`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, September 14, 2024

Hannah, jengahlah mereka

 

hishamuddin-aun

Ini bukan calang-calang atau kisah lazim kita dengar. Bersusah-payah ketika masih kanak-kanak untuk mengharumkan nama Malaysia sewajarnya dihargai sebagai usaha terpuji. Meski bukan daripada sukan berprestasi tinggi atau acara tersenarai dalam temasya rasmi termasuk Sukan Asia dan Sukan Olimpik, mereka layak dijulang sebagai wira cilik negara.

Bukan kecil pengorbanan seorang ibu, Nurul Fathim Ridayu Ramli, 39, dari Gombak, Selangor membawa dua anaknya, Abdurrahman Ahmad Mu’az, 14, dan Heba Nusaybah, 11, yang terpaksa berdikit-dikit sepanjang kira-kira seminggu di Gauchoux, Perancis untuk menyertai European Kids Horseback Archery Championship dari 21-23 Ogos lalu.

Menerusi video dimuat naik Fathim di platform TikTok, hanya dua wakil Malaysia menyertai pertandingan memanah berkuda itu atas biaya sendiri dibandingkan lebih 110 pesaing dari 16 negara antaranya Perancis, Belanda, Belgium, Indonesia, Brazil, Finland, Poland, England, Sepanyol, Jerman, Afrika Selatan, Switzerland, Turki, Amerika Syarikat dan Ireland.

Berarak dua orang (membawa bendera Malaysia ketika upacara perasmian) tapi muncul juara, naib juara,
 kongsinya dalam video berkenaan yang menunjukkan Abdurrahman menaiki podium selaku juara keseluruhan bawah 14 tahun daripada tiga format dipertandingkan – FFE Raid233, FFE Tower60 dan Hunt Track – manakala Heba Nusaybah pula naib juara kategori bawah 12 tahun.

Tanpa tajaan kerajaan atau pihak lain, ibu mereka menggunakan duit simpanan sendiri dan hasil berniaga untuk membiayai perjalanan tiga beranak itu ke Perancis. Tidak usah tanya di mana atau bagaimana mereka bermalam. Mereka menggunakan pengangkutan awam, membawa makanan siap sedia dari Malaysia dan berusaha berjimat-cermat. Biarpun lokasi pertandingan jauh dari kota raya Paris yang berjarak kira-kira 400km atau empat jam perjalanan menaiki kereta, itu tidak menghalang semangat mereka bertanding.

Kami satu-satunya pasukan yang paling kecil apabila hanya saya dan dua anak ke sana berbanding pasukan negara lain yang lebih ramai dan mewakili negara dengan melalui proses saringan,
 katanya.

Susulan perkongsiannya itu, ramai warganet yang memberi penghargaan dan ucapan tahniah selain berharap ada pihak akan tampil memberi sokongan untuk sukan memanah berkuda yang pernah menjulang nama Malaysia lima tahun lalu.

Lebih dahulu sebelum kejayaan dua beradik itu, Erina Emelina Ismail bergelar juara dunia apabila mengalahkan 30 peserta senior lelaki dan wanita dalam Kejohanan Memanah Berkuda Dunia Ke-15 di Chungju, Korea Selatan pada September 2019.

Seperti laporan FMT pada Rabu, Nurul Fathim berkongsi cerita bahawa penyertaan kedua-dua anaknya di Perancis dibiayai sendiri dengan hasil jualan kuih raya hingga dua beradik itu berjaya mengumpul kira-kira RM25,000 sebaik mendapat tahu mengenai kejohanan berkenaan awal tahun ini.

Mereka betul-betul nak pergi. Disebabkan kos mahal, saya, datuk dan nenek mereka berusaha mengumpulnya. Selebihnya mereka perlu berusaha sendiri dengan menjual kuih raya dan dan jual peralatan memanah,
 kata ibu kepada enam anak itu.

Nurul Fathim tidak menafikan mereka perlu mengorbankan banyak masa, tenaga dan wang sebelum dapat melihat dua beradik itu mengharumkan nama Malaysia.

