PETALING JAYA: Satu sindiket perjudian dalam talian yang menyasarkan pelanggan antarabangsa dan yang mengaut keuntungan sehingga RM700,000 sebulan tumpas selepas 19 anggota sindiket itu termasuk lima orang wanita, ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di USJ 21, Subang Jaya, Isnin lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Amihizam Abdul Shukor dipetik Bernama berkata 11 daripada anggota sindiket itu adalah warga asing dan semua suspek berumur antara 21 hingga 47 tahun.
Katanya dalam serbuan di lima unit di pangsapuri berkenaan pada 6.50 petang itu, pihaknya turut merampas beberapa komputer, telefon bimbit dan peralatan, dipercayai digunakan untuk kegiatan haram tersebut.
“Siasatan awal mendapati pusat panggilan ini telah menawarkan khidmat judi dalam talian kepada pelanggan di pasaran Malaysia, Indonesia dan Myanmar dengan menggunakan aplikasi Facebook dan Wechat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hari ini.
Amihizam berkata siasatan awal mendapati sindiket itu sudah beroperasi sejak dua bulan lepas dan setiap unit pangsapuri yang digunakan untuk kegiatan itu disewa RM2,000 sebulan.
Menurutnya kesemua suspek juga ditempatkan di rumah berasingan dan bekerja sebagai operator serta dibayar gaji RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.
Semua suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana dokumen perjalanan telah tamat tempoh, katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.