`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 17, 2024

MBS tanggal pintu penyewa PPR culas bayar sewa

majlis bandaraya seremban
Majlis Bandaraya Seremban membuka semua pintu di rumah terlibat supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.  (Gambar Facebook)

PETALING JAYA

Majlis Bandaraya Seremban bertindak menanggalkan sejumlah pintu rumah penyewa yang gagal menjelaskan tunggakan sewa melebihi RM15,000, di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi (PPR Paroi), Negeri Sembilan.

Datuk Bandar Seremban Masri Razali, berkata penyewa gagal menunaikan kewajipan mereka walaupun sudah menandatangani ‘Aku Janji’, bagi melunaskan tunggakan secara ansuran sejak Januari tahun lalu.

“Namun, penyewa masih gagal mematuhi perjanjian tersebut sehingga MBS mengeluarkan Notis Penamatan Perjanjian melalui surat bertarikh 30 Nov 2024.

“Bagaimanapun, MBS masih membenarkan penyewa yang mempunyai tunggakan bayaran sewa untuk tinggal di rumah berkenaan buat sementara waktu,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, tindakan membuka semua pintu di rumah terlibat dilakukan supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.

Katanya, daripada penyewa-penyewa terlibat, dua daripadanya telah menjelaskan bayaran tunggakan berjumlah RM23,560.

“MBS telah mengadakan Operasi Tunggakan Sewa di PPR Paroi pada 12 Dis dan ia dilakukan secara berhemah tanpa melibatkan sebarang insiden dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan.”

Masri menegaskan, pihak berkuasa sentiasa memberi peluang dan membantu pelbagai kaedah supaya penyewa membayar tunggakan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi ini secara berkala dari semasa ke semasa dan penyewa di rumah PPR Paroi dan PPRT Lobak diminta menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa ditetapkan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan, pertanyaan atau cadangan boleh mengemukakan melalui SISPAA MBS mbseremban.spab.gov.my atau muat turun secara percuma aplikasi Respon Rakyat atau boleh juga hubungi terus talian 06-7654444. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.