`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 17, 2021

Perompak kaut barang kemas tak sampai seminit

 

Suspek dipercayai melarikan diri dengan motosikal dan ini kali pertama premis berkenaan dipecah masuk, kata Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Ashari Abu Samah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Hanya dalam masa satu minit, pelbagai barang kemas dari sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Jalan Gombak, Kuala Lumpur dilarikan tiga penjenayah petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, suspek memakai jaket dengan topi keledar bertutup penuh serta memakai pelitup muka, masuk ke premis berkenaan dan memecahkan ruang pameran kaca dalam kedai terbabit.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Ashari Abu Samah, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam pada 5.15 petang.

Kata beliau, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek lelaki bersenjatakan parang, tukul besi dan kapak mendalangi kejadian itu.

“Dua suspek masuk ke dalam, manakala seorang rakan mereka yang bersenjatakan parang menunggu di luar premis. Ketika itu, tiada pelanggan dalam kedai emas terbabit.

“Mereka memecahkan cermin pameran kedai emas terbabit dan melarikan pelbagai barang kemas,” beliau dipetik Berita Harian sebagai berkata.

Ashari berkata, jumlah anggaran kerugian barang kemas yang dibawa lari dalam kejadian itu masih dalam siasatan.

“Kedai emas ini tiada pengawal keselamatan dan hanya mempunyai CCTV. Suspek dipercayai melarikan diri dengan motosikal dan ini kali pertama premis ini dipecah masuk,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan, iaitu samun berkawan tanpa senjata api.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau balai polis berhampiran. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.