PETALING JAYA: Pengumuman bahawa ekonomi negara berkembang 16.1% pada suku kedua 2021 adalah bukti “khianat paling besar” kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, kata Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu turut mempersoalkan bagaimana ekonomi negara mampu berkembang begitu pantas pada suku kedua, iaitu antara April, Mei dan Jun, ketika negara bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) berkuatkuasa pada 1 Jun.
“Hampir semua sektor (kecuali sektor-sektor terpilih) ditutup masa itu manakala berita orang mula bunuh diri atas masalah kewangan dan menaikkan bendera putih bermula pada bulan-bulan itu.
“Jadi, bagaimana pula ekonomi mampu berkembang dengan kadar begitu besar masa itu? Siapa yang dapat manfaat dan siapa yang sengaja dikorbankan kerajaan untuk mengejar nombor KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar)?” soal beliau dalam catatannya di Facebook.
Najib berkata, realitinya adalah angka 16.1% itu terbina atas kehilangan ribuan nyawa rakyat dan kesempitan rakyat biasa.
Yang mendapat manfaat, katanya, adalah “tauke besar” yang sudah pun kaya-raya.
Malah, beliau menegaskan sudah berulang kali memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak mengejar eksport tinggi ketika negara berada bawah “lockdown” walaupun ekonomi besar dalam dunia diramalkan semakin memulih dan permintaan eksport amat tinggi.
“Kilang dibuka sebab eksport mantap tapi perniagaan biasa yang memberi kerja dan merupakan sumber pendapatan pada majoriti rakyat disekat.
“Yang kaya dibantu kaut keuntungan manakala rakyat biasa yang paling tidak mampu dan tidak patut disekat pula dikorban dengan ‘lockdown’ antara paling panjang dalam dunia,” katanya.
Najib berkata, perkembangan ekonomi yang pesat sudah tidak bermakna kepada mereka yang terkorban akibat Covid-19.
“Tidak bermakna bagi mereka yang masih menderita bawah ‘lockdown’, sedang mengalami masalah kewangan, mereka yang sudah hilang kerja atau bagi puluhan ribu perniagaan kecil yang terpaksa ‘bungkus’,” tambahnya.
“Yang syok sendiri cuma kerajaan PN dan PM-8 (Perdana Menteri ke-8) yang umum ekonomi Malaysia sangat mantap.”
Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan ekonomi negara mencatat pertumbuhan tinggi pada suku kedua tahun ini, berkembang 16.1% berbanding penguncupan 17.1% pada suku sama tahun lalu.
Pada suku pertama pula, KDNK negara mencatat penguncupan 0.5%, manakala pertumbuhan ekonomi pada keseluruhan separuh pertama tahun ini adalah sebanyak 7.1%.
Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, prestasi ekonomi disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.