penting adalah pelaksanaan.
“Kita sudah ada ketua Kampung Baru Cina dan India serta ahli majlis PBT yang sudah berfungsi. Jadi tidak perlu tunggu wakil dalam EXCO atau penasihat menteri besar (untuk berfungsi),” katanya kepada selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO pertamanya di sini hari ini.
Saarani berkata, perlantikan ketua Kampung Baru Cina dan India akan dibuat berdasarkan senarai yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu.
Pucuk pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak kini beralih ke Umno selepas pengunduran Ahmad Faizal Azumu yang tewas dalam undi percaya terhadapnya di Dewan Undangan Negeri awal bulan ini.
Pada 10 Disember, Saarani yang juga Ketua Umno Perak, mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar.
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata Umno negeri akan mempertimbangkan 11 nama untuk diketengahkan sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik 16 Januari depan.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat beliau bersama Jawatankuasa Umno Gerik Jumaat lalu.
“Mereka (Umno Gerik) telah setuju ada 11 orang calon yang boleh dicadangkan, dan yang akan dipilih adalah seorang.
Pada pilihan raya umum 2018, Umno mempertahankan kerusi Gerik dengan majoriti 5,528 undi, mengalahkan PAS dan PKR.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Gerik pada 16 Jan 2021 berikutan kematian penyandangnya Hasbullah Osman pada 16 Nov lalu akibat serangan jantung. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.