`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, September 14, 2024

Kahwin demi dapat undi?

 

Mohsin Abdullah

Sehari selepas Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden PAS mengarahkan sayap Pemuda parti mendekati masyarakat bukan Islam jika mahu menang PRU16, muncul Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden dengan apa yang beliau kata ‘strategi parti’.

Afnan memberitahu perrwakilan Pemuda PAS pada muktamarnya di Temerloh beliau mahu anggotanya belajar bahasa Mandarin dan Tamil bagi membantu parti mendekati masyarakat bukan Melayu. Bagus cadangan itu.

Eloklah Pemuda PAS mendaftarkan diri untuk menyertai kelas kedua-dua bahasa itu secepat mungkin. Jangan bimbang ada banyak tempat menawarkan pengajaran Mandarin dan Tamil walaupun ada dalam kalangan orang Melayu termasuk orang PAS sendiri sebelum ini pandang serong khususnya terhadap sekolah jenis kebangsaan. ‘Chinese schools in particular’.

Lupakan itu. Bertindaklah cepat. Rasanya Pemuda PAS tahu mereka mengejar masa. Maka perlu ditanya – sempat tak mahir cakap Mandarin dan Tamil sebelum PRU16? Tetapi ingat bukan semua orang Cina selalu cakap Mandarin. Ada yang selesa cakap dialek Kantonis atau Hokkien. Ada juga Hakka. Awas. Silap cakap lain yang dapat. Yang diingin undi. Salah cakap undi tak dapat menyampah yang timbul.

Saya tidak berada di Temerloh semasa Afnan menghuraikan strateginya. Tetapi saya rasa saranan si ketua Pemuda tidak menaikkan semangat perwakilan dan ahli PAS keseluruhan seperti yang ‘berjaya’ dilakukan oleh Setiausaha Pemuda PAS Selangor Aubidullah Fahim Ibrahim.

Aubidullah sesungguhnya menghayati istilah ‘mendekati’ masyarakat bukan Islam seperti disebut Tuan Ibrahim. Lantas beliau mahu PAS benar-benar atau ‘literally’ mendekati dengan mengahwini orang bukan Islam. Bukan sekadar dekat-dekat. Kahwin terus.

Setuju tak jika saya kata bab kahwin memang ramai yang teruja. Bandingkan mana yang lebih ‘menarik’? – belajar bahasa atau kahwin?

Kami di Selangor ada cadangan supaya pimpinan dan ahli Pemuda PAS perlu berkahwin rentas kaum atau rentas budaya. Sebab apa? Bila kahwin rentas kaum atau budaya kita bukan sekadar boleh tangkap satu undi tapi menangkap 10 malah ratusan undi daripada bukan Melayu dan Islam,
 kata Aubidullah dalam perbahasan muktamar Pemuda.

Pada hemat saya tentu ramai dalam kalangan Pemuda PAS yang ‘handsome dan macho’ yang mampu menggoda dan memikat. Di samping itu mereka mesti bijak berkata-kata untuk meyakinkan wanita yang mahu diambil sebagai isteri supaya mempercayai mereka. Apatah lagi mereka kahwin untuk dapat undi. Bukan kerana rasa cinta. Atau mungkin cinta akan datang selepas kahwin?

Dan wanita bukan Islam perlu dipujuk supaya menerima hakikat Pemuda PAS sebagai orang Islam boleh beristeri lebih daripada satu. Walaupun mungkin masa mahu kahwin ada Pemuda PAS yang masih bujang tetapi mereka boleh kahwin empat. Bak kata panglima perang PAS Sanusi Nor apabila bernikah isteri kedua tempoh hari – 

saya ada kuota dua lagi
.

Cadangan Pemuda PAS Selangor dituju kepada golongan pemuda. Bagaimana pula golongan yang di luar sayap Pemuda? Yang tidak berapa muda? Malah yang tua? Tidakkah mereka termasuk dalam strategi dapatkan undi ‘non-Malay non-Muslim? Demi PAS menang PRU16?

Persoalan penting. Pemuda PAS mahu memikat. Adakah yang mahu dipikat mahu terpikat?

Saya teringat masa kecil dulu istilah kegemaran yang digunakan dalam kalangan kawan abang saya waktu itu ialah ‘playboy’. Ada yang minat majalah Playboy keluaran empayar Hugh Hefner yang terkenal dengan gambar wanita cantik tidak berpakaian. Tetapi ada abang-abang dulu yang suka melabel kawan atau diri sendiri ‘playboy’.

‘Playboy’ yang dimaksudkan ialah lelaki suka wanita, suka menakluk hati wanita, gemar menggoda. Bahasa kasar buaya darat. Ada lagi istilah yang senada dengan ‘playboy. Yakni kasanova. Dipetik daripada nama Giovanni Giacomo Casanova yang lahir pada 1725 di Itali. Dikatakan mengenali hubungan kelamin seawal usia 16 tahun.

Lalu gelaran ‘casanova’ atau ‘kasanova’ (ejaan Melayunya) diberikan kepada lelaki yang suka memikat dan memperdaya wanita. Digunakan juga untuk lelaki curang, mata keranjang, hidung belang. Kasanova seperti ‘playboy’ dikaitkan juga dengan lelaki kaki perempuan, tidak setia, ye buaya darat.

Berbalik cadangan Pemuda PAS Selangor. Menurut ketua Pemuda PAS itu hanya pandangan perwakilan yang tidak perlu diambil serius. Kata Afnan, si setiausaha Pemuda PAS Selangor berhak menyuarakan pandangannya dan ia mesti diraikan. Tetapi itu bukan keputusan parti.

Pun begitu pada hemat saya apa disuarakan Aubidullah boleh atau telah meletakkan parti dalam situasi ‘ridiculous’. Meletakkan PAS dalam posisi sulit. Lantas kepimpinan Pemuda PAS menjauhi daripada pandangan Pemuda PAS Selangor. Jelas Pemuda PAS melakukan ‘damage control’. Namun ‘damage has been done’. Itu menurut saya.

Jika setiausaha Pemuda PAS Selangor mahu mendapatkan perhatian beliau sudah berjaya. Namun, saya percaya beliau mahu menolong PAS semasa mengutarakan cadangannya itu. Akan tetapi bak kata pepatah ‘the road to hell is paved with good intentions’. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.