Tempat latihan mereka agak jauh di Batang Kali dan kami tinggal di Gombak. Dalam tempoh dua minggu saya berulang-alik untuk menghantar mereka berlatih. Adik-beradik mereka yang lain juga terpaksa ditinggalkan demi kejohanan di Perancis. Namun, saya bersyukur suami begitu memahami dan memberi sokongan,
 katanya.

Jadi kemenangan ini sangat bermakna untuk kami,
 katanya mengenai dua anaknya itu yang menceburi sukan berkenaan sejak dua tahun lalu dan berguru dengan jurulatih di Indonesia.

Laporan Harian Metro turut memetik Nurul Fathim berkata asalnya beliau yang mahu belajar menunggang kuda dan anak-anaknya yang menyertainya kemudian menunjukkan minat dan memilih untuk aktif dalam sukan memanah berkuda.

“Apabila meneruskan latihan di Malaysia, memandangkan anak tiada jurulatih di sini, saya yang menjadi pengurus dan pemantau kerana saya juga sudah belajar teknik sukan ini ketika di Indonesia.

Setakat ini, kira-kira 10 kejohanan sudah anak sertai di dalam negara dan Indonesia. Kami melihat (perlu) untuk keluar (kejohanan) jauh sikit bagi menilai dan mengukur kemampuan anak dan memilih Eropah,
 katanya memberitahu anaknya menjalani latihan memanah setiap hari manakala memanah berkuda setiap dua hingga tiga kali seminggu di Hulu Selangor.

Mengakui sukan itu memerlukan kos tinggi, namun dia sering mengingatkan anaknya mengenai kesungguhan dalam mencapai sesuatu yang diminati. Untuk itu, katanya, anak-anaknya akan lebih menghargai dan lebih bersemangat.

Sukan ini selain sunnah Rasulullah SAW, ia juga mendidik anak untuk mempunyai jati diri dan lebih fokus selain daya kepimpinan apabila perlu mengawal kuda dengan baik. Paling penting sukan ini memberi persekitaran dan lingkungan yang baik untuk anak. Harapan saya agar mereka lebih berkembang maju dan agar lebih ramai anak muda meminati sukan ini juga,
 tambahnya.

Ditemu bual Radio Era, penyampai Nabil Ahmad yang bertanya acara memanah berkuda ini bukan soal bidikan tetapi memakai niat Allah yang tolong tepatkan sasaran panahan, Abdurrahman mengeyakannya kerana berbanding acara memanah biasa, sukan itu memerlukan pesertanya menunggang kuda dan membuat panahan.

Abdurrahman dan Heba Nusaybah juga sudah membuat perancangan baharu untuk menyertai satu kejohanan grand prix di Indonesia, November ini.

Seperti pelumba cilik permotoran, Qabil Irfan Azlan, 11, yang muncul juara keseluruhan Kejuaraan Siri Dunia Mini GP 2023 bagi kategori 160cc di Valencia, Sepanyol yang tidak mendapat pembiayaan kerajaan, ini tidak bermakna kedua-dua beradik itu tidak harus mendapat perhatian pihak berkuasa sukan negara.

Dengan bakat besar dimiliki mereka, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahupun Majlis Sukan Negara (MSN) harus tampil membantu sekurang-kurangnya mendapatkan penaja untuk penyertaan dalam pertandingan di luar negara.

Persekutuan Memanah Berkuda Malaysia (MHAF) yang bernaung bawah KBS mungkin boleh memohon geran untuk sukan memanah berkuda terus berkembang dan mendapat penyertaan lebih ramai.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang baru pulang ke tanah air selepas berakhirnya Sukan Paralimpik Paris rasanya belum terlambat untuk mengunjungi Abdurrahman dan Heba Nusaybah di Gombak bagi menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan kepada mereka.

Galakan dan penghargaan seperti itu mungkin menyaksikan dua beradik tersebut berdiri di pentas dunia suatu hari nanti. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.