`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, September 7, 2024

Semakin tak ramai orang Cina

 

Mohsin Abdullah

Berdasarkan kalendar Cina, tahun ini Tahun Naga. Ia dikaitkan dengan kehebatan dan segala macam kebaikan kerana naga mengikut kepercayaan masyarakat Cina ialah mahluk agung. Oleh itu juga ramai percaya Tahun Naga ialah tahun paling bagus bagi pasangan suami isteri dikurnia anak. Malangnya perangkaan kelahiran bayi Cina tahun ini tidak menunjukkan angka yang diharapkan. Malah perangkaan mengenai perkahwinan pasangan Cina juga menurun sejak kemuncaknya pada 2016.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia jumlah kelahiran sehingga suku kedua tahun 2024 merekodkan penurunan sebanyak 10.2% iaitu 100,732 berbanding 112,197 kelahiran untuk tempoh yang sama tahun lalu. Pasangan suami isteri Melayu menyumbang 67.4% daripada jumlah kelahiran bagi suku kedua tahun ini. Untuk tempoh yang sama tahun 2023 kelahiran Melayu adalah 67.1%. Ertinya jumlah kelahiran Melayu meningkat. Kelahiran kaum Bumiputera lain juga menunjukkan peningkatan yakni 12.9% — naik daripada 12.5 yang direkod tahun lalu.

Bagi masyarakat Cina kelahiran menurun 9.7% manakala masyarakat India juga mengalami penurunan yakni 3.7%.

Pada 14 Februari lalu Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin menggunakan Hari Mengingati Kekasih atau Valentine’s Day untuk membuat posting di Facebook mengenai perkahwinan dan kelahiran anak. Menurut Sim, beliau curious mengapa tidak ramai bayi Cina dilahirkan. Hasil penelitiannya didapati hanya 40,000 bayi Cina dilahirkan berbanding 423,124 kelahiran yang dicatatkan pada 2022. Itu kata beliau adalah kurang 10% daripada kelahiran keseluruhan.

Menurut Sim, perangkaan rasmi juga menunjukkan perbezaan ketara kadar perkahwinan am atau General Marriage Rates antara orang Muslim dan bukan Muslim. 

Apabila saya tengok statistik saya dapati masyarakat Cina Malaysia bukan sahaja tidak punya ramai anak tetapi juga tidak ramai yang berkahwin.
 Itu hakikat walaupun tentu mereka ada sebab tersendiri.

Statistik kata beliau menunjukkan bagi setiap 1,000 Muslim, 61 perkahwinan berlangsung manakala bagi bukan Muslim hanya 22 perkahwinan bagi setiap 1,000 orang bukan Muslim. Ini perangkaan tahun 2021.

Boleh disimpulkan semakin ramai orang Cina atau masyarakat bukan Islam yang membujang dan terus stay single,
 kata Sim. Jelas tren ini berlarutan sehingga ke hari ini. Seperti dikatakan tadi tahun ini pun tidak menyaksikan banyak perkahwinan pasangan Cina walaupun ini Tahun Naga yang dikatakan ideal untuk mendirikan rumah tangga.

Kata Sim ini mempunyai impak ke atas kadar kelahiran khususnya dalam kalangan masyarakat Cina — 

less mariages less babies
. Lantas beliau menyarankan pasangan Cina 
get married and have babies.

Namun saranan itu tidak disenangi ramai terutama netizen masyarakat Cina. Sim dikritik dan dituduh tidak sensitif terhadap faktor sara hidup yang meningkat, beban kewangan apabila mempunyai anak, dan peralihan nilai masyarakat atau shifting societal values.

Adakah keadaan akan berubah tahun depan? Rasanya tidak jika mengambil kira kepercayaan masyarakat Cina. Ikut kalendar Cina tahun 2025 adalah Tahun Ular dan menurut kepercayaan orang Cina perkahwinan tidak sesuai diadakan pada Tahun Ular.

Menurut akhbar The Star walaupun ramai dalam kalangan orang muda masyarakat Cina tidak berpegang akan kepercayaan seperti itu, didapati juga tempahan untuk dewan dan restoran yang biasanya digunakan untuk majlis perkahwinan dilapor agak lesu.

Berdasarkan fakta dan statistik rasmi kesimpulannya ialah populasi atau penduduk orang Melayu-Islam kian bertambah manakala masyarakat bukan Melayu khususnya Cina berkurangan.

Ini berita baik kepada golongan yang bimbang dan takut orang Cina akan mendapat kuasa politik dan menguasai dan memerintah negara ini secara mutlak. Rilek lah bro dan sis… Orang Cina makin lama makin tak ramai.

Begitu juga golongan yang tidak suka akan kewujudan sekolah Cina. Bak kata Ahli Parlimen Bayan Baru yang disebut tadi kekurangan kelahiran bayi etnik Cina sejak sedekad lalu menimbulkan persoalan terhadap sistem pendidikan Cina atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. 

Tiada pelajar tiada sekolah. Adakah SJKC akan bertahan,
 tanya beliau.

Realitinya jumlah rakyat Malaysia keturunan Cina mengecil dan terus mengecil. Bagi saya ini bukan sesuatu yang menggembirakan walaupun saya dilahir dan dibesarkan di Kampung Baru, penempatan orang Melayu di tengah-tengah kota Kuala Lumpur.

Bagi saya kecemerlangan negara ini jika mahu dicapai ialah dengan tenaga dan usaha semua rakyatnya — apa jua bangsa dan agama. Jurang perbezaan antara majoriti dan minoriti eloklah diimbangi. Meskipun tidak seimbang pada saya majoriti tidak terlalu besar, minoriti tidak terlalu kecil. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.