`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, January 17, 2024

Malaysia terus berpegang kepada ‘Dasar Satu China’

 

Malaysia sentiasa dan akan terus berpegang kepada ‘Dasar Satu China’, yang menjadi asas kepada perkongsian yang kukuh dan saling menguntungkan, menurut Wisma Putra.

PUTRAJAYA: Malaysia mengulangi sokongan terhadap “Dasar Satu China” memandangkan tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik dengan China.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), Malaysia sentiasa dan akan terus berpegang kepada dasar itu, yang menjadi asas kepada perkongsian yang kukuh dan saling menguntungkan.

Beberapa siri program dan aktiviti sedang dirancang, termasuk pertukaran lawatan peringkat tinggi, pengeluaran setem peringatan, forum perniagaan dan persembahan kebudayaan.

Pada 2013, hubungan kedua-dua negara telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Tahun lepas, sempena ulang tahun ke-10 CSP , pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara telah dipergiat, termasuk lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke China dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China ke-14 Zhao Leji ke Malaysia.

“Ini mempamerkan penekanan yang diletakkan oleh pemimpin kedua-dua negara ke atas hubungan dua hala Malaysia-China berdasarkan kepada prinsip saling menghormati dan persefahaman bersama,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

Malaysia dan China menjalinkan hubungan bilateral secara rasmi pada 31 Mei 1974, selepas menandatangani Pernyataan Bersama antara Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri Chou En-Lai ketika itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.