`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, July 10, 2021

Kerana rindu nenek, wanita sanggup menyelinap masuk bawah kawat duri

 

Gambar tular wanita merangkak di bawah kawat duri di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis sedang mencari seorang wanita selepas video memaparkan suspek menyelinap masuk menerusi pagar kawat duri untuk menziarahi neneknya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, menjadi tular di media sosial.

Video berdurasi kira-kira 30 saat terbabit dikesan jam 9 malam tadi oleh pegawai kanan polis yang ditugaskan menjaga kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar, suspek mengenakan baju warna gelap dan berseluar putih ketika cuba masuk ke kawasan berkenaan.

“Suspek kelihatan menyelinap masuk seorang diri ke dalam kawasan perumahan itu yang dikelilingi dengan pagar kawat duri.

“Saksi awam yang memuat naik video berkenaan di media sosial mengaku merakamkan video ini pada jam 6.15 petang,” katanya dalam kenyataan dipetik Harian Metro.

Anuar berkata, polis sedang melakukan usaha mengesan wanita terbabit yang disyaki menetap di Puchong, Selangor.

Pada masa sama, dia meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penyebaran video terbabit yang dibimbangi menimbulkan kegusaran.

“Kita masih lagi mengesan individu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kita menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video ini dan mereka hendaklah mematuhi semua peraturan ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Katanya, tindakan boleh dikenakan sekiranya dikesan berlakunya sebarang pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah juga boleh disalurkan kepada polis Brickfields di talian hotline 03-2297 9222 dan talian hotline polis Kuala Lumpur bernombor 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.