`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, December 18, 2024

Polis buka 103 kertas siasatan berkait GISBH

gisb
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata usaha melumpuhkan kegiatan GISBH memerlukan pendekatan dan tindakan komprehensif serta berterusan pihak berkepentingan. (Gambar EPA Images)

PETALING JAYA

Polis membuka 103 kertas siasatan membabitkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) sejak Op Global dilancarkan 11 Sept lalu.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata 98 daripadanya bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), dengan satu kertas siasatan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan baki bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta kesalahan lain.

Menurutnya, 63 kertas siasatan sudah selesai, dengan 22 daripadanya sudah dituduh dan 41 kes diklasifikasikan tiada tindakan lanjut oleh timbalan pendakwa raya (TPR).

“Baki 40 kertas siasatan belum selesai, yang mana ia masih dalam tindakan pegawai penyiasat dan TPR,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, 416 individu merangkumi 189 lelaki dan 227 wanita ditahan sepanjang Op Global, dengan sebahagian besarnya berusia 18 tahun ke atas.

Daripada jumlah itu, 43 individu dituduh atas pelbagai kesalahan, termasuk 22 dituduh mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan dan 168 orang diberikan jaminan polis, manakala 201 lagi dibebaskan tanpa syarat.

Katanya, dua individu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk pengusiran, manakala dua lagi diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Kedah.

Menurutnya, polis masih meneruskan risikan dan siasatan, dengan tangkapan akan dibuat jika terdapat aduan serta maklumat boleh dipercayai.

Ditanya sama ada kegiatan GISBH lumpuh sepenuhnya, Razarudin berkata, ia memerlukan pendekatan, tindakan komprehensif dan berterusan pihak berkepentingan.

“Kerajaan sudah mengambil tindakan agresif dengan menubuhkan jawatankuasa bertindak membabitkan pelbagai agensi yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara dalam usaha memastikan aktiviti kumpulan berkenaan lumpuh sepenuhnya.

“Ia sama ada kegiatan yang menyalahi undang-undang jenayah mahupun syariah, termasuk usaha pemulihan ahli dan mangsa diselamatkan.”

Sebelum ini, media melaporkan polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh serta seksual dalam Op Global 11 Sept lalu.

Serbuan itu turut mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan ratusan individu, termasuk wanita. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.