`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, September 7, 2024

Nak bangga biar bersebab

 

Mohsin Abdullah

Jarang-jarang saya sependapat tetapi kali ini saya setuju dengan pandangan Khairuddin Aman Razali (dulu orang PAS sekarang Umno) ketika beliau menegaskan umat Islam (dalam konteks ini boleh juga dibaca orang Melayu) tidak wajar dihidangkan dengan kisah dongeng dan andaian atas nama mengangkat kehebatan bangsa Melayu.

Beliau mengulas apa yang diperkatakan pensyarah UIAM Solehah Yaacob mengenai Siti Khadijah Khuwailid, isteri Nabi Muhammad menerusi video tempoh hari yang mengakibatkan tindakan diambil oleh pihak universiti ke atasnya.

Solehah bagaimanapun mendakwa beliau tidak pernah menyebut Siti Khadijah berasal dari Tanah Melayu. 

Saya cuma membuka persoalan meminta para pendengar berfikir
. Maksudnya pendengar diminta berfikir tentang apa yang beliau katakan dalam video itu.

Jadi apa yang beliau kata? Solehah berkata Siti Khadijah merupakan wanita kaya dan mempunyai perniagaan yang besar. Tidak boleh dipersalahkan beliau berkata demikian kerana ini fakta yang tidak dinafikan.

Seterusnya Solehah berkata “untuk mempunyai perniagaan yang besar seperti itu anda mesti memiliki emas. Tidak ada forex ke, bitcoin ke masa itu. Dia kena ada suatu yang diminati oleh semua orang di atas dunia ini iaitu emas.

Dan emas tidak ada di bumi Arab. Emas ada di mana tuan-tuan dan puan-puan? Di tempat kita. Kita ini bumi emas.

Itu yang Solehah mahu para pendengar buka minda dan fikir. Bagi saya reading between the lines jelaslah apa yang tersirat dan tersurat yang ditonjolkan beliau. She is saying without saying. Rasanya ramai boleh add two and two together.

Apa lagi menerusi penjelasan ‘membela diri’ di Facebook, Solehah menegaskan 

bagi mereka yang kurang menelaah atau tidak pernah tahu beberapa catatan klasik mengaitkan peranan orang Melayu yang cukup besar di bumi Arab, nasihat saya kita jangan cepat melatah terhadap maklumat yang pelik di telinga kita, kemungkinan kita pun kurang mengkaji dan menelaah.

Sekali pandang itu kenyataan panjang yang memerli dan menghentam pengkritik beliau. Tetapi bagi saya kata kuncinya ialah ‘catatan klasik’ dan ‘peranan orang Melayu yang cukup besar di bumi Arab’. Pada hemat saya beliau mahu orang Melayu berbangga dengan ‘peranan besar orang Melayu di bumi Arab’.

Sesungguhnya orang Melayu pasti bangga akan peranan penting itu. Apa lagi ada pula kaitan dengan wanita sehebat Siti Khadijah. Jika semua itu benar. Diulang jika. Mesti ada buktilah. Oleh itu tampilkan bukti serta fakta, barulah orang Melayu boleh dan akan bangga.

Saya ulangi kata-kata Khairuddin tadi. Jangan hidang kisah dongeng (atau andaian) bagi angkat kehebatan Melayu, untuk dijadikan kebanggaan bangsa Melayu.

Tidak lama dahulu timbul juga dakwaan oleh orang yang digelar atau mengelar diri ‘agamawan’ kononnya Nabi Adam turun di Gunung Jerai dan Saidina Uthman Affan pernah ke Kedah. Saya kira tujuannya juga sama yakni supaya orang Melayu khususnya orang Kedah berbangga betapa bertuahnya negeri mereka mendapat kunjungan Nabi Adam dan Saidina Uthman. Adakah orang Melayu percaya? Daripada jutaan orang Melayu tentu ada yang percaya walaupun tidak diketengahkan bukti, hujah, dan fakta. Main sedap cakap je. Sekali lagi wajar digunakan saranan jangan saji kisah dongeng untuk angkat kehebatan Melayu.

Ada lagi kisah kehebatan Melayu yang ditimbulkan bertujuan membuat orang Melayu bangga akan bangsanya. Umpamanya wujud empayar Melayu zaman silam. Begitu juga legasi maritim atya pelayaran orang Melayu. Ada yang benar dan sememangnya membanggakan. Namun ada juga sekadar dakwaan dan andaian yang tidak pernah dibuktikan. Maka eloklah diabaikan kerana tidak ada apa yang membanggakan jika ia cakap-cakap kosong.

Meneruskan soal bangga saya catat kesombongan dan keangkuhan beberapa pemuda yang mendakwa mereka bangga menjadi rakyat negara ini dan Malaysia negara mereka. Ia diceritakan oleh bekas personaliti televisyen, Sheahnee Iman Lee.

Menerusi perkongsian di Instagram, Sheahnee berkata baru-baru ini ibunya, yang berasal dari Australia dan berusia 72 tahun, menggunakan perkhidmatan KTM dari stesen Klang ke Kuala Lumpur.

Menurut Sheahnee, ibuya mendapati sekumpulan remaja lelaki memasuki koc yang disediakan khas untuk wanita. Lalu ibu beliau menegur kumpulan remaja itu kerana berbuat demikian. Notifikasi mengenai koc wanita ditampal merata tempat dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Ertinya tidak mungkin mereka tidak tahu dan masuk koc wanita dengan tidak sengaja.

Teguran ibu Sheahnee mendapat reaksi kumpulan remaja itu. 

Tahu apa yang budak-budak itu jawab? Mereka dengan biadap kata kami rakyat Malaysia. Ini negara kami,
 kata Sheahnee.

Nyata mereka berkata begitu kerana ibu Sheahnee bukan orang Malaysia lantas mereka boleh berbuat sesuka hati kerana ini negara mereka.

Ini bukan patriotic, bukan semangat sayang negara. Ini kurang ajar. Ini ‘kebanggaan’ yang tidak membanggakan malah memalukan. Malaysia tidak perlu kebanggaan semacam ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.