`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, July 28, 2021

Ibu Yati, 2 individu mengaku tak salah doktrin palsu agama Islam

 

Ibu Yati dan Noorafiza dituduh menjelaskan doktrin bertentangan dengan hukum syarak, manakala Abdul Hamid dituduh kerana mempersendakan ayat al-Quran. (Gambar jakes.gov.my)

SHAH ALAM: Tiga individu termasuk bekas wartawan, Wan Norhayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai Ibu Yati mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, hari ini, atas pertuduhan menjelaskan doktrin palsu berkaitan agama Islam melalui Facebook, antara Disember tahun lalu hingga Februari, tahun ini.

Ketiga-tiga tertuduh Wan Norhayati, 42, Noorafiza Ahmad, 46, dan Abdul Hamid Yeop Zainnuddin, 60, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Wan Norhayati dan Noorafiza masing-masing menghadapi tiga dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu menjelaskan doktrin bertentangan dengan hukum syarak.

Abdul Hamid pula menghadapi dua pertuduhan mengikut seksyen sama serta satu pertuduhan mengikut Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 kerana mempersendakan ayat al-Quran.

Mengikut Seksyen 7 Enakmen itu, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda RM5,000 atau enam sebatan atau kombinasi kesemua hukuman itu.

Mengikut Seksyen 9 Enakmen sama, sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Wan Norhayati dan Noorafiza dituduh melakukan kesemua kesalahan itu pada 2 Disember hingga 2 Februari lalu menggunakan akaun Facebook masing-masing, sementara Abdul Hamid pula kira-kira pukul 9 malam pada 2 Februari di Taman Dato Razali, Kampung Melayu Ampang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassim dan semua tertuduh diwakili Peguam Wan Amir Akram Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM11,000 kepada Wan Norhayati, RM5,000 kepada Noorafiza dan RM9,000 kepada Abdul Hamid dengan masing-masing dua penjamin dan kesemua mereka perlu melapor diri di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat serta dilarang memuat naik apa-apa status dalam media sosial.

Kes bagi Wan Norhayati dan Noorafiza akan disebut semula pada 2 November ini, manakala Abdul Hamid pada 18 Jan 2022. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.