PETALING JAYA: Lebih 6,300 pengusaha kedai gunting di seluruh negara gulung tikar susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini, kata Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) TN Winda Mohd Tahir.
Tidak tahan dengan nasib menimpa ahli persatuan berkenaan, Winda berkata, MBBA bersama beberapa lagi persatuan penggunting rambut dan salun akan menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, dalam masa terdekat, bagi memohon pertimbangan membenarkan sektor itu beroperasi semula.
Katanya, angka itu berkemungkinan besar akan meningkat jika perkhidmatan berkenaan terus tidak diberikan kelonggaran beroperasi semula.
“Berdasarkan data yang saya peroleh, seramai 21,820 pengusaha berkenaan termasuk ahli MBBA di seluruh negara, masih bertahan setakat ini tetapi memerlukan bantuan.
“Bagaimanapun, ada kemungkinan besar mereka juga akan mengalami nasib sama jika keadaan sekarang berterusan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Winda berkata, kos terbesar yang mereka terpaksa tanggung setiap bulan ialah sewa premis, termasuk mencecah hingga RM25,000 sebulan di sesetengah lokasi seperti dalam pasar raya besar.
Katanya, sejak pelaksanaan PKP, MBBA sudah beberapa kali mengemukakan surat rayuan serta cadangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya sektor ini dibenarkan beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Malangnya, ia tidak berhasil. Oleh itu, langkah menghantar petisyen kepada Agong adalah ikhtiar terakhir yang kami ada.
“Diharapkan pihak kerajaan akan mendengar keluhan dan memberi kebenaran untuk kami beroperasi semula dengan segera,” katanya. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.