`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, September 28, 2021

Ibu bapa di Sabah sambut baik pemberian vaksin remaja

 

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah daripada 400,000 remaja diberi suntikan vaksin sejak 16 Sept lepas, 200,445 adalah membabitkan pelajar sekolah di negeri berkenaan. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Sejak Sabah melaksanakan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun pada 16 Sep lalu, ia mendapat sambutan baik apabila seramai 224,496 orang atau 52.7% daripada penduduk remaja di negeri itu telah menerima satu dos vaksin, setakat kelmarin.

Setakat kelmarin juga, seramai 190 penduduk remaja di Sabah telah lengkap divaksinasi.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Rose Nani Mudin berkata, lebih 400,000 remaja mula diberikan vaksin jenis Pfizer-BioNtech secara “walk-in” di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain dilakukan di sekolah-sekolah dengan bantuan Jabatan Pendidikan Sabah.

Daripada jumlah itu juga katanya, seramai 200,445 adalah pelajar sekolah di negeri berkenaan.

Seorang ibu, Sharon Gaban berkata, dia mengambil keputusan menghantar dua anaknya untuk menerima vaksin lebih awal kerana yakin dengan keberkesanan vaksin yang mampu melawan virus Covid-19.

“Selepas melalui pengalaman ahli keluarga serta saudara-mara sendiri pernah dijangkiti Covid-19, ia telah terbukti mereka yang telah lengkap dua dos vaksin lebih cepat melawan penyakit berkenaan dan oleh sebab itu ia memberi keyakinan yang vaksin mampu melindungi kita.

“Oleh sebab itu juga saya yakin untuk menghantar dua anak saya yang berusia 13 dan 17 tahun mendapatkan suntikan vaksin dan dalam masa sama sebagai persediaan mereka sebelum memulakan sesi persekolahan secara fizikal nanti,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, seorang lagi ibu, Werline Santor berkata, sesi persekolahan secara fizikal yang bakal dimulakan tidak lama lagi menjadi pendorong kepadanya untuk menghantar anaknya menerima vaksin.

Katanya, adalah penting untuk setiap remaja terutama yang bersekolah supaya mendapatkan vaksin kerana tiada siapa yang dapat tahu di mana keberadaan virus terbabit.

“Virus Covid-19 ini boleh berada di mana-mana dan sekolah juga tidak terkecuali, jadi saya tidak mahu mengambil risiko dan mahu pastikan anak saya dapat pergi ke sekolah dalam keadaan selamat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.