Hujung 1999, atau mungkin sudah masuk 2000; saya berpeluang menemui Sasterawan Negara Usman Awang. Beliau sudah agak uzur ketika itu, akan tetapi masih bersungguh-sungguh meladeni. Ia antara wawancara terakhir yang diberikan oleh Usman. Kesihatan beliau merosot mendadak, dan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Usman ketika itu sudah tidak begitu mahu bertemu orang kerana tidak begitu sihat. Saya malah ingat ditanya-tanyai oleh ramai pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, macam apa bertemu Usman? Hari ini, ramai anak-anak pengarang generasi baru yang bertanyakan kepada saya mengenai pengalaman bertemu Usman itu. Ini kerana saya sendiri masih agak muda ketika duduk dengan beliau dan diberi izin mewawancaranya.
Antara lain, anak-anak pengarang ada bertanya; apa yang paling mengesankan saat bertemu penyair romantis Melayu ini?
Saya jawab, sewaktu melangkah keluar dari pintu rumahnya; saya menoleh mengucapkan selamat tinggal, Allahyarham memandang dan memberi satu pesan yang saya tidak akan lupakan. Pesan penyair besar ini ialah: “Jangan diam, menulis itu lawan. Teruskan menulis dan melawan.”
Lebih kurang begitulah kata-kata beliau. Tapi saya begitu pasti ada kata ‘jangan diam’, ‘menulis’, juga ‘melawan’. Saya berkongsikan pesan atau amanat ini kepada ramai pengarang sebaya atau sezaman saya ketika itu. Hari ini, anda boleh menilai sendiri berapa ramai dalam kalangan generasi saya ini yang ‘tidak diam’, sambil ‘menulis dan melawan’. Anda nilailah sendiri.
Usman juga tatkala saya berada di kediaman beliau di Petaling Jaya itu, memesan agar saya bertemu Sasterawan Negara Anwar Ridhwan dan mengambil senaskah antologi puisi yang sedang beliau selenggarai.
Banyak bulan setelah pertemuan tersebut, Anwar memberikan saya buku bertajuk ‘Dari Derita Bangsa’ yang merupakan himpunan puisi 21 orang penyair mapan. Antara lain ada nama A Samad Said, Atondra, Baha Zain, Dinsman, Marzuki Ali, Muhammad Haji Salleh, Sabar Bohari, Rejab FI, Sabri Zain, Siti Zainon Ismail, dan tentu, Usman Awang sendiri. Buku itu saya masih ingat memberi latar hitam. Puisi-puisi itu berniat untuk melawan. Anwar Ibrahim lebih setahun sudah dipecat, dalam bicara, dan hari-hari rusuhan kerana laung reformasi gegak gempita.
Buku itu hitam. Derita harus hitam. Lawan juga harus hitam.
Dalam prakata antologi puisi, penyelenggara – sama ada Usman atau Dino SS – memesan dan membakar; antara lain mereka menyebutkan:
“Dewasa ini bangsa Malaysia sedang dihadapkan kepada suatu krisis yang amat berbahaya, bukan sahaja kepada nilai dan caranya, tetapi juga kewujudannya sebagai bangsa yang bertamadun dan dihormati. Krisis ini menghitamkan jiwa kita, mencoreng arang pada wajah kita.”
Tambah mereka lagi: “Betapa pun tinggi suaranya atau rawan deritanya, kita sebenarnya diajak untuk merenung ke bawah permukaan perasaan ini. Di sana mengalir suatu rasa bangga bangsa, suatu rasa cinta tanah air yang jujur, yang ingin melihat negara ini tetap pada lorong sejarah yang wajar dan mulia. Kita sudah lama dan cukup tekun membina Malasysia dan oleh itu tidak perlu tergelincir daripadanya sekarang.”
Penyelenggara menjelaskan, antologi puisi ‘Dari Derita Bangsa’ ini rentetan dari kumpulan puisi ‘Teluk Gong’ dan kumpulan puisi ‘Keranda 152’. Satu usaha melawan dengan puisi. Mereka seterusnya menitipkan pesan; “…melalui pengucapan seni yang tegas, telah mengkritik dan mengecam pihak penguasa yang tidak peka akan keperluan rakyat miskin untuk mendapatkan tanah pertanian. Masalah rakyat yang kritikal seolah-olah tidak masuk dalam perhitungan pihak penguasa. Keadilan dan kemanusiaan seakan-akan sesuatu yang marginal di pentas politik penguasa.”
Meskipun niat penyair-penyair yang dikumpul oleh Usman ini untuk membuat satu penyataan seni, sayang sekali, ia tidak begitu menjadi waktu itu. Pertama, ia terbit agak lambat. Kedua, puisi-puisi tersebut alahai banyak sungguh berselindung dan tersembunyi dalam seni sasterawi tinggi kecuali beberapa.
