`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 3, 2021

UMS hasilkan serunding kubis atasi lambakan sayur tak terjual ketika PKP

 

Serunding kubis kini dipasarkan dalam talian secara meluas dan boleh didapati di platform e-Dagang seperti Shopee dan Lazada.

KOTA KINABALU: Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 sejak tahun lalu telah menjejaskan pelbagai pihak dan tidak terkecuali juga para pekebun sayur.

Antara pekebun terjejas termasuk di daerah Ranau yang terkenal dengan kawasan tanaman pelbagai jenis sayur khususnya kubis, sangat sinonim dengan daerah berkenaan.

Susulan PKP, kebanyakan mereka tidak dapat menjual hasil tanaman masing-masing sehingga menyebabkan lambakan sayur terutama ketika PKP 1.0 pada tahun lalu.

Sehubungan itu, satu usaha telah dilakukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi sekumpulan pakar daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) serta penyelidik dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) yang membantu komuniti tempatan menghasilkan serunding kubis.

Jurry Foo.

Ketua kumpulan penyelidik, Jurry Foo berkata, ketika usaha berkenaan dimulakan, para petani menghadapi cabaran untuk memasarkan sayur-sayuran ke pasaran luar daerah dan hanya mengharapkan pembeli daripada kalangan penduduk setempat.

Katanya, sayur kubis merupakan sayuran paling terjejas menyebabkan petani dan peniaga terpaksa menanggung kerugian serta berlakunya pembaziran sayuran.

”Atas keprihatinan terhadap nasib komuniti setempat, UMS melalui Pusat Penyelidikan dan Inovasi (kini dikenali Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS) telah melancarkan dana penyelidikan Covid-19 bagi membantu masyarakat.

”Di sini kita mengambil tanggungjawab mencadangkan beberapa idea untuk memproses sayur kubis menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada pada komuniti untuk meminimumkan risiko pembaziran sayuran.

”Sementara menunggu tawaran dana penyelidikan dari UMS, saya telah mengadakan bengkel secara dalam talian mengenai cara memproses sayuran termasuk kubis dalam bentuk serunding dengan menginspirasikan kaedah menghasilkan serunding Tuhau yang merupakan produk makanan tempatan popular dalam kalangan masyarakat di Ranau,” katanya ketika dihubungi.

Jurry berkata, pada peringkat permulaan, cadangan berkenaan mendapat tentangan umum kerana ramai yang beranggapan sayur kubis tidak sesuai dijadikan serunding, namun sekumpulan komuniti perintis merealisasikan idea dan resepi penyelidikan UMS dengan jayanya menerusi bimbingan dalam talian

”Daripada makanan sampingan biasa-biasa, kini serunding kubis telah menjadi produk makanan tahan lama yang mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna.

”Ia kini dipasarkan dalam talian secara meluas dan boleh didapati di platform e-Dagang seperti Shopee dan Lazada.

”Produk serunding kubis ini juga boleh didapati di beberapa cawangan pasaraya tempatan iaitu Bataras dan Sabindoi,” katanya yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan UMS itu juga telah mendapat pengiktirafan kebangsaan iaitu ‘National Innovation and Invention Competition Through Exhibition’ (iCompEx) 2021 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.