`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, September 8, 2021

Kisah 14 sekeluarga maut Covid-19: Penyelia kontrak dipenjara 3 tahun, denda RM16,000

 

Tertuduh, Mohd Zahazan Zainon didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang penyelia kontrak di Kompleks Bersepadu Pengerang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi, hari ini, kerana memperdaya dua rakan sekerja untuk mendapatkan sumbangan pada 3 September lalu.

Menurut laporan Berita Harian, Majistret Nurmadiana Mamat menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zahazan Zainon, 45, selepas dia membuat pengakuan salah terhadap dua tuduhan yang dibacakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menipu rakan sekerja dengan cara memperdaya mengatakan bahawa ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19, sedangkan ia tidak benar dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja dengan mengatakan perkara sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Mohd Zahazan didakwa melakukan kedua-dua kesalahan antara jam 5.20 petang hingga 9.25 malam di Pejabat Bahagian Keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang di sini, pada 3 September lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu peguam tertuduh, Nurul Hidayah Mohd Asri memohon anak guamnya dikenakan hukuman lebih ringan dengan alasan ia adalah kesalahan pertama dan dia perlu menyara empat anak hasil perkahwinan sebelum ini serta dua anak yang masih bersekolah di pusat tahfiz.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nursyamim Fateha Mohd Amin, memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dan mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam berbanding peribadi.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun yang berkuatkuasa dari tarikh tangkapan dan denda RM15,00 atau penjara jika gagal membayarnya dan satu sebatan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM1,000 atau penjara jika gagal membayar denda dan satu sebatan.

Mahkamah mengarahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang lelaki dikatakan berdepan ujian berat apabila kehilangan 14 insan kesayangan termasuk isteri dan lapan anak akibat Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora dipetik berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan tertuduh selepas lelaki itu hadir ke Balai Polis Bayu Damai. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.