`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, September 9, 2024

Halal haram, halal haram

 

Mohsin Abdullah

Tempoh hari diberitakan langkah menempatkan pegawai Jakim atau nama penuhnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di setiap kementerian kerajaan Madani. Lantas mencetus bantahan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST)

Juga dikritik keras golongan yang disifatkan ‘liberal’ terdiri bukan sahaja masyarakat bukan Melayu bukan Muslim tetapi juga kalangan Melayu/Muslim. Saya tidak anggap ‘liberal’ dalam konteks ini sesuatu yang kotor, jijik atau anti Islam. Oleh itu saya tidak punya masalah jika dikaitkan atau digelar golongan ‘liberal’.

Dalam isu penempatan pegawai Jakim ke semua kementerian golongan membantah bimbang kerajaan sudah atau menuju ke arah pentadbiran Islam yang menjejas prinsip kebebasan beragama negara ini.

Dalam lain perkataan mereka bimbang negara ini akan diperintah ala Taliban. Saya sering bersetuju dengan pandangan dan pendirian golongan ‘liberal’. Kali ini saya kurang setuju.

Kita diingatkan oleh banyak pihak termasuk Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa bahawa penempatan pegawai Jakim di kementerian ‘sudah menjadi amalan sejak 1980-an’ lagi demi memastikan dasar pentadbiran Islam peringkat persekutuan dirujuk kepada agensi diwujudkan atas kuasa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal di bawah naungan Majlis Raja-Raja Melayu.

Saya harian mengapa sesuatu yang membimbangan masyarakat bukan Islam perlu diulang umum sekarang padahal ia sudah dilaksanakan sekurang-kurangnya 40 tahun lalu. Apa pun berdasarkan penjelasan Mujahid , saya lihat negara ini tidak pula menjadi ‘a nation governed Taliban styled’ walaupun langkah penempatan pegawai Jakim sekian lama dijalankan.

Namun diakui pada peringkat negeri tertentu garis keras apa yang didakwa pentadbiran Islam sudah kelihatan. Meskipun dikatakan hanya membabitkan orang Islam tidak dinafikan ada juga orang bukan Islam yang terkena tempias secara langsung atau sebaliknya.

Bagaimanapun kritikan ke atas kewujudan Jakim dalam kementerian (dilihat sebagai campur tangan) hanya memberi modal kepada golongan ‘terpaling’ Islamik memomokkan dan menakutkan orang Melayu Muslim kononnya Islam di negara ini sedang ‘diancam dan terancam’.

Menurut panduan mengenai Jakim yang dilaporkan Malaysiakini, Jakim tidak berperanan dalam hal ehwal agama selain Islam. Jadi apa fungsinya? Mengikut panduan berkenaan, fungsi utama Jakim ialah penggubalan dan penyeragaman undang undang syarak, penyelarasan dan pembangunan pendidikan Islam dan penyelarasan pentadbiran Islam.

Kesimpulannya tanggungjawab dan tugas berat. Banyak kerja yang mesti dilakukan. Oleh itu saya tidak dapat elak bertanya mengapa ditambah ‘beban’ seolah-olah tidak cukup kerja ?

Umpamanya cadangan untuk meletakkan rokok dijual di seksyen barangan tidak halal ditempatkan di kedai. Cadangan timbul kerana rokok pernah difatwakan haram sejak 1995. Ertinya 29 tahun berlalu sejak rokok diisytihar haram tetapi bebas dijual di merata tempat tetapi tahun ini ada cadangan meletakkannya bersama babi dan arak.

Saya faham daging babi diletakkan di tempat berasingan kerana umat Islam bukan hanya dilarang memakannya malah tidak boleh menyentuh atau tersentuh.

Tetapi arak pada pandangan saya yang bukan agamawan, yang diharamkan ialah meminum bukan menyentuh secara sengaja mahupun tidak sengaja. Apa lagi rokok yang difatwakan haram ialah menghisap bukan memegang. Saya tahu langkah meletakkan rokok di tempat ‘khas’ ialah bagi memberitahu semua ia adalah haram.

Namun lebih afdal jika penerangan dilakukan meluas bagi memastikan perokok Islam menghentikan tabiat mereka kerana menerima keputusan majlis fatwa yang mengharamkan rokok.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar: 

Daripada perspektif kita ialah bahagian fatwa (pengharaman rokok). Jadi sejauh mana nak menentukan rokok duduk di seksyen halal atau tidak yang itu di bawah kuasa Kementerian Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup. Jadi saya akan cuba bincang.

Maka bertambah kerja menteri, Jakim dan kakitangan kementerian. Adakah berbaloi mengambil kira tugas yang sedia ada? Baru-baru ini timbul lagi soal sijil halal yang dikeluarkan Jakim. Kali ini Jakim mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal untuk semua kedai dan restoran yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Kata Timbalan Menteri Agama Zulkifli Hassan cadangan itu memberi kelebihan dan nilai tambah kepada peniaga dan boleh menarik lebih ramai pelanggan. Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Khairuddin Aman Razali setuju.

Bagaimanapun pun katanya cadangan mewajibkan sijil halal keatas peniaga dan syarikat milik orang Islam tidak sesuai kerana mereka pada asalnya terikat dengan hukum halal dan haram.

Bagi Ahli Parlimen Seputeh daripada DAP Teresa Kok pensijilan wajib berkenaan boleh menambah beban kepada perniagaan termasuk ribuan pengusaha restoran Melayu. Sememangnya ada kos untuk mendapatkan sijil dan bukan satu rahsia untuk mendapatkan sijil halal mengambil masa lama. Apa lagi membabitkan ribuan sijil yang mesti dikeluarkan. Maka saya setuju dengan pandangan pemimpin DAP itu.

Tetapi Kok juga dilapor berkata langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara. Ini saya tidak setuju kerana sijil halal wajib hanya diulangi untuk premis yang tidak menghidang daging babi dan alkohol. Maksudnya bukan semua kedai dan restoran. Yang sedang menyaji makanan yang haram pada sisi orang Islam boleh teruskan amalan biasa.

Tidak memeranjatkan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mendesak Kok memohon maaf dan menarik balik kenyataan. Jika tidak Bersatu akan buat aduan polis. Kata bekas menteri persekutuan Zaid Ibrahim 

Saya ingat Pemuda Bersatu lebih intelligent dan berbeza daripada Umno dan tidak lari kepada polis setiap kali mereka tidak setuju dengan seseorang.
 Saya setuju.

Saya setuju juga apabila beliau bertanya mengapa politikus Melayu Muslim beriya-iya ‘melindungi’ orang Islam dalam setiap aspek penghidupan seolah-olah orang Islam tidak mampu membuat keputusan sendiri apa yang boleh dimakan dan apa yang tidak boleh.

Kesimpulannya umat Islam boleh menentukan sendiri halal haram apabila pergi makan di kedai. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.