`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, September 10, 2024

Hebatkah Harimau Malaya?

 

hishamuddin-aun

Persoalan dalam tajuk di atas harus mengundang jawapan berbeza-beza — terpulang dari sudut mana anda mahu melihatnya. Namun, rekod rasmi tetap mencatatkan skuad kebangsaan Malaysia menjuarai edisi ke-43 Pestabola Merdeka mengalahkan Lubnan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Ahad malam.

Hanya begitulah sejarah akan menyorot kejayaan Harimau Malaya bimbingan ketua jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vicente, dalam tugasan pertamanya selaku kakitangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas diumum pada 21 Ogos lalu menggantikan Kim Pan-gon yang didakwa berlaku ‘curang’ kepada bekas majikannya itu.

Ia tidak pun akan menghuraikan bahawa kejohanan undangan ini hanya menampilkan empat pasukan yang bertemu secara silang, dengan pemenangnya berhadapan dalam final. Menang kedua-dua perlawanan — 1-0 ke atas Filipina (ke-147 dunia) dan 1-0 ke atas Lubnan — Harimau Malaya ditabalkan juara.

Namun, fakta itu adalah perkara sekunder kerana paling utama ialah Harimau Malaya (tangga ke-134 dunia) — seperti dilaporkan kebanyakan media — sudah menamatkan penantian 11 tahun sejak 2013 untuk menjulang trofi Pestabola Merdeka.

Sebagai fakta tambahan, kemenangan hasil jaringan Romel Morales pada minit ke-32 dalam perlawanan bertaraf ‘persahabatan’ itu adalah ke atas pasukan yang memiliki ranking FIFA lebih tinggi di tangga ke-116 dunia. Ia bermakna Malaysia akan melonjak sedikit dalam ranking terbaru selepas ini.

Turut tidak terlepas daripada pandangan ialah kemenangan malam kelmarin menandakan kali pertama Malaysia menundukkan sebuah pasukan negara Timur Tengah dalam tempoh satu dekad — selepas kali terakhir mengalahkan Yemen 2-1 dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2015.

Mari kita cuba bandingkan dengan kejayaan pasukan kebangsaan sebelumnya menjuarai edisi ke-41 Pestabola Merdeka yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan dan Stadium Mini Temerloh dari 4-15 Sept 2013.

Disertai empat pasukan — Malaysia, Myanmar, Singapura dan Thailand — yang mengirimkan pasukan bawah 23 tahun masing-masing sebagai persiapan ke Sukan SEA Nay Pyi Taw, Myanmar pada Disember tahun berkenaan, ia dilangsungkan secara liga round robin dengan dua pasukan teratas bertemu dalam final.

Malaysia di bawah kendalian Ong Kim Swee memenangi ketiga-tiga perlawanannya — mengalahkan Singapura 1-0, Myanmar 2-1, dan Thailand 3-0. Dalam final, Malaysia menewaskan Myanmar 2-0 hasil jaringan Rozaimi Abdul Rahman dan Junior Eldstal untuk ditabalkan juara.

Adakah kejayaan pasukan ketika itu dikira lebih hebat kerana beraksi dalam empat perlawanan? Tidak adil untuk membuat perbandingan sebenarnya kerana ia membabitkan pemain-pemain bawah 23 tahun di samping saingannya terbatas kepada pasukan-pasukan serantau.

Berbalik kepada kejayaan terbaharu malam kelmarin, di sebalik ramai yang memuji, tidak kurang juga yang mengeji dengan berpandangan apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan trofi yang diraih hanya dalam dua perlawanan, dengan penganjur memilih untuk Malaysia berdepan Filipina (ke-147 dunia) dahulu berbanding juara tahun lalu Tajikistan (ke-103 dunia) – pasukan yang tewas 1-0 kepada Lubnan dalam perlawanan pembukaan.