Ketiga, edaran naskah puisi ini entah berapa ratus agaknya. Ia tidak pun diketahui bahkan kehebohan Shit, oleh Shahnon Ahmad jauh lebih meledak.
Adalah beberapa puisi yang saya rasa agak mendidih. Yang membawa semangat ‘jangan diam’.
Ambil misalnya Marzuki Ali dengan ‘Dataran Rakyat’, antara bait yang ada:
Kita turun ke jalan-jalan
dengan penuh tabah pegangan
kuasa apa pun bertindak kejam
suara rakyat azimat tak tergoyahkan.
Di lapangan rakyat lafaz ikrar
kita kembalikan kuasa demokrasi mulia
keyakinan rakyat harus dipulihara
kelestarian negara kembali sejahtera.
Juga puisi-puisi Muhammad Salleh, yang sebetulnya ditulis jauh sebelum era reformasi itu. Ada sebuah dalam antologi ini judulnya ‘Sajak Orang Jahat’ dikarang pada 1995, berbunyi antara lain:
Ini kata penghuni pinggir
kerana dia mimpikan bangsa besar
masih tegak sewaktu orang menyembah.
Tapi itu lebih mulia
dari jadi pelacur bersolek
yang dibeli segenggam wang
dan setahun kuasa di menara.
Ada sebuah sajak yang sedikit garang daripada Sabar Bohari. Begini puisinya:
Jangan engkau hairan
kalau pencuri, penyamun dilayan istimewa
jangan engkau hairan jikalau
penjenayah kolar putih, disanjung, dipuja dan dibela.
kerana kita semua tahu siapa mereka.
Jangan engkau bertanya siapa mereka
jikalau engkau mahu selamat, tenteram
dengan keluarga
jangan engkau turut demonstrasi
yang bakal menelanjangi dirimu
duduklah sahaja di rumah
membaca akhbar
menonton TV
yang telah didustai.
Jangan engkau banyak bicara
engkau rakyat biasa
cukup makan cukup pakai
kerana engkau bertuah
negerimu makmur dan mewah.
Pun, yang paling seronok dibaca (dan sedikit berbara) ialah puisi panjang Sabri Zain dengan tajuk ‘Bertanya Sarjan Pada Kopral’, semacam dialog antara dua anggota polis sama ada harus berpihak kepada rakyat, atau kepada penguasa. Antara lain bait puisi itu:
Kau tahu?
Dia minta sampaikan pesannya padamu
Dia mahu…
kau hapuskan musuh rakyat
kau musnahkan petualang rakyat
kau binasakan penyalahgunaan mandat rakyat
kau banteras perasuah pencuri harta rakyat
kau tangkap penyeleweng amanah rakyat
kau berkas penyamun wang rakyat
kau dakwa pembohong dan penipu rakyat
Dia mahu…
kau berlaku adil pada rakyat
kau berlaku benar pada rakyat.
Kemudian Sabri di satu perenggan lain memaparkan rasa kecewa ibu sang koperal, lantaran anaknya itu bertindak mempertahankan penguasa, dan bukannya anak bangsa:
Kau tahu kopral?
Betapa akan kecewa ibumu
seandainya dia mendapat tahu
begini sekali yang terjadi padamu
begitu sekali tingkah perilakumu
buruk sekali tanggapan rakyat padamu
hina sekali pandangan rakyat padamu.
Salah satu punca antologi ‘Dari Derita Bangsa’ tidak merata dirasai masyarakat sewaktu era reformasi itu ialah kerana wadah penyair dan pengarang terbatas oleh terbitan buku. Ini tentu sahaja berbeza pada hari ini kerana tanpa kertas dan penerbit, penyair masih boleh menggunakan media sosial untuk bersuara ala antologi puisi ‘Teluk Gong’, atau ‘Keranda 152’, atau ‘Dari Derita Bangsa’.
Maka pada seminggu lepas, ada anak-anak muda yang menggunakan tanda pagar ‘Puisi Darurat’ melimpahkan amarah mereka dengan puisi di media sosial. Pilihan warna mereka hitam. Cepat mengingatkan saya kepada ‘Dari Derita Bangsa’. Sebagai pemerhati dan pengkaji seni dan politik tanahair untuk beberapa institusi pengajian dalam dan luar negara, saya dapati puisi-puisi mereka mentah, melulu, kurang sasterawi kecuali beberapa. Kebalikan kepada apa yang diusahakan oleh Usman Awang dan kawan-kawannya.
