`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, July 12, 2021

PBT Selangor tiada kuasa tutup kilang, kata Syahredzan

 

Peguam, Syahredzan Johan berkata, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) membenarkan Putrajaya menentukan sektor ekonomi mana adalah perkhidmatan perlu dan boleh beroperasi.

PETALING JAYA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak mempunyai kuasa melangkaui arahan Putrajaya dan menutup kilang di negeri itu akibat Covid-19, kata Syahredzan Johan daripada DAP.

Dalam respons enam muka surat terhadap cadangan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, Syahredzan berkata, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) membenarkan Putrajaya menentukan sektor ekonomi mana adalah perkhidmatan perlu dan boleh beroperasi.

Walaupun Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menyatakan PBT boleh membatalkan lesen operasi dan menutup kilang “pada bila-bila masa”, Syahredzan yang juga peguam berkata, PBT tidak boleh berbuat demikian sewenang-wenangnya.

“Budi bicara untuk batalkan lesen mestilah berkaitan pelanggaran syarat dalam lesen yang diberikan, dan bukannya atas sebab perkara tiada kaitan dengan lesen itu. Ia harus berkaitan pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah Akta 171 dan undang-undang kecil PBT.

“Oleh sebab itu, PBT sebenarnya tiada budi bicara meluas dan mutlak untuk mengguna pakai Seksyen 107(2) dalam hal ini,” katanya sambil menambah PBT boleh disaman kerana bertindak di luar bidang kuasa mereka.

Beliau berkata, penutupan sebuah kilang sarung tangan mengikut Akta 342 baru-baru ini, manakala penutupan sebuah lagi kilang berdasarkan undang-undang kecil, dilakukan kerana ia tidak memiliki lesen perniagaan sah, yang terletak di bawah bidang kuasa PBT.

Syahredzan berkata, Seksyen 73 dan 102 Akta 171 merujuk undang-undang kecil PBT yang merupakan perundangan subsidiari yang tidak boleh mengatasi Akta 342.

“Harus ditekankan bahawa menteri besar Selangor sudah berkali-kali meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya membenarkan kilang yang benar-benar perlu beroperasi, tetapi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri membenarkan lebih banyak kilang dibuka.

“Ini bermakna kerajaan negeri sudah memohon untuk pelaksanaan SOP lebih ketat bagi Selangor dalam hal membabitkan kilang, tetapi tidak diendahkan MKN.

“Jika memang boleh guna kuasa PBT, sudah tentu kerajaan negeri sendiri pertimbangan dan dinasihati penasihat undang-undang negeri mengenai perkara ini.”

Beliau mengulangi kerajaan negeri tidak patut bertindak sewenang-wenangnya dan melanggar kedaulatan undang-undang dengan melangkaui bidang kuasa serta budi bicara semata-mata demi “political mileage”, dengan menegaskan Akta 342 jelas adalah prosedur menutup kilang buat sementara.

Semalam, Rafizi mempersoalkan kenapa kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan tidak menghentikan kilang daripada beroperasi kerana ia boleh bertindak melalui PBT untuk membatalkan lesen operasi kilang.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Akta 171 memberi kuasa kepada PBT untuk memberi lesen kepada premis dan industri, serta perkara itu jelas terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Kalau kerajaan pusat sekat (penutupan kilang), ‘then you get the political mileage for trying’. Itu pun nak kena ajar?” kata Rafizi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.