Tidak salah keputusan penganjur yang mungkin mengharapkan ulangan pertemuan Malaysia-Tajikistan dalam final kali ini sebagai peluang membalas dendam tapi kemenangan 1-0 Lubnan ke atas juara bertahan itu merosakkannya.

Ada yang menyindir dengan mencadangkan FAM mengehadkan penyertaan kepada dua pasukan tahun depan supaya Harimau Malaya dapat terus ke final dan hanya perlukan satu kemenangan untuk bergelar juara. Mereka yang berpandangan demikian mungkin tidak faham bahawa kalendar antarabangsa FIFA — lazimnya seminggu setiap kali — tidak lagi meluangkan untuk kejohanan jemputan dalam tempoh lebih panjang.

Seperkara lagi dengan ranking Malaysia di luar 100 teratas, sukar untuk FAM mendatangkan pasukan-pasukan berkualiti memenuhi undangan ke Pestabola Merdeka melainkan pasukan dalam kelompok yang sama.

Mereka yang memuji pula merakamkan penghargaan kerana Harimau Malaya dapat mengatasi Lubnan, pasukan yang berada 18 anak tangga di atas mereka dalam ranking dunia. Itu, kata mereka, bukti peningkatan kalau pun tidak sehebat ketika mengikat Korea Selatan (ke-23 dunia) dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia di Qatar, 25 Jan lalu.

Rata-rata mengakui dua perlawanan dalam Pestabola Merdeka bukan kayu pengukur yang tepat, peminat bagaimanapun melihatnya sebagai titik permulaan untuk pasukan mengikhtiarkan peningkatan dalam kejohanan rasmi berikutnya — Kejohanan Asean merebut Piala Mitsubishi Electric dari 23 Nov-21 Dis 2024.

Daripada pelbagai komen di media sosial, sudah ada perakuan bahawa pemain-pemain kebangsaan semakin selesa dengan pilihan dan percaturan Marti hingga ada yang mencadangkan Pan-gon sudah boleh dilupakan.

Mereka bersetuju bahawa Marti — berpengalaman selaku penolong pengurus pasukan bawah 18 tahun Barcelona dan skuad Barcelona B — hendaklah terus diberikan peluang mencorakkan permainan Harimau Malaya, dengan kejayaan kelmarin memberi bayangan awal terhadap kemampuan jurulatih berusia 40 tahun itu.

Cuma, kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka tidak diiringi suasana diharapkan gara-gara Ultras Malaya meneruskan boikotnya atas alasan tidak berpuas hati dengan FAM dan presidennya, Hamidin Mohd Amin. Apa pun, itu hak mereka di sebalik teguran keras peminat di media sosial.

Diharapkan Ultras tidak merajuk berpanjangan dan kembali mengiringi perjuangan Harimau Malaya sekalipun masih mampu muncul juara tanpa mereka meriuhkan keadaan. FAM harus lebih bersedia untuk berbincang meleraikan sebarang kekusutan demi kejayaan pasukan.

Sekali lagi berbalik kepada soalan ‘Hebatkah Harimau Malaya?’, tidak mungkin ada persetujuan sebulat suara, sebaliknya terpulang kepada masing-masing untuk menilai berdasarkan satu-satu kejohanan selain sama ada ia memenuhi jangkaan yang tentunya berbeza-beza.

Berdasarkan rekod semata-mata, Harimau Malaya yang sebelumnya sekadar bergelar naib juara Pestabola Merdeka 2023 — tewas 0-2 kepada Tajikistan dalam final pada 17 Okt 2023 — kini sudah bergelar juara. Daripada tidak pernah mengalahkan sebuah pasukan Timur Tengah selama 10 tahun, badi itu juga sudah dilenyapkan.

Janganlah hanya kita cepat mengutuk ketika kalah tetapi tidak betah untuk memberi penghargaan ketika pasukan menjulang trofi. Ini pasukan kebangsaan kita dan inilah juga pasukan yang patut kita banggakan berbanding hanya menumpang megah pasukan-pasukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) mahupun Euro dan Piala Dunia. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.