`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, September 11, 2024

Mainan minda di Mahkota

 

hishamuddin-aun

Annuar Musa yang sinonim dengan pernyataan ‘pitih aku… pitih aku…’ dari PRK Nenggiri ini pun satu hal. Kesukaannya membuat orang terkejut kadang-kala melampaui mereka yang disasarkan timbalan pengarah operasi pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu hingga menyusahkan kawan-kawan dan ‘set-set kito’.

Mahunya mereka tidak terkejut apabila Annuar — ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat — secara tiba-tiba membuat hantaran di Facebook pada Isnin meramalkan kemenangan BN dalam PRK Mahkota 28 Sept ini dengan majoriti melebihi 20,000 undi. Perkiraan dibuatnya mudah bersandarkan keputusan PRN Johor 2022 yang menyaksikan gabungan undi BN (16,000) dan PH (11,000) ialah sekitar 28,000 undi sedangkan PN ketika itu memperoleh sekitar 7,000 undi.

Hasil keputusan itu menjadikan Mahkota kubu terkuat BN, PH Madani di Johor. Dijangkakan BN dengan mudah menambah undi mereka, mungkin melebihi 30,000 undi,
 katanya yang sekali imbas seakan-akan memberi pengiktirafan kepada musuh.

Gara-garanya PAS dan Bersatu dikatakan ‘huru-hara’ susulan kejutan yang ditimbulkannya. Parti itu dilaporkan kecewa dengan kenyataan terbukanya hingga beliau dikatakan tidak profesional dan ada agenda tertentu dengan mengatakan calon BN akan menang besar.

Oleh kerana kenyataannya dibuat bukan di pentas ceramah, lantas ia tidak meluangkan untuk jawapan segera, apa lagi bercemperalah ‘set-set kito’ untuk menangkis kenyataan itu.

Pertama tampil ialah Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang di sebalik mengakui partinya ‘underdog‘, tidak akan mengaku kalah dan tetap bertanding PRK Mahkota walaupun bakal berdepan laluan sukar. Apa pilihan kata-kata yang mereka ada?

“Memang kita masuk ke Mahkota dalam keadaan ‘underdog‘ tapi tak bermakna kita akan mengaku kalah, kita akan lawan, akan buat yang terbaik,” katanya dengan keyakinan PRK berkenaan akan menunjukkan sama ada pengundi Melayu Johor selesa dengan kehadiran DAP dalam kerajaan atau sebaliknya.

Suka atau tidak, Wan Fayhsal ada poin di situ dengan kepercayaan bahawa akan ada yang cenderung memberi undi kepada PN hanya atas sebab berkenaan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam menyangkal hujah Annuar berkata data dan penilaian mengenai kekuatan BN di kerusi itu dibuat berdasarkan keadaan ketika PRN 2022 — sewaktu gelombang sokongan pengundi kepada PN belum berlaku dan kerajaan perpaduan belum lagi terbentuk.

Jadi untuk PRK DUN Mahkota kali ini, kita (PN) akan berhabis-habisan seperti PRK di tempat lain. Kita juga menjangka ada perubahan akan berlaku. Tidak mustahil PN akan mencapai kejayaan di kerusi berkenaan berdasarkan keadaan politik semasa,
 katanya.

Itu mungkin agak keterlaluan.

DUN Mahkota bukan kubu mana-mana parti, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang menganggap ia pertandingan terbuka dan mana-mana parti berpeluang untuk menang.

Dalam politik apa saja boleh berlaku walaupun di atas kertas memihak kepada parti tertentu. Begitu juga di DUN Mahkota, bagi saya kerusi berkenaan bukan kubu kuat mana-mana parti kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku. Cita rasa pengundi tiada siapa yang tahu dan hanya dibuktikan ketika mengundi,
 katanya.

Bezanya ini bukan kawasan Gelombang Hijau.

Isu nasional terutama kenaikan kos sara hidup dijangka sekali lagi akan menjadi modal PN seperti di PRK Sungai Bakap dan Nenggiri, ditambah dengan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menghadapi siasatan polis dalam isu pensijilan halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, sebelum ini berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal, namun ia mengecualikan premis menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.

Susulan itu, Kok berkata cadangan itu dilihat menghalang kebebasan pilihan pengguna serta bertentangan semangat kepelbagaian budaya dalam negara, malah mungkin memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pengarah Pilihan Raya Bersatu Abdul Rahman Masudi turut dipetik sebagai menyatakan kecewa dan terkilan dengan tindakan Annuar yang dikatakan telah mengibarkan bendera putih di DUN Mahkota sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.

“Annuar dilihat amat tidak profesional dan ada agenda tertentu dengan mendakwa calon BN akan menang dengan lebih 20,000 undi.

Sebagai seorang yang telah lama melibatkan diri dalam arena politik, Annuar dinasihatkan untuk menarik balik kenyataan ini dengan satu permohonan maaf terbuka kepada Bersatu dan Presiden Muhyiddin Yassin,
 kata Rahman dalam kenyataan.

Jadi, apa sebenarnya muslihat Annuar meramalkan kemenangan selesa BN? Sebagai orang lama dalam sepak terajang politik — menjadi wakil rakyat sejak 1986 hingga 2022 — tidak mungkin ia menjadi tanda mengangkat bendera putih sebelum masuk gelanggang.

Juga tidak mungkin ia bertujuan menyedarkan Bersatu terhadap tugas menggunung yang menanti mereka kerana perkara itu memang diketahui dari awal — BN menang kerusi itu pada PRU11, PRU12 dan PRU13, diambil alih oleh PH pada PRU14 sebelum dimenangi semula oleh BN pada PRU15.

Penganalisis mengandaikan kenyataan terbuka Annuar bukan berniat memperkecilkan kemampuan Bersatu, sebaliknya hanya ‘perang psikologi’ untuk jentera kerajaan perpaduan berasa selesa.

Kalau pun benar, ia seperti tidak masuk akal kerana BN yang akan mempertahankan kerusi berkenaan tidak akan semudah itu untuk dialpakan, tambahan dengan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menyatakan PRK Mahkota — kali pertama semua parti komponen dalam BN dan PH terlibat — bakal menjadi model dan formula kepada kempen jentera kerajaan perpaduan dalam pilihan raya akan datang.

Pandangan kononnya kenyataan Annuar menggambarkan PN tidak yakin terhadap kemampuannya menawan kubu kuat Umno dengan mengambil kira masalah dalaman sedang dihadapi Bersatu ketika ini juga menafikan logik.

Selepas tewas kerusi DUN Nenggiri 17 Ogos lalu -– Annuar jadi pengarah pilihan raya PN ketika itu — PN mempunyai lebih sebab untuk berhabis-habisan bagi memastikan keputusan PRK Mahkota berkalih.

Hujung-hujungnya kenyataan terbuka Annuar Isnin lalu mungkin tidak lebih sekadar mengocakkan suasana tanpa ia memberi kelebihan kepada mana-mana pihak. Ia mungkin boleh dibaca sebagai pernyataan terbarunya, 

Facebook aku… suka aku la,
 sambil beliau boleh dibayangkan ketawa terbahak-bahak melihat kekalutan disebabkannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.