`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, August 14, 2021

Mana-mana Ahli Parlimen kini boleh tunjuk angka sokongan cukup, kata peguam

 

Sidang khas Dewan Rakyat boleh dipanggil tanpa notis mencukupi bagi tujuan membentang dan membahaskan undi percaya terhadap Perdana Menteri, kata seorang peguam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mana-mana Ahli Parlimen kini boleh memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong dan cuba membuktikan mereka mempunyai “angka sokongan yang cukup”, susulan pengakuan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa beliau tidak lagi memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Peguam Salim Bashir berkata, kini tiada lagi halangan bagi mana-mana Ahli Parlimen untuk menghadap Agong mengaku mempunyai akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen lain yang menyokongnya untuk memimpin kerajaan.

Beliau memetik keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Mohammad Nizar Jamaluddin v Zambry Abd Kadir berhubung jawatan Menteri Besar Perak pada 2009.

“Kes Perak menjadi duluan bahawa undi percaya dapat dibuat dan dikumpulkan daripada sumber-sumber lain jika diyakini dan dapat dibuktikan, selain daripada undian dalam Dewan,” katanya.

“Keputusan ini seolah-olah memberi jalan bagi Ahli-ahli Parlimen untuk menunjukkan atau menarik sokongan berdasarkan deklarasi individu. Ia juga menjawab persoalan-persoalan seperti sama ada Perdana Menteri boleh kehilangan sokongan di luar Parlimen.”

Menurut Salim, secara idealnya, Perdana Menteri mesti menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Agong, mengikut budi bicaranya, boleh memperkenan atau menolak untuk membubarkan Parlimen bawah Perkara 40(2) Perlembagaan. Susulan ini, perdana menteri mesti meletak jawatan,” katanya.

Tambahnya, dilema politik sebegini memerlukan sidang khas Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3).

“Malah (sidang khas) boleh dipanggil tanpa notis mencukupi bagi tujuan membentang dan membahaskan undi percaya terhadap Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Pada sidang media semalam, Muhyiddin mencadangkan suatu kerjasama rentas kepartian dengan menawarkan pelbagai “ganjaran”, termasuk peruntukan setara bagi semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.

Pakatan Harapan, Umno, Warisan, MUDA, Upko, Pejuang, dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) semuanya berkata, mereka menolak tawaran Muhyiddin.

Parti-parti pembangkang berkata, mereka yang mengusulkan Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) seperti yang diumumkan Muhyiddin, pada tahun lalu, bagi menstabilkan negara dan kerajaan, namun usul berkenaan ditolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.