PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin seharusnya berasa malu dan segera berundur apabila “umpan” yang ditawarkan kepada pembangkang ditolak mentah-mentah oleh semua parti politik, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi.
“Mana Muhyiddin nak letak muka. Tidak sampai 24 jam, ‘new deal’ beliau ditolak mentah-mentah oleh semua parti politik pembangkang termasuk Umno,” katanya dalam catatan di Facebook.
“Muhyiddin perlu mengalah. Semua jalan sudah tertutup untuk beliau. Dia ditolak sebelum pilihan raya umum bukan kerana fitnah dan tuduhan retorik seperti kleptokrasi. Dia memang gagal,” kata Puad.
Beliau berkata, penolakan terhadap Muhyiddin bermakna presiden Bersatu itu tidak lagi dipercayai, “apatah lagi tawaran itu dibuat ketika dia disahkan oleh Speaker dia sudah hilang majoriti.”
“Menerima tawaran baru itu bermakna Umno dan pembangkang menyelamatkan kerajaan yang melanggar Perlembagaan, gagal dan ingkar titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini Puad berkata hanya seorang wakil rakyat DAP dilihat bersetuju dengan tawaran terbaharu daripada Muhyiddin.
“Hanya Tony Pua (Ahli Parlimen Damansara) nampak setuju dengan ‘offer’ dari Muhyiddin. Beliau takut Umno kembali berkuasa.
“Semasa Pakatan Harapan berkuasa dia dituduh guna LHDN untuk menganiayai ramai pemimpin Umno. Dia takut bayang bayang sendiri. Di bawah Perikatan Nasional dia selamat,” dakwa Puad.
Selepas Muhyiddin mengumumkan tujuh tawaran kepada pembangkang untuk memperolehi sokongan terhadap keabsahannya selaku Perdana Menteri, Pua memuat naik catatan di Facebook beliau meminta Ahli Parlimen pembangkang mempertimbangkan tawaran itu sekiranya PH tidak dapat mengumpulkan sokongan majoriti kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
Pua berkata adalah wajar untuk pemimpin pembangkang mempertimbangkan menghadiri pertemuan yang dicadangkan oleh Muhyiddin.
“Pandangan saya, jika kita tidak dapat kumpulkan sokongan majoriti untuk ketua pembangkang, kita perlu mempertimbangkan tawaran yang diberikan oleh Muhyiddin,” katanya.
Dalam sidang media semalam, Muhyiddin menawarkan pelbagai insentif termasuk mengadakan pilihan raya umum selewat-lewatnya Julai depan, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen serta melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi.
Tawaran itu dibuat Muhyiddin bagi memperolehi sokongan untuk memenangi undi percaya terhadapnya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.