`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, July 11, 2021

Pekerja kilang jangan takut lapor majikan langgar SOP, kata MTUC

 

Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, langkah itu bagi memastikan semua pihak sama-sama bertanggungjawab membendung penularan Covid-19 yang semakin kritikal khususnya di Lembah Klang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa semua pihak khususnya pekerja termasuk dalam sektor perkilangan supaya lebih berani tampil membuat laporan jika mendapati berlaku pelanggaran SOP oleh majikan.

Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, langkah itu bagi memastikan semua pihak sama-sama mengambil tanggungjawab membendung penularan Covid-19 yang semakin kritikal khususnya di Lembah Klang.

“Semua pihak pekerja, majikan (dan) kerajaan perlu memainkan peranan supaya tidak ada pelanggaran SOP.

“Pekerja juga dinasihatkan jika ada majikan melanggar SOP kerajaan dan MKN, buatlah laporan melalui aplikasi yang disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) atau lapor kepada MTUC untuk kita bantu melaporkan kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan,” katanya kepada FMT.

Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani.

Beliau berkata demikian sambil menyambut baik ketegasan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan melakukan ‘perang’ habis-habisan dan mengambil tindakan tegas kepada kilang serta premis perniagaan yang masih berdegil untuk mematuhi SOP ditetapkan.

Ismail berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur lagi terhadap kilang dan premis perniagaan berkenaan yang gagal mematuhi peraturan.

Effendy turut menyarankan supaya kerajaan meningkatkan penguatkuasaan tiga kali ganda khususnya di Selangor bagi memastikan tahap pematuhan SOP kilang dipatuhi termasuk memastikan hanya premis mendapat kelulusan sahaja dibenar beroperasi.

“Kita lihat ada majikan ambil kesempatan buka operasi tanpa kebenaran terutamanya di Selangor. Banyak majikan kilang beroperasi tanpa kebenaran.

“Di Selangor kena kaji balik kebenaran kilang beroperasi, kerajaan perlu benarkan sektor yang betul-betul perlu sahaja untuk beroperasi. Yang lain tutup dulu.

“Lepas kes reda barulah dibenarkan beroperasi balik, sebab kes di Selangor sangat tinggi. Jumlah pekerja juga perlu dipantau supaya tiada pelanggaran SOP berlaku,” katanya.

Beliau turut merayu kerajaan membenarkan operasi lebih banyak dibuka bagi negeri yang dikategori sebagai zon hijau.

Pihaknya juga menggesa kerajaan bukan sahaja mengarahkan premis melanggar SOP ditutup, sebaliknya perlu mengambil tindakan lebih tegas dengan membawa majikan ke mahkamah bagi memastikan perbuatan sama tidak diulangi pihak lain.

“Selain tutup operasi, kenakan kompaun yang tinggi, dan hadapkan ke mahkamah apabila langgar SOP mengikut akta kawalan penyakit berjangkit.

“Kena kuat kuasakan hukuman tegas. Senang kata, mana-mana majikan langgar SOP boleh dikategorikan sebagai jenayah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.