(Agenda Daily) – Memorandum Persefahaman (MOU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan mungkin gagal tetapi ia tidak boleh berpunca daripada parti-parti yang berada dalam blok pembangkang, kata Lim Kit Siang.
Pemimpin veteran DAP itu tidak menolak kerjasama tersebut akan gagal, malah terdapat pemimpin akar umbi DAP yang membangkitkan persoalan tersebut dalam mesyuarat yang diadakan bagi membincangkan berhubung isu MOU tersebut.
“Satu persoalan yang kerap ditanya dalam mesyuarat zoom DAP di seluruh negara adalah sama ada memorandum persefahaman keyakinan-perbekalan-reformasi (CSR) di antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PH boleh gagal.
“Ya, memorandum CSR ini mungkin akan gagal, kerana kerajaan Ismail Sabri ini bukanlah sebuah kerajaan PH, tetapi sebarang kegagalan ini tidak boleh disebabkan oleh parti-parti Pakatan Harapan yang tidak memenuhi komitmen kita di bawah memorandum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, terdapat syarat dan batasan yang tidak boleh dilanggar antara kedua-dua pihak yang menandatangani MOU tersebut dan perlu menghormatinya sebagai persefahaman antara satu sama lain.
“Namun, terdapat ‘garis merah’ (batasan) yang tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak, misalnya, membiarkan Malaysia menjadi lebih kleptokratik, lebih autokratik, atau semakin tidak demokratik,” katanya lagi.
Blok pembangkang, PH dan kerajaan menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Parlimen pada 13 September lalu.
MoU berkenaan yang membentuk satu kerjasama ‘dwipartisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
Untuk rekod, tawaran kerjasama tersebut sebelum ini pernah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum meletak jawatan tetapi ditolak mentah-mentah pembangkang.
Hanya dengan kerajaan baharu diterajui UMNO sahaja Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tunduk dan menerima tawaran MoU tersebut, begitu takut beliau kepada UMNO sehingga mengadaikan prinsip perjuangannya sebelum ini.
Bagaimanapun, MOU tersebut tidak ditandatangani parti pembangkang yang berada di blok Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Pejuang, Warisan dan Muda.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.