Akan tetapi, dengar sini, akan tetapi; anak-anak muda ini meskipun belum begitu boleh dicap penyair, atau ada yang mungkin baru bertatih menulis, tetap jauh lebih langsung dan lantang suara mereka. Lagipun siapa yang dapat memberi apakah definisi dan parameter sebuah karya sastera yang bagus?
Malah, lagipun, jika lebih ramai penyair dan pengarang sebaya dan sezaman saya memilih untuk diam kerana disuruh ‘tolong diam boleh tak’, maka saya kira semangat yang harus ada ialah pesan Usman kepada saya ketika itu, ‘jangan diam’.
Banyak tahun lalu, saya ambil pesan Usman dan menulis, lantas melawan dengan beberapa karya saya. Selepas bertemu Usman saya menerbitkan ‘Perempuan Politikus Melayu’ dan ‘Cinta Hari-hari Rusuhan’, kemudian ada cerpen “underground”, dan karya-karya saya yang melawan pihak berkuasa agama. Saya diharamkan sampai tujuh kali.
Pengarang segenerasi saya, kekal diam. Di mahkamah yang datang hanya sekali Pak Samad Said, dan kemudian anak perempuan berusia tujuh tahun menemankan saya di mahkamah. Ada pengarang itu hari ini malah muncul di YouTube menyuruh diam. Kebalikan dari pesan Usman Awang agar jangan diam. Ada pula pengarang selapis di bawah saya mencari dalih dan kalih agar ramai pengarang boleh menurut pendekatannya, supaya ikut diam. Atau nanti-nantilah bising, kerana bising itu terlalu riuh buatnya.
Sebenarnya berbanding 1999-2001 itu, bangsa lebih jauh menderita berbanding dulu. Rakyat melarat dan merempat. Ada yang tidak cukup makan mengemis dan bergelandangan. Terdapat yang membunuh diri. Kisah nestapa kematian seorang diri. Atau pengamal kesihatan yang terabai dan prasarana yang tidak memadai. Ia semua sebab musabab dari rasuah dan korupsi. Ia semua sebab musabab dari penguasa cabul dan pihak tertentu yang bacul. Ia semua kerana penyair tidak ikut sekali pada waktu itu.
Jadi, kalau penyair-penyair muda ini tidak mahu diam, seraya memilih untuk menggunakan lawan dengan puisi sambil menyerukan tanda pagar #puisidarurat maka saya kira ia hanyalah penerusan kepada sejarah sasterawan yang panjang dan berani.
Untuk pengarang yang mahu akur perintah ‘speaker’, ya, tolong diam. Jika tak mahu menyertai tolong diam, boleh tak. Beri laluan kepada penyair muda – yang meskipun karyanya entah apa-apa – supaya tidak diam dan bersuara. Kalau mereka mahu turun ke ‘Dataran Rakyat’ seperti diseru Marzuki Ali dalam Derita Bangsa untuk #lawan pada 31 Julai ini, lantakkan. Ini kerana mereka itu penerus dari ‘Teluk Gong’ dan ‘Keranda 152’.
Yang ingin diam meski sudah diberi peluang untuk mencipta sejarah tetapi tetap memilih bisu tuli maka kekallah menjual barangan. Yang ingin berpuisi, menulis dan melawan, ini masa mereka. Masa mereka untuk tidak diam. Siapa tahu, akan ada puisi-puisi manis matang atau sajak-sajak berapi merumba terhasil oleh hari-hari derita ini? Siapa tahu mereka dapat melakar sejarah untuk tatapan masa mendatang, mungkin mereka gerunkan carutan anak bangsa masa hadapan.
Barangkali anak-anak penyair generasi baru ini berjaya dalam tuntutan mereka untuk memulihkan negara bangsa, dan menolongkan rakyat dengan puisi sekerat dua mereka. Bukan tak ada dalam sejarah karya sastera menggelombang menurunkan penguasa. Waktu itu, halo mereka yang diam jangan menenggek mengambil dan sibuk menumpang nama. Memang puisi tidak memberi kamu makan.
Saya titipkan puisi sendiri untuk pembaca. Judulnya, ‘Puisi Tak Beri Kamu Makan’:
Seperti porno lucahmu tidak boleh beri makan
seperti surah tidak boleh beri makan
seperti jua sembah Hyang dan
doa tidak pernah memberi makan.
Puisi tidak boleh beri kamu nasi
puisi bukan nasi.
Dalam puisi mana Tuhan
derhaka hilang kawan
jilatan itu jamuan
dahulat memberi makan
di situ anjing makan.
Saya masih betul ingat pesan Usman Awang kepada saya: “Jangan diam, menulis itu lawan. Teruskan menulis dan melawan.”
Penyair, jangan diam boleh tak? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.