PETALING JAYA: Penutupan sekolah yang berpanjangan di seluruh negara dijangka meningkatkan lagi jurang pendidikan antara murid di bandar dan luar bandar walaupun sekolah mungkin belum lagi boleh dibuka untuk mengatasi masalah itu, kata dua persatuan ibu bapa.
Presiden Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan Noor Azimah Abdul Rahim berkata, terdapat juga jurang pendidikan di kawasan membangun antara murid daripada isi rumah berkemampuan dan miskin bandar disebabkan kurangnya kelengkapan mencukupi bagi mengikuti kelas dalam talian.
Beliau memberitahu FMT bahawa kanak-kanak prasekolah dan di sekolah rendah boleh menghadapi masalah untuk menguasai kemahiran asas seperti menulis dan membaca dan boleh menjadi lebih buruk jika tidak ditangani.
Noor Azimah turut menyuarakan kebimbangan berhubung kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Saya rasa apabila kanak-kanak kembali ke sekolah, mereka akan menghadapi masalah untuk berada pada tahap yang diharapkan, terutama bagi mereka yang tidak gemar mengikuti kelas dalam talian.
“Saya pasti keadaan itu lebih buruk dalam kalangan kumpulan isi rumah B40. Kini lebih ramai keluarga menjadi ibu atau bapa tunggal dan ramai kanak-kanak menjadi anak yatim. Ini adalah tragedi,” katanya.
Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan Melaka Mak Chee Kin berkata, ada segelintir kanak-kanak terpaksa mengabaikan pendidikan untuk membantu ibu bapa bagi memastikan keluarga tidak kelaparan.
Katanya, pembangunan dari sudut bukan akademik dalam pendidikan seperti sukan dan seni akan terkesan kerana ia lebih sesuai dilakukan dalam persekitaran persekolahan.
“Di peringkat serantau, Malaysia pasti akan ketinggalan di belakang negara jiran yang mengurus pandemik dengan lebih baik. Sekali lagi, murid lemah adalah golongan yang terjejas teruk.
Gabungan Pendidikan Global UNESCO melaporkan sekolah di Malaysia ditutup selama 41 minggu setakat ini, iaitu lebih lama berbanding negara jiran seperti Singapura (14), Vietnam (19) dan Timor-Leste (11).
Dengan bilangan kes harian Covid-19 yang berada sekitar 20,000, Noor Azimah dan Mak berkata, ramai ibu bapa masih bimbang untuk menghantar semula anak mereka ke sekolah.
Noor Azimah berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) harus mencari jalan untuk merapatkan jurang pendidikan yang tidak dapat dielakkan itu dengan segera dan berkesan apabila situasi pandemik semakin pulih.
“Persoalannya ialah adakah kita akan melakukannya dengan cara yang berbeza? Bagaimana kita ingin memulakan kembali seluruh sistem bagi membolehkan jurang itu diatasi dengan berkesan dan secepat mungkin?
“Kita harus memperkemaskan kembali sistem pendidikan. Ini adalah masa untuk menyingkirkan apa sahaja dalam kurikulum yang dilihat sebagai sia-sia dan membazir,” katanya.
Katanya, salah satu cara untuk merapatkan jurang itu ialah dengan melaksanakan cara pembelajaran abad ke-21 dengan guru lebih berperanan sebagai fasilitator manakala murid di seluruh negara pula diberikan akses kelengkapan terbaik.
“Kelengkapan terbaik bukan hanya diberikan kepada kawasan bandar dalam keadaan kawasan luar bandar masih ketinggalan. Dalam hal ini, teknologi akan membantu tetapi guru juga harus tahu bagaimana untuk menggunakannya secara berkesan.”
Walaupun ramai memuji keberhasilan pembelajaran dalam talian yang mendorong kepada kecemerlangan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, namun Noor Azimah meragui sama ada ia benar.
Sambil menyifatkannya sebagai inflasi gred, beliau berkata, pelajar A-level di United Kingdom (UK) pun diharapkan untuk diberi gred lebih baik sebagai ganti kepada sesi kelas yang terganggu.
“Inflasi gred bukan satu tindakan yang bagus, ia hanya memberi harapan palsu kepada pelajar. Guru ‘membunuh’ pelajar mereka dengan kebaikan.
“Saya rasa menteri pendidikan perlu melakukan analisis secara terperinci bagaimana keputusan SPM itu dicapai dengan baik,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.