`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 10, 2021

Kegilaan atau murah hati?

 

Ketika artikel ini ditulis Kementerian Kesihatan melaporkan jumlah kematian tertinggi akibat Covid-19 iaitu 360 kematian dalam satu hari. Amat menyedihkan. Sebelum itu, jumlah tertinggi ialah 257 kematian yang dicatat pada 4 Ogos.

Jumlah kes jangkitan harian pula ialah 18,688. Ini perangkaan 8 Ogos. Berkurangan jika dibanding dengan catatan beberapa hari sebelumnya, tetapi masih membimbangkan, malah menakutkan.

Namun pada hari yang sama, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran untuk individu yang divaksin sepenuhnya, berkuatkuasa hari ini Selasa 10 Ogos. Kelonggaran membabitkan semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara dan juga untuk negeri Fasa 2 dan ke atas. Bagi saya, itu respon yang pelik terhadap jumlah tinggi kematian dan kes baharu.

Antara yang dibenarkan untuk semua fasa ialah: “warganegara dan warga asing yang mempunyai kediaman di Malaysia termasuk penduduk tetap dan peserta Malaysia MY Second Home yang pulang dari luar negara boleh menjalani kuarantin wajib di rumah dengan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital akan diberikan.”

Bekas Perdana Menteri Najib Razak menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai satu “kegilaan” tahap maksimum kerana di luar negara sudah ada varian berbahaya seperti Delta Plus dan Lambda.

Berkata Najib di Facebook: “Sekiranya kerajaan berhasrat untuk bawa masuk varian Lambda dan Delta Plus maka sila teruskan kegilaan ini.”

Menurut beliau, “kerajaan tak rugi besar untuk arahkan mereka yang pulang dari luar negara untuk kuarantin di pusat pusat kuarantin atau hotel dipantau kerajaan sebab mereka yang pulang sudah tentu mampu bayar kos kuarantin.”

Rasa saya, ada eloknya PM masa kini beri perhatian apa yang PM masa lalu katakan.

Itu kelonggaran untuk semua fasa.

Bagi aktiviti yang dibenarkan untuk negeri Fasa 2 dan ke atas pula termasuk makan di dalam restoran atau “dine-in”. Ini membimbangkan ramai termasuk peniaga sendiri.

Mereka mempersoalkan sama ada selamat kedai dibuka untuk “dine-in” memandangkan jumlah tinggi kes harian dan kematian akibat Covid-19.

Bayangkan, golongan peniaga berpeluang meraih untung kerana pelanggan dibolehkan makan dalam restoran, sebaliknya menyatakan kesangsian. Demi keselamatan pelanggan dan diri sendiri serta pekerja mereka.

J Suresh, Presiden Persatuan Permilik Restoran India Malaysia, percaya sekarang bukan masanya untuk mengizinkan “dine-in” walaupun mengakui sesetengah pemilik restoran mengalu-alukan kelonggaran itu.

“Kita minta untuk buka semua apabila kes masih sekitar 3,000 hingga 4,000 kes. Kini apabila lebih 20,000 kes baharu dilaporkan dalam beberapa hari ini, akhirnya mereka (kerajaan) membenarkan kami buka untuk dine-in,” kata Suresh seperti dilaporkan FMT.

Perlu diingat kelonggaran ini untuk negeri Fasa 2 dan ke atas. Maksudnya, negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terenggnau, Pahang, dan Sabah. Manakala Perlis, Sarawak, dan Labuan sudah beralih ke Fasa 3.

Pun begitu, berdasarkan perangkaan Kementerian Kesihatan pada 8 Ogos, Sabah mencatat 1,379 kes baharu, Kelantan 870 kes, Perak 861 , Pulau Pinang, 694, Pahang 602, Terengganu 598, Sarawak 581 kes. Situasi yang belum mengizinkan tarik nafas lega.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata sembilan negeri masih mencatat kadar kebolehjangkitan Covid-19 melebihi purata kebangsaan iaitu 1.07 setakat 8 Ogos.

Sembilan negeri itu termasuk negeri yang diletakkan dalam Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara iaitu Sabah, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Sarawak, Perak, dan Terengganu.

Perlu diingat juga kelonggaran yang diumum Muhyiddin membabitkan golongan yang sudah lengkap divaksin dua dos. Bagaimanapun, kita kerap diingatkan oleh Hisham bahawa walaupun selepas lengkap dua dos suntikan vaksin, seseorang individu boleh dijangkiti Covid-19.

Ertinya, tidak ada jaminan tetapi mungkin dijangkiti, walaupun tidak seteruk individu yang tidak divaksin.

Hisham menyarankan kita semua terus mematuhi SOP dengan ketat. Nasihat sama diberi Muhyiddin ketika mengumumkan kelonggaran untuk penerima dua dos vaksin.

Apa pun, bagi Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye, kelonggaran diberi terlalu awal. Kata Lee, yang merupakan bekas timbalan menteri kesihatan, adalah lebih adil jika kelonggaran diberi selepas semua orang yang mendaftar untuk vaksin sudah mendapat dos pertama.

Beliau bimbang kelonggaran yang diumum kerajaan mungkin menambah risiko golongan yang belum divaksin kepada virus Covid-19. Kebimbangan itu dikongsi pelbagai pihak termasuk rakyat biasa. Mereka juga bimbang tercetus lonjakan kes baharu kerana kelonggaran yang diberi.

Sementara itu, Pakar Epidemiologi Universti Malaya, Dr Sanjay Rampal berpendapat tidak ada masa yang sesuai untuk kerajaan mengumumkan kelonggaran itu. “There is never the right or ideal time”.

Katanya kepada FMT, sekatan sudah dilaksanakan untuk tempoh lama dan mengakibatkan kesan psikologi, sosial, dan ekonomi. Oleh itu, bagi mengelakkan kelesuan pandemik, SOP perlu dilonggarkan di mana mampu dan dipertingkatkan apabila benar-benar diperlukan.

Ramai yang faham akan itu semua. Cuma ramai yang berasa pelik dan tertanya-tanya. Antara contoh terbaik ialah hantaran ini di Facebook – “Masa dua tiga ribu kes tak bagi kelonggaran. Bila dah kronik lebih 20 ribu kes sehari tetiba murah hati longgarkan SOP. Apa motif?”

Senada dengan apa yang ditimbulkan oleh pemilik restoran. Maknanya itu suara rakyat. Kalau pun bukan semua, pastinya majoriti. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.