`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, December 29, 2024

Sewa tayar untuk masuk Puspakom? Pakar gesa tangani ‘ejen kosmetik’

 

fb post sewa tayar lori
Tangkap layar catatan ‘LANDO Zawawi – Brotherhood Malaysia’ di Facebook mengenai ‘sewa tayar untuk masuk puspakom’.
PETALING JAYA
Kerajaan digesa tangani segera ‘ejen kosmetik’ dalam industri pengangkutan, susulan perkongsian di media sosial mengenai khidmat sewa tayar untuk ‘masuk’ Puspakom.

Puspakom Sdn Bhd merupakan syarikat pemeriksaan kenderaan yang dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan pemeriksaan mandatori bagi kenderaan komersial.

Perunding perancangan pengangkutan Rosli Azad Khan menyifatkan kewujudan golongan itu sebagai ‘tidak sihat’.

“Ini menjadikan pemeriksaan sebagai hanya syarat untuk kelulusan sedangkan kenderaan yang tidak memenuhi syarat terlepas dan masih beroperasi di jalan raya,” katanya kepada FMT.

Di media sosial, akaun Facebook ‘LANDO Zawawi – Brotherhood Malaysia’ dalam satu catatan 26 Dis lepas berkongsi satu gambar yang tertera ‘sewa tayar untuk masuk puspakom’.

Sambil menggesa kerajaan jangan berlembut dengan pengusaha kenderaan berat, Rosli menyeru dasar penswastaan pemeriksaan kenderaan perdagangan diteliti dan dirombak.

“Terbukti dasar penswastaan pemeriksaan gagal dan tidak berfungsi dengan betul seperti tujuan asal,” katanya.

Law Teik Hua daripada Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya di Universiti Putra Malaysia berkata, penting untuk kerajaan menubuhkan sebuah organisasi yang bebas dan berautonomi dalam merancang dan melaksanakan dasar-dasar keselamatan jalan raya.

“Terdapat hujah bahawa wajar untuk mempertimbangkan semula penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengatasi kekurangan dalam penguatkuasaan sedia ada,” katanya.

SPAD dibubarkan pada 31 Dis 2018 dan digantikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat, sebuah badan bawah Kementerian Pengangkutan, yang ditubuhkan pada 1 Jan 2019.

Pada Selasa lalu, tujuh maut manakala 33 cedera dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, sebuah lori dan treler, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna.

Siasatan awal mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori tercabut di lorong tengah, menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung tiga kenderaan.

Semalam, Bukit Aman mendedahkan sebanyak 1,457 kematian dicatatkan dalam 3,500 kemalangan membabitkan lori di seluruh negara sejak Januari 2019 hingga November lepas.

Jumlah kematian tertinggi direkodkan pada 2019 iaitu 274 kematian, diikuti 2024 dengan 260 kematian, 2023 (235 kematian), 2022 (232 kematian), 2021 (230 kematian) dan 2020 (226 kematian), kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Mohd Yusri Hassan Basri kepada Bernama.

Bagi kemalangan melibatkan bas pula, 548 kes direkodkan bagi tempoh sama dengan 153 kematian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.