JOHOR BAHRU: Gara-gara ingin memetik rambutan, seorang pekerja kilang pembuatan maut selepas terjatuh dari bumbung gudang kilang di Jalan Johor dekat Pontian pada Sabtu lepas.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Husdin Che Amat berkata, lelaki Nepal berusia 41 tahun itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada 10.15 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu ditugaskan ke gudang kilang tersebut bersama rakan sekerjanya untuk mengambil sampel produk, namun dia memaklumkan mahu memetik rambutan berhampiran gudang sebelum menaiki bumbung menggunakan tangga aluminium mudah alih seorang diri.
“Kepingan bumbung lutsinar yang terkopak dan pecah (kesan jatuh) masih berada di bumbung pada ketinggian 30 kaki (9.14m) dari lantai mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya dalam kenyataan.
Husdin berkata, pihaknya mengarahkan majikan pekerja itu menjalankan siasatan dalaman serta melantik pegawai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, selain mengemukakan surat tunjuk sebab atas kegagalan melaporkan kemalangan itu dalam tempoh 24 jam.
Katanya, lokasi kejadian turut disita pihaknya sehingga siasatan lengkap dijalankan dan tindakan perundangan hanya akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.