PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menepis anggapan beliau membuat pertikaian dalam isu menyentuh pengampunan diraja.
“Bezakan pertanyaan dengan pertikaian,” katanya menjawab teguran Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim berhubung kenyataan Akmal mengenai pengampunan diraja Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 2018.
Sebelum ini, Akmal menyoal sama ada pengampunan diraja Anwar pada 2018 dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.
Persoalan itu merujuk kenyataan Jabatan Peguam Negara semalam, memaklumkan permohonan pengampunan mana-mana banduan yang melakukan kesalahan di Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya mesti dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Adam menjawab pengurniaan pengampunan bukan keputusan dibuat sewenang-wenangnya mengikut desakan politik, tetapi dilindungi mekanisme ditetapkan undang-undang dan Perlembagaan.
Adam berkata Akmal perlu waspada kenyataannya dibimbangi tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Akmal dalam kenyataan terbaharu di Facebook berkata persoalannya mengenai pengampunan Anwar telah dijawab, sambil memuatnaik gambar kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara bertarikh 16 Mei 2018.
Menurut gambar itu, rayuan pengampunan penuh Anwar telah dibentangkan dan dipertimbangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan.
Ia turut menyatakan, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan, Agong dengan dinasihatkan oleh lembaga pengampunan telah menitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Anwar dibenarkan.
Akmal seterusnya melontar dua soalan untuk peguam negara.
“Di bawah Perkara 42 Perlembagaan kuasa pengampunan adalah kuasa mutlak Agong, adakah bermakna kuasa mutlak yang diperkatakan itu perlu dirujuk kepada lembaga pengampunan terlebih dahulu?
“Adakah apa-apa titah pengampunan dibuat oleh Agong tanpa persetujuan lembaga pengampunan adalah tidak sah?” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.