`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, September 11, 2024

Bolehkah Pope lawat Malaysia?

 

Mohsin Abdullah

Kunjungan rasmi Pope Francis ke Indonesia tempoh hari mendapat sanjungan antarabangsa. Apa lagi memandangkan Indonesia punya penduduk Islam paling ramai di dunia, lantas dilihat sebuah negara majoriti Islam boleh dengan senang hati membuka pintu kepada seorang agamawan Kristian. Tanpa masalah.

Sebenarnya ini bukan kali pertama seorang pemimpin tertinggi umat Kristian Katolik datang ke Indonesia. Kali pertama oleh Pope Paulus VI pada 1970, disusuli Pope Yohanes Paulus II pada 1989. Namun kali ini lebih mendapat perhatian.

Ada upacara sembahyang dipimpin Francis atau Paus Fransiskus kata orang Indonesia, diadakan di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta yang boleh memuatkan lebih 80,000 orang. Namun yang menarik perhatian dunia ialah pertemuan Francis dengan Imam Besar Masjid Istiqlal, Nasaruddin Umar. Turut hadir pemimpin enam agama yang diiktiraf Indonesia — Islam, Kristian Protestan, Kristian Katolik, Buddhisme, Hindu, dan Konfusianisme.

Pemilihan venue pertemuan pun cukup menarik. Francis dan Nasaruddin berkunjung ke apa yang dipanggil ‘Terowong Persahabatan’ yang menghubungkan Masjid Istiqlal iaitu masjid terbesar di Asia Tenggara dengan Gereja Our Lady of Assumption di seberang jalan.

Francis dan Nasaruddin didengarkan ayat Al-Quran dan Bible yang dibaca seorang remaja perempuan cacat penglihatan. Buta mata tidak buta hati. Pope dan imam kemudian menandatangani deklarasi bersama. Berbunyi antaranya:

Fenomena nyahkemanusiaan di peringkat global ditanda khususnya dengan konflik dan keganasan yang kian meluas. Amat membimbangkan apabila agama sering digunakan dalam hal ini. Peranan agama seharusnya termasuklah mengangkat dan menjaga maruah setiap manusia.
 Mesej keamanan.

Deklarasi bersama yang menyaran pemimpin agama mengecam keganasan pasti sampai juga ke Malaysia dan turut disokong pemimpin agama bukan Islam di sini. Video Francis dan Nasaruddin berdakap tular. Gambar Francis mencium tangan Nasaruddin terpampang di muka depan The Star.

Seorang pembaca Malaysiakini menulis surat kepada portal itu bertanya mengapa Pope tidak pernah melawat Malaysia dan berkata lawatan itu ‘is long overdue‘. Katanya Pope pernah melawat negara Islam termasuk Jordan dan Iraq. Menurut satu rencana siaran The Malaysian Insight yang diberi tajuk “Lawatan Pope Asia Pasifik: satu peluang yang terlepas untuk Malaysia”.

Ringkasnya rencana itu menggariskan manfaat dan kebaikan yang tidak dapat diraih kerana lawatan Pope tidak membabitkan Malaysia. Ada benar apa yang dihujah. Kata Jeswan Kaur, penulis rencana itu lawatan Pope Francis tidak terjadi di negara ini ialah kerana Malaysia tidak pernah menghulur undangan.

Beliau bertanya adakah dengan mengundang Pope akan ‘disalah baca’ (‘misread‘ menurut istilah yang digunakan) sebagai menyerah kepada tuntutan golongan bukan Islam? Bagi saya ini ialah sesuatu yang menyedihkan tetapi benar.

Malah langkah mengundang Pope (jika dibuat) bukan sahaja akan ‘disalah baca’ tetapi akan dilihat sebagai kerajaan yang dipimpin orang Islam takut dan tunduk kepada kemahuan orang bukan Islam. Kumpulan antikerajaan dan mereka yang ‘terpaling Islam’ akan memastikan naratif itu bermain dalam kalangan orang Islam, atau majoriti orang Islam negara ini. Tujuannya tumbangkan kerajaan.

Memang it’s all about politics.

Tidak mengundang Pope ada kaitan kepentingan politik. Menjaga hati orang Melayu-Islam. Begitu juga jika mengundang. Menjaga hati orang bukan Islam khususnya Kristian Katolik. Diakui ada sebab lain yang jujur dan ikhlas, tetapi tidak boleh dinafikan antara sebab ialah politik.

Malaysia ada hubungan diplomatik dengan the Holy See, badan kepimpinan utama Gereja Katolik. Malaysia ada kedutaan di Vatican City, di mana terletaknya Holy See. Begitu juga Holy See ada pejabat di Kuala Lumpur. Ertinya dua-dua ada duta.

Pada 2002 perdana menteri waktu itu Dr Mahathir Mohamad mengunjungi Vatican untuk bertemu Pope John Paul II. Najib Razak semasa menjadi perdana menteri juga bertemu Pope Benedict XVI di Apostolic Palace, di pinggir Rom pada 2011.

Tanpa mempertikai niat baik kedua-dua pemimpin itu tidak juga boleh dinafikan ada keuntungan politik yang mereka perolehi terutama sokongan masyarakat Kristian dan bukan Islam lain di Malaysia dengan terjadinya lawatan berkenaan.

Pun begitu walaupun membuka laluan yang boleh disifatkan tindakan berani, mereka tetap tidak berani mengundang Pope datang ke Malaysia berdasarkan ‘political consideration‘. Mungkin perkiraan politiknya ialah risiko mudarat yang boleh datang daripada pengundi Melayu-Islam lebih tinggi berbanding keuntungan sokongan yang boleh didapati daripada masyarakat Katolik Malaysia atau Kristian keseluruhannya, yang majoritinya di Sabah dan Sarawak.

Bayangkan jika Anwar Ibrahim membuat undangan kepada Pope. Saya pasti parti anti-Anwar serta kumpulan ‘terpaling Islam’ akan mencanang dengan lantang menuduh perdana menteri tunduk kepada tekanan orang bukan Islam, dan juga tuduhan ‘Islam di negara ini sudah terancam’. Seolah olah umat Islam akan terus peluk Kristian hanya kerana Pope datang Malaysia. Orang ‘terpaling Islam’ akan menakut-nakutkan orang Melayu-Islam.

Apakah itu akan dilakukan? Adakah saya salah mengatakan ia akan berlaku? Selama ini pun golongan yang menggelar diri mereka ‘Islamis’ memomokkan orang Melayu-Islam. Benar kata Timbalan Parti Amanah Mujahid Yusof dalam rencananya di Malaysiakini tempoh hari.

Bagi kelompok ‘tersangat Islam’ mata mereka melihat Madani tak cukup Islam. Kerana itu mereka ulangi ‘wirid’ kononnya Islam terancam,
 kata beliau.

Katanya lagi, 

‘wirid’ itu pula mudah dipercayai pengikut mereka dalam kalangan sesetengah kelompok anak muda yang ditakut-takutkan kononnya masa depan Islam terancam – padahal dakwaan itu karut.

Pendekkan cerita pada hemat saya tidak mungkin kerajaan ini akan mengundang Pope ke Malaysia. Sekurang-kurangnya bukan dalam masa terdekat. Adakah itu akan memuaskan hati golongan ‘tersangat Islam’? Not really. Banyak lagi ‘benda’ yang boleh mereka mainkan untuk mendapat sokongan Melayu-Islam.

Dalam pada itu masyarakat bukan Islam tidak akan senang selama Pope tidak diundang. Bak kata si penulis surat kepada Malaysiakini yang saya sebut tadi bahawa ‘Pope visit to Malaysia is long overdue‘.

Kerajaan akan dituduh terlalu memihak kepada orang Melayu Islam. Kerajaan khususnya Anwar is between a rock and a hard place. Kata Mujahid, “Kasihan perdana menteri, apabila dari satu sisi dia dituduh tidak cukup Islam manakala dari sisi lain dia dikatakan tidak cukup liberal